Translate

Tuesday, July 31, 2018

Bayang

Salah satu permainan waktu kecil ialah main bayang-bayang.
    Apabila ada bayang-bayang, serangga yang paling senang untuk dibentuk ialah rama-rama  atau kupu-kupu. Jika di dunia bayang-bayang, kupu-kupu atau rama mungkin nampak tidak ada beza. Jika di alam nyata, kedua-duanya berbeza dan antara perbezaan yang ketara dari segi warna (Terima kasih Cikgu Aidil atas sumbangan maklumat). Antara peribahasa yang menggunakan perkataan 'bayang' pula ialah bayang tidak sepanjang badan yang bermaksud berbuat sesuatu yang melebihi kemampuan (Kamus Dewan Edisi Keempat).
       Kadang-kadang melalui bayang-bayang, membuatkan kita tertanya-tanya tentang perkara sebenar atau apa-apa yang ada di sebalik bayang-bayang.

Monday, July 30, 2018

Fasih

'Transformers' telah lama berada di bumi. Tidak kiralah mereka  'Autobots' atau 'Decepticons'.
        Ada yang  sama-sama berjuang untuk menyelamatkan bumi, ada yang berjuang untuk kepentingan bangsa sendiri dan diri sendiri. Semuanya nampaknya boleh bertutur fasih dalam bahasa manusia. Tidak nampak pula bahasa lain. Cuma 'Bumblebee' sahaja yang menghadapi masalah pita suara.
      Walau bagaimanapun, mereka tetap dianggap sebagai satu ancaman kerana dianggap menarik perhatian 'Transformers' lain untuk ke  planet bumi walaupun terdapat yang sudah sekian lama berada di bumi dan bertutur bahasa yang sama.
     Sedangkan 'Transformers' yang sudah lama bertapak di bumi,  berbahasa seperti manusia dan sebahagiannya yang berjuang menyelamatkan bumi pun masih dicurigai, apatah lagi yang tidak tahu atau fasih berbahasa manusia!

Sunday, July 29, 2018

ABJ

Selain ABC, ayah dengan umi juga tukar selera. Kami suka juga ABJ.
     Sekarang ini, macam-macam ada, ais kepal yang macam zaman mak ayah kita dulu pun dah kembali. Apa bezanya? Itu kita kenalah tanya mak ayah kita. Zaman dulu, sempat juga membonceng atuk ikut membeli air batu yang bersalut habuk kayu. Sekarang kalau dekat rumah, angah yang rajin buat air batu, itu malam-malam pun mengulum air batu.
      Ayah cuba di mana-mana sahaja ABJ apabila rasa teringin dan hari ini ayah singgah di gerai Abam Comel, Indera Sempurna. Angah apabila  sudah besar sedikit, apabila ayah cakap dia comel, dia akan betulkan ayah, bukan comel tapi 'hensem'.
     Dalam Bahasa Melayu boleh guna perkataan kacak, tampan, segak dan anggun. Perkataan ini hanya sesuai untuk manusia bukan untuk air batu jagung.

Air Batu

Minum air batu campur memang sedap. Bagaimanakah kalau hujan air batu? Yang pastinya bukan hujan air batu campur.
        Dalam Sinar Harian menyatakan bahawa Britain dilanda hujan air batu yang berukuran sebesar bola golf setelah ribut petir yang menandakan berakhirnya gelombang panas, iaitu suhu mencecah 35° c. Dua tiga hari ini juga hujan sudah datang. Waktu budak-budak dulu sempat juga merasa hujan air batu tetapi tidaklah sebesar bola golf. Kecil sahaja dan ghairah mengutip serta masukkan ke dalam mulut.
          Masa budak-budak, memang suka sangat air batu campur sampai habis duit tabung ayah😂 . Anak-anak ayah pula ayah pun tidak faham sangat sebab malam-malam ulang-alik buka peti ais makan air batu.

Friday, July 27, 2018

Gerhana

Sewaktu ayah menulis pagi ini, gerhana bulan penuh yang tempohnya paling lama di abad ke-21 (1.14 pagi hingga 7.28 pagi), 7 minit lagi akan berakhir.
         Mula-mula ayah nampak cuaca seperti hendak hujan, tetapi umi ingatkan ayah tentang gerhana bulan. Sememangnya kita tidak pernah jemu menatap bulan. Antara Peribahasa Melayu tentang bulan  ialah seperti pungguk merindukan bulan dan bulan dipagar bintang.
         'Gerhana' turut melanda sebahagian daripada kita yang belum habis bulan atau belum cukup bulan, duit sudah habis atau tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. 'Gerhana' ini yang paling bahaya.

Thursday, July 26, 2018

Sushi

Ayah tak ingat waktu kali  pertama ayah cuba makan sushi.
    Waktu belum pernah makan sushi, dalam kepala ayah, yang terbayang sushi itu hanya dibuat daripada ikan mentah. Tak tahu pula bahawa sushi ada banyak jenis. Malam tadi pula, umi cuba buat sushi setelah membeli barang-barang dengan along dan angah. Along pun gembira macam umi sebab dapat tolong umi potong sushi.
       Nak lagi sedap, makan sushi cicah sos bijan (ayah yang panggil nama macam itu). Umi dan along gembira berjaya buat sushi, ayah pun tumpang gembira dapat 'melantak' sushi.😁

Lima Minit

"Asyik-asyik 5 minit," kata angah. Itu tandanya mahu tidur lagi.  "7 minit," kata ayah.     
        Ya, apa yang boleh  dibuat dalam masa lima minit? Terpulang kepada anda. Lima minit yang kita luangkan untuk sesuatu sebenarnya dapat memberikan kesan untuk kita. Mengemas meja tempat kerja kita selama lima minit mungkin membuatkan kita gembira sepanjang hari. Lima minit untuk membaca atau mengaji juga baik untuk menambah nilai  diri kita. Lima  minit sebelum tidur atau setiap pagi menyenaraikan tiga kerja penting untuk dibuat apabila memulakan kerja juga penting untuk lebih fokus. Lima minit Qailullah juga Insya-Allah dapat membuatkan kita segar untuk terus melakukan kerja.
        Lima minit sebenarnya boleh mengubah diri kita untuk jadi lebih bernilai jika masa tersebut digunakan dengan lebih bijak berbanding tidak buat apa-apa.

Wednesday, July 25, 2018

Bateri

Minggu lepas, selepas tiga kali barulah ayah berjaya, menghidupkan enjin kereta.
        Setelah ayah cuba ingat kembali dan bertanya umi, barulah ingatan itu kembali. Tahun 2016 kali terakhir ayah menukar bateri kereta. Hari ini pula, sewaktu 'Outreach', kali pertama ayah mendengar istilah 'akumulator'.Kata Lukman, macam bateri kereta. Itu contoh yang mudah diingati ayah.
        Waktu sekarang ini juga, kita dan bateri juga seperti tidak dapat dipisahkan. Apahal pula bateri? Pantang bateri kurang sedikit, mesti telefon pintar dicas.  'Powerbank' pun tak boleh tertinggal, apatah lagi telefon pintar. Sebenarnya, ketagih mengecas bateri atau ketagihan telefon?

Tuesday, July 24, 2018

Gergasi

Sudah lama ayah tidak ke kedai majalah di Taman Tas.
     Bertanya khabar kepada taukenya yang ayah panggil 'auntie', katanya, "Sihat, boleh berjalan, ada selera makan, itu sudah cukup baik."
      Ada selera makan dan ada makanan untuk dimakan itu sudah satu nikmat yang amat besar daripada Allah swt untuk kita. Apabila ada selera makan dan perut pun lapar, kami akhirnya singgah ke kedai yang kami sudah lama mahu singgah tetapi tidak singgah-singgah. Namanya sahaja pun sudah menggambarkan ada sesuatu yang menyelerakan di situ.
        Di sini kami menemui hidangan laut 'shellout'. Ada nasi dua gelas nasi, kerang-kerangan, udang, ketam dan dicampur brokoli serta jagung. Alhamdulillah, sedap. Bersegeralah ke 'Selera Gergasi' di bangunan bersebelahan Petronas Tanah Putih.

Monday, July 23, 2018

Berbaloi

Dalam banyak-banyak artis yang datang, along kenal seorang pelakon.
      Along menunjukkan kepada ayah salah seorang pelakon yang dia kenal. Katanya, pelakon itu pelakon 'Super Game Boy'. Ayah memandang ke arah tempat yang ditunjuk, tidak nampak pula pelakon kanak-kanak atau remaja. Yang ayah nampak, Datuk Jalaluddin Hassan.
      'Yang itulah," diulangnya. Nampak sangat ayah tidak tengok Super Game Boy. Ya, Datuk Jalaluddin Hassan dan isteri pun hadir ke Rumah Terbuka Terlajak Raya RNN Cem Sdn. Bhd. bersama dengan Chef Yang Jamil. Dalam masa yang sama, pelancaran 'Wedding Homestay'  turut dibuat.
      Itu semalam. Hari ini, jika anda, keluarga, sahabat dan jiran anda  masih tercari tercari-cari tempat cantik dan berbaloi untuk majlis perkahwinan atau apa-apa sahaja majlis, segera lawati Instagram @rnncem dan @hotcatering. Apa tunggu lagi!

Saturday, July 21, 2018

Terlajak Raya

Hari minggu? Kami ke majlis Rumah Terbuka Terlajak Raya RNN CEM Sdn. Bhd. bersama dengan Chef Yang Jamil.
      Anak-anak memang cukup gembira. Macam-macam makanan ada. Cukup sedap dan menyelerakan. Serawa durian, laksa, cendol, sate, kambing golek dan banyak lagi. Di homestay dua tingkat yang luas ini sesuai untuk diadakan majlis perkahwinan dan majlis-majlis lain. Artis-artis pun ada yang datang memeriahkan lagi majlis ini.  Begitu juga anak-anak yatim dan tahfiz turut menyerikan lagi majlis yang sedang berlangsung ini.
        Di mana? Di Jalan Doktor U1/67, Twenty 7 Temasya, Glenmarie, Shah Alam. Yang sedang  merancang majlis perkahwinan atau sebagainya bolehlah ke sini. Sesuatu yang menarik dan berbaloi menanti anda.

Kek

Salah satu kek yang selalu ingin dirasa jika ke mana-mana kedai kek ialah kek keju mangga.
      Anak-anak memang suka kek. Kalau ke kedai kek atau kedai yang ada jual kek, memang mereka nak makan. Ayah dulu beli sepotong kek kalau ke Temerloh. Beli di 🍇 Grape Farm', kedai kek sebelah Petronas berhampiran 'Esplanade'. Sekarang kedai kek tu dah tak ada.
        Dah lama tak ke 'Kula Cakes', jadi ayah dan umi bawa anak-anak sempena hari lahir along. Along pun suka kek keju mangga. Kami paling suka makan kek keju mangga di sini.
       Sekarang ini, bukan setakat orang suka kek, ada pula yang suka 'keke'. Yang ini bukan sejenis kek dan tak boleh dimakan.

Cekodok

Musim durian kali ini nampaknya banyak sungguh durian. Yang ayah nampak, harga paling rendah, RM 5 sekilo, tetapi kena pilih-pilihlah.
      Manggis pun dah mula ada. Rambutan pun sama.  Cempadak pun dah mula nampak. Kalau balik kampung, bolehlah nampak buah- buah bergantungan. Kalau di bandar,  durian berlonggok-longgok, tidak perlu menunggu gugur. Hanya duit yang 'gugur'.
      Musim durian mewujudkan juadah seperti roti jala berkuahkan rasa durian buatan opah dan yang terkini, cekodok durian dibuat oleh opah. Seumur hidup, ini kali pertama  ayah makan cekodok  durian dan adik pun tumpang sekaki.

Monday, July 16, 2018

Minda

Kata pakar motivasi, begitu juga dalam kursus seperti IMKK oleh Dr. Azizan Osman, letih itu permainan minda.
       Pernah tak apabila kita letih, balik rumah memang nak tidur, tetapi tiba-tiba hilang penat apabila ada cerita, filem atau drama kegemaran kita. Boleh pula tengok sampai dua jam. Hilang rasa nak tidur, hilang rasa penat. Minat kita terhadap sesuatu boleh menghilangkan penat.
       Kadang-kadang kalau terlalu penat juga boleh membuatkan kita tertidur tanpa sempat menukar pakaian kerja. Apatah lagi kalau kerja kita itu menyelamatkan dunia, memang amat meletihkan.

P

Pahang menang. 'Pacman' menang. Perancis menang. Pogba menyumbat satu gol dalam perlawanan akhir. 'P' apakah yang bakal menyusul ?
       Walaupun ayah 'pengsan', tv tengok ayah waktu perlawanan  akhir Piala Dunia, sempat juga ayah tanya umi keputusannya apabila tersedar dan kembali lelap. Pagi tadi, along pula beritahu. Lima tahun lagi pula Piala Dunia. Dalam tempoh lima tahun, macam-macam boleh berlaku. Dalam satu hari pun macam-macam perkara terjadi sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita mengambil iktibar atau sekadar biar.
      Merujuk Astro Awani, 16 Julai 1981, Tun Dr. Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-4. Hari ini pula beliau mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat bagi penggal ke-14. 'P' untuk hari ini ialah Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke- 14 bermula.

Sunday, July 15, 2018

Musim

'Pacman' sudah menang siang tadi. Malam ini pasukan mana yang menjadi pilihan?
        Pasukan manakah yang akan menjulang Piala Dunia 2018? Semua tertunggu-tunggu dan apa kata sementara menanti buat sesuatu terlebih dahulu. Sementara menunggu cacing pada mata kail ditelan ikan siang tadi, kami balik ke rumah dahulu. Ayah bukanlah penyabar seperti kaki pancing dan sejak dulu lagi, ayah hanya memancing di kawasan paya atau parit. Nenek pula menebas semak di bawah pokok durian, pagi-pagi lagi ayah sudah kutip dua biji buah durian yang gugur. Angah dan along tetap gembira sebab kali pertama memancing walaupun tak dapat ikan.
        Begitu juga apabila tengok bola, ayah bukanlah orang yang begitu sabar menunggu 90 minit. Tv tetap terbuka, dengar bunyi gol, baru tengok tv  sebab buat perkara lain. Sokong pasukan mana malam ni?

Friday, July 13, 2018

Jelas

Semuanya kelihatan jelas.
           Monyet memaut di langsir, dinosaur di atas tv, keris melekat di dinding, rotan di bucu pintu, kopi di sisi sofa, tudung saji bagaikan topi peti ais, labu sayung mencecah siling, mesin taip terperap di  rak buku, ultraman berkumpul di tepi tv, beruang bersandar keletihan, kereta di bawah rak, topi di atas cermin, helang di atas bangunan dan kopi pun habis.
         'Barney' di dalam buai dan ayah pun mula menulis. Ya, banyak perkara yang mula masuk dalam fikiran.

Thursday, July 12, 2018

Dalam

Sesetengah tamadun atau bangsa di dunia ini musnah bukan disebabkan faktor luaran, tetapi faktor dalaman itu sendiri.
       Pergolakan berlaku kerana kepentingan diri sendiri atau kepentingan perut sendiri disebabkan terlalu kemaruk untuk berkuasa.  Ada pihak sanggup menggadaikan maruah sendiri, bangsa serta negara dan sama sekali tidak mempedulikan kesan terhadap bangsa atau tanah air. Jika perjuangan itu berlandaskan, agama, bangsa dan tanah air, apabila berkuasa, sudah tentu agama dipelihara, kepentingan bangsa dan negara dijaga. Jika tidak, kuasa itu hanya memakan diri dan hanya menjadi boneka orang lain kerana maruah telah pun dilelong, tidak kiralah mendapat kuasa yang lebih besar ataupun sebaliknya. Yang lebih parah, ada pula yang menyokong dengan semberono tanpa membuat pertimbangan yang sewajarnya.
       Sebab itu dalam Bahasa Melayu, ada peribahasa  kalah jadi abu, menang jadi arang.

Wednesday, July 11, 2018

Mimpi

England pun boleh 'tumbang' walaupun mendapat jaringan awal dan Croatia mencipta sejarah kali pertama ke perlawanan akhir Piala Dunia. Inilah yang dinamakan kehidupan.
      Perjuangan itu tetap berterusan walaupun kita berhenti rehat kerana lelah dan penat. Berhenti rehat itu bukan sebab putus asa tetapi mengumpul kembali tenaga dan merangka strategi untuk kembali melangkah dan berlari. Kejayaan lalu telah berlalu dan perjuangan hari ini adalah untuk mengulangi kejayaan lalu atau mencipta kejayaan yang lebih baik.
       Kita boleh terus bermimpi dan mengharapkan mimpi indah atau  kita juga  boleh bangkit dari tempat tidur dan menukar mimpi indah menjadi realiti.

Banyak

Banyak perkara yang berlaku, sama ada kita tahu ataupun tidak tahu, sama ada kita suka ataupun tidak suka.
       Semalam, 10 Julai, hari lahir Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir.  Hari ini, 11 Julai, hari lahir adik ayah. Belgium pula tewas kepada Perancis dengan agregat 1 -0. 12 orang pemain remaja berserta seorang jurulatih sebuah kelab bola sepak  di Thailand yang terperangkap selama 18 hari  akhirnya dapat dikeluarkan dari gua Tham Luang. Di Jepun pula, kematian akibat banjir sehingga kini bilangannya  seramai 179 orang.
         Tahu atau tidak tahu, suka atau tidak suka, masa terus bergerak, walaupun jam di tangan kita kehabisan bateri atau jam di dinding sudah mati. Raikanlah kehidupan ini.

Biduk

Yang besar dipanggil kapal atau bahtera. Yang sederhana atau yang kecil pun ada juga namanya.
        Sewaktu kecil, ustaz atau ustazah selalu cerita tentang Bahtera Nabi Nuh. Cerita  popular tentang kapal mewah yang tenggelam sudah pastinya 'Titanic'. Di Melaka, ada replika kapal Flor de La Mar yang karam di Selat Melaka. Pekan Lanchang, di Temerloh pula ayah  tak pasti namanya berasal daripada lancang (kapal layar yang laju) atau sebaliknya.
         Peribahasa biduk lalu kiambang bertaut pula mengabadikan perkataan 'biduk', iaitu sejenis perahu. Along teruja berjumpa 'kiambang' di kolam hiasan UIA, tetapi tak adalah biduknya. Yang dibacanya, katak tak makan kiambang.

Monday, July 9, 2018

Sampah

Sejak zaman sekolah lagi, setiap kali masuk kelas, cikgu suruh kutip sampah. Kalau kena denda pun, kena kutip sampah di padang atau di sekitar kawasan sekolah.
          Sekarang pun, setiap kali masuk kelas, ayah suruh anak murid kutip sampah. Ayah pernah baca tentang satu taman tema di Korea yang memberi tugasan pertama untuk pekerja mereka sebelum menjawat jawatan tertentu, iaitu pengutip sampah sekitar taman tema dan dibekalkan plastik sampah berserta kasut roda. Jika perkara kecil seperti mengutip sampah pun tidak dapat dilakukan, bagaimana mahu membuat kerja yang lebih besar? Itu yang ditekankan.
         Jika malas atau tidak mahu mengutip sampah, tidak perlu mengata atau memerli orang yang mengutip sampah, duduklah diam-diam. Jika tidak mahu atau keberatan untuk menyumbangkan tenaga atau sesuatu, janganlah pula membuat onar atau menyusahkan orang lain dengan sikap kita yang tidak mahu berubah.

Saturday, July 7, 2018

Setongkol

Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat.     
         Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau melekat (pd buah). Tongkol merupakan penjodoh bilangan untuk buah jagung. Apabila umi mengajak ke rumah terbuka kawannya di Bukit Setongkol, kami pun ke sana. Sampai di kawasan perumahan tersebut, barulah along tahu perkataan sebenar 'setongkol'.
           Berdasarkan sebutan, along ingat 'Bukit Setongkol' dieja sebagai Bukit 'Stone Cold'. Peminat gusti tentu kenal Stone Cold Steve Austin. Ya,  along baru tahu 'setongkol' ada juga dalam Bahasa Melayu.

Kejut

Brazil pun boleh 'bungkus'. Apakah kejutan yang seterusnya menanti kita dalam Piala Dunia kali ini?
       Kembali kita ke tanah air tercinta, Alhamdulillah, Pahang sedang mendahului Selangor dengan angka satu dalam perlawanan akhir Shopee Piala FA. Selepas perlawanan ini, sudah pastinya semua akan memberi tumpuan penuh pada perlawanan England menentang Sweden.
        Ternyata hidup ini banyak kejutan. Perancangan di atas kertas segalanya nampak cantik, tetapi apabila melaluinya, barulah kita tahu. Itulah namanya kehidupan. Itulah yang akan mendewasakan kita.

Thursday, July 5, 2018

Kerja

England pun terpaksa bekerja keras untuk menang sebelum menewaskan Colombia.
    Tidak ada yang mudah dalam hidup ini. Mahu makan pun kena kunyah sampai lumat sebelum menelan. Ular sawa pun perlu melilit dan menjerut mangsa sebelum melulur. Burung pun pulang senja mencari makan. Semut pun melata sepanjang hari mencari makanan.
     Kata Charles Schwab,"Barang siapa yang bekerja bukan kerana kemahuan dan keseronokan untuk bekerja, tetapi hanya kerana wang semata-mata, berkemungkinan besar tidak akan dapat 'membuat' wang atau menemui keseronokan dalam hidupnya."
     Kata Virgil pula,"Kerja menakluki segala-galanya."

Wednesday, July 4, 2018

Ingat

Kawan silih berganti. Yang bernama sahabat dekat di hati.
          Kita boleh semak ada berapa kumpulan 'WhatsApp' dalam telefon kita.  Kumpulan kawan kedai kopi, kumpulan kawan tempat kerja, kumpulan kawan memancing, silap-silap kumpulan kawan kelas tadika atau tabika pun ada juga.
         Meminjam istilah daripada anak-anak yang berbahas, kawan 'halimunan'  di alam maya ini terlalu banyak, mungkin kita tidak kenal pun.  Daripada kumpulan yang banyak itu, mungkin kawan yang benar-benar rapat dengan kita entah beberapa orang sahaja. Kawan rapat pun kadang-kadang jarang sangat berkomunikasi dengan kita, tetapi dalam hati mereka tetap ingat kepada kita dan sentiasa mendoakan kita.
         Sebab ingatnya mereka kepada kita, Allah juga melontarkan ingatan kita  terhadap mereka. Walau jarang bersua, doa dititip buat mereka. Apa-apa pun, kawan sebahagian daripada hidup kita.

Monday, July 2, 2018

Menangis

Piala Dunia di Rusia kali ini penuh dengan  kejutan.
      Mexico sedang bertarung dengan Brazil. Kesudahannya belum tahu. Masing-masing sedang berjuang untuk memburu kemenangan. Kata Robert Kiyosaki," Hari ini ialah perkataan untuk si menang, esok ialah perkataan untuk si kalah." Donald Trump pula menyatakan bahawa yang membezakan si menang dan  si kalah ialah cara mereka bertindak terhadap kemenangan atau kekalahan mereka.
       Siapakah yang menyangka Rusia akan menang walaupun pada mulanya menyumbat gol sendiri? Apa-apa pun, kalau kalah jangan menangis.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...