Translate

Saturday, June 30, 2018

Kuat

Setiap daripada kita perlu mengenal pasti kekuatan yang ada dalam diri untuk terus maju ke hadapan.
        Kekuatan itu juga boleh ditambah dengan menuntut ilmu serta mengamalkannya dalam kehidupan kita. Jika kita terus mengeluh, keluhan itu tidak dapat membantu kita kecuali kita bertindak. Kekuatan  bertindak   memulakan sesuatu akan menjadi titik tolak utama untuk terus mengasah kebolehan kita dalam apa-apa sahaja yang kita lakukan secara istiqamah.
       Kekuatan kita terletak di mana? Lihatlah pada diri kita sendiri, apa-apa yang meralitkan kita dan membolehkan kita duduk lama pada satu-satu masa untuk melakukan sesuatu, mungkin di situ ada kekuatan kita, Insya-Allah.
       Kalau dalam Nujum Pak Belalang, kekuatan Hang Tuah digambarkan melalui huruf 'T' (ta). Anda kenal Hang Buah atau Hang Tuah?

Friday, June 29, 2018

Jentik

Ayah berpegang pada kata-kata 'dengan mengajar kita belajar, dengan belajar kita mengajar'.Ayah tak ingat  pula nama orang  atau tokoh yang mengujarkannya.
       Apabila kita mengajar, sebenarnya kita sedang menambah ilmu. Apabila sesiapa sahaja yang bertanya, kadang- kadang jawapan itu sendiri tiada pada kita dan kita perlu merujuk untuk mendapatkan jawapannya kerana ilmu itu sentiasa berkembang. Apabila kita belajar pula, kita mengajar diri kita untuk menerima ilmu  dan menyampaikan semula kepada orang lain melalui perkongsian ilmu.
       Terima kasih kepada Pak su Apit kerana mengajar ayah dan umi teknik 'Jentik Telinga'. Alhamdulillah, ayah dan umi dapat fokus sewaktu memandu.Mungkin selepas ini, boleh belajar teknik 'Jentik Hati' daripada Pak su Apit pula.

Wednesday, June 27, 2018

Sabar

Mungkin sebahagian daripada kita semakin sayang kepada Korea Selatan setelah mereka menumbangkan Jerman dengan agregat 2-0.
       Semangat yang ditunjukkan pemain Korea Selatan sepatutnya boleh kita contohi. Kata orang, dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Ya, memang betul. Namun, dalam masa yang sama, kita semua perlu betulkan diri kita terlebih dahulu. Ramai orang tidak sabar kerana mahu melihat Malaysia bermain bola sepak di peringkat lebih tinggi. Sudah tentu perkara ini melibatkan pengorbanan yang lebih tinggi. Pertama sekali, mari kita bersikap seperti orang Jepun yang mengutip sampah setiap kali habis perlawanan. Tidak mahu sebab bukan kerja kita? Jika kita sendiri pun tidak mahu berubah dengan membuang sampah kita sendiri, bagaimanakah mahu melakukan perkara yang lebih besar?
        Kejayaan memerlukan kesabaran. Untuk lebih cepat mencapai kejayaan, kita kena sanggup 'mengorbankan' sikap-sikap yang tidak patut ada dalam diri kita.

Tuesday, June 26, 2018

Vakum

Kadang-kadang, kita  rasa serba kurang atau kurang semangat, itu sebab kita tidak mahu ambil bahagian atau menjauhkan diri.
       Ini tidak bermakna  kita membenci atau tidak suka sesuatu atau seseorang. Rasa  tidak mampu atau rasa takut    itu membuatkan kita berasa kita tidak dapat menyumbangkan sesuatu atau menggembirakan hati seseorang. Hidup ini  bukannya semua tentang kita, tetapi tentang orang lain, orang di sekeliling kita, keluarga, teman-teman atau sesiapa sahaja yang pernah hadir  mengisi vakum hidup kita.
      Apabila ayah serahkan tugas memvakum kepada achik, along dan angah rasa tercabar dan  mereka mahu buat juga. Achik membuat mereka bermotivasi dan nampaknya mereka gembira dengan tugas baharu. Ayah pun gembira juga. Jika tidak, itu jadi kerja ayah.😂

Sunday, June 24, 2018

Bakat

Sahabat ayah mengutarakan satu pendapat yang menarik tentang 'bakat membaca'.
          Mula-mula ayah nyatakan bahawa dia memang berbakat menulis. Sebab apa? Sebab dia  dulu lebih 'hadam' dalam menulis berbanding ayah. Sajaknya tentang Ibu telah disiarkan sebelum ayah 'hadam'  apa itu sajak. Katanya, bakat membaca pun dah jarang orang ada. Ya, tak semua orang gemar membaca. Nak membaca pun kena ada bakat. Ramai juga yang dapat membaca jalan cerita melalui teknik plot yang diolah. Bakat perlu diasah dengan minat. Bakat semua orang ada, tapi tak sama. Minat pun semua ada, tapi lain-lain.
       Walau bakat dan minat  ayah mungkin  tak sama dengan sahabat ayah, Farihan, tapi kami tetap kongsi cerita yang sama. Bakat dan minat mewujudkan sesuatu yang di luar jangkaan. Tak percaya? Cubalah!

Saturday, June 23, 2018

Jalan

Belgium makan besar. Tunisia tidak mengalah. Saat akhir, keputusan bertukar menjadi 5-2.
     'Makan' membawa kami melalui jalan pintas yang tembus ke jalan berhampiran tempat kerja ayah berpandukan 'Waze'. Walaupun hujan lebat, Alhamdulillah sampai juga, tetapi bukanlah untuk makan besar sebab perut pun separuh telah penuh kerana ini rumah terbuka kedua.
       Insya-Allah, jalannya tetap ada cuma setiap jalan ada halangan yang berlainan. Itupun jika sesuatu itu dipanggil halangan, jika tidak, tidak ada masalah. Ada jalan mati, ada jalan berlubang, ada jalan tidak sesak, ada jalan sesaknya berpanjangan dan ada jalan ditutup.
       Pilihlah jalan yang betul, dirasakan selamat dan kurang mudarat.

Thursday, June 21, 2018

Tahniah

Cepat. Ini salah satu sebab ayah suka makan kedai mamak.
     Kalau di Kuantan kami makan mi goreng mamak, cendol, sup dan roti berhampiran dengan Court. Mamak pokok ceri. Baru-baru ini pun kami makan di kedai makan berhampiran TF Value Mart Mentakab di sebelah pasar raya ekonomi. Ayah makan laksa, yang lain makan nasi ayam. Cepat juga sampainya.
      Opah pula dah banyak kali suruh ayah telefon TNB. Ayah yang lambat. Tak sampai satu jam ayah telefon, TNB dah sampai baiki lampu jalan depan rumah. Cepat sungguh. Tahniah dan terima kasih TNB.

Terima kasih

Denmark mendahului Australia pada minit ketujuh.
      Masih banyak masa lagi, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan bola sepak atau dalam kehidupan kita. Achik sudah tidur keletihan. Sambil makan pun boleh terlelap. Malam semalam masih di Selangor. Sempat membakar kambing dan ayam. Malam ini sudah di negeri Tok Gajah. Cuti masih ada dan masih boleh beraya, Alhamdulillah. Ada yang tak bercuti pun dan ramai yang sudah bekerja.
        Masing-masing ada tanggungjawab, itulah kehidupan di dunia selagi bernyawa. Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang bekerja demi melancarkan aktiviti rakan-rakan yang masih bercuti.

Wednesday, June 20, 2018

Pak Tam

Makan. Raya memang banyak makan.
     RNR Tapah salah satu tempat wajib yang disinggah. Ayah mengekor  Pak Su. Tu dia Pak Tam. Kami dah jumpa. Kami cari tempat duduk. Umi ambil nasi putih dengan telur ikan. Ayah selalunya makan char kuetiau.
Waktu beraya, along naik pelik sebab dia tidak jumpa nasi dan banyak makan mi. Apa-apa pun perut memang sentiasa kenyang dan stok kuih raya pun masih ada. Ayah suka sangat apabila jumpa kuih tradisional seperti putu kacang dan batang buruk. Waktu balik pun singgah RNR Tapah, tu dia, jumpa Pak Tam lagi.
       Makan tetap makan, cuma kena hati-hati, jangan salah makan, takut sakit perut.

Ipoh

Bentuk muka bumi di kawasan Ipoh tidak pernah membosankan.
       Sempat juga kami bertemu dengan kesesakan lalu lintas dari Kuala Kangsar ke Ipoh. Hampir dua jam. Masuk bandar Ipoh, kami ke hospital melawat Opah Timah. Malam, sambung beraya di Tanjung Rambutan dan kembali ke Bercham. Waktu kami berangkat meneruskan perjalanan, sempat singgah di  Simpang Pulai dan Behrang.
        Semoga Opah Timah cepat sembuh dan sama-sama kita mendoakannya serta memohon kesihatan yang baik daripada Allah swt untuk kita semua. Selamat tinggal Ipoh.

Monday, June 18, 2018

Lubok

Tanah sudah berjejak, bukit sudah didaki, kini turun ke lubok dan kuala. Lubok Merbau, Kuala Kangsar. Alhamdulillah, raya membawa kami ke sini.
      Sudah tentu ramai yang mengenali Allahyarham Syeikh Idris al-Marbawi  (10 Mei 1896- 13 Oktober 1989). Dalam Wikipedia Bahasa Melayu menyatakan bahawa tempat asal ibu bapa Syeikh Idris al-Marbawi di Kampung Lubok Merbau. Antara karya karangan beliau ialah kitab Bahrul Mazi. Beliau sudah menghafal 16 juzuk sewaktu berumur 10 tahun. Di sini juga tempat kelahiran seniman yang terkenal dengan watak Tok Perak, Allahyarham Ahmad Marbawi.
       Anak-anak  pula tidak kira di mana-mana sahaja, seperti biasa, tak letih bermain dan riuh-rendah dengan tawa serta tangis. Jom beraya.

Kartini

Zaman ayah belajar dulu, ayah suka lukis kartun.
     Ayah suka tiru dan tengok watak  kartun perempuan bertudung yang dilukis Tembakau. Dah sudah tentu ayah meminati Kartini. Dan hari ini kita kehilangan kartunis Tembakau. Tempoh hari ayah sepatutnya menghadiri kelas kartun kelolaannya tetapi tidak ada rezeki untuk bertemu dengannya kerana dibatalkan.
      Al-Fatihah untuk Allahyarham  kartunis Tembakau. Semoga Allah tempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.

Tun Mamat

Dari Tanah Merah, kami sempat singgah beraya di Pasir Puteh dan Manir.
      Dalam masa yang terhad, dua tempat itu sahaja kami sempat singgah. Jika tidak kesuntukan masa, mahu sahaja kami singgah rumah-rumah sahabat yang ada. Itu pun bukanlah perancangan utama kerana kami ke sana untuk tujuan yang lain, sepertinya tujuan Hang Tuah, Tun Mamat dan rombongannya ke Gunung Ledang. Alhamdulillah,setelah selesai adanya urusan yang rasmi, dalam perjalanan balik barulah kami mampir. Perancangan itu benar-benar penting, jikalau tidak, masakan Mexico dapat menundukkan Jerman.
      Perjalanan yang panjang bertemankan 'waze' menemukan kami dengan sawah padi di kiri dan di kanan jalan, juga menemukan kami dengan kuda yang meragut rumput bersama dengan sekawan lembu.

Bapa

Raya ketiga. Kami  meninggalkan Humaira lalu ke Kelewek.
      Sudah raya ketiga, macam-macam  boleh berlaku. Messi pun mungkin tidak menyangka sepakan penaltinya dinafikan. Itulah yang berlaku. Namun, sebagai seorang lelaki atau sebagai seorang ayah, dugaan itu tetap ada walaupun ada kalanya perit untuk diterima. Belajar untuk menerima dan melalui, dalam masa yang sama, belajar daripada kesilapan.
      Masih belum terlambat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa untuk abah, ayah dan semua bapa-bapa serta bakal-bakal bapa.

Saturday, June 16, 2018

Doa

Ayah nampak anak ayah biarkan sahaja sikat di atas lantai selesai bersiap.
    Ayah cakap 'sila bertanggungjawab'  dan sesetengah orang zaman sekarang tak macam orang dulu-dulu, kalau tidak puas hati dan sebagainya, dia akan cakap
atau tulis '#silameninggal'.
     Orang dulu-dulu banyak berkias atau guna ayat terbalik, seperti  'panjat lagi tinggi-tinggi', anak-anak akan turun dari pokok. Zaman dah berubah, pemikiran pun ada yang berubah dan seelok-eloknya kita cuba untuk guna perkataan yang baik-baik sebab kata-kata itu satu doa.
     Dulu-dulu pun seronoknya raya apabila kita cuci gambar raya atau terus bergambar di kedai gambar. Hari ini ayah cuci gambar, kembali ke zaman silam.

Friday, June 15, 2018

Indah

Sudah berlalu Satu Syawal. Jatuhnya pada Penghulu Segala Hari.
      Anak-anak cukup gembira, bertemu sepupu-sepupu dan juga kawan baharu. Akhirnya, tidak mahu pula ikut beraya, ralit bermain. Namun, raya tetap meriah dengan amalan kunjung -mengunjungi. Ayah dulu pergi beraya suka meratah rendang selain makan ketupat. Suka merasa rendang sebab lain rumah lain rasanya. Perut ayah meragam malamnya dan hari raya tak makan sangat. Tengah malam tadi tak tahan tengok lauk nasi dagang, meratah ikan pula.
       Raya tetap indah dengan aneka ragam warna, sedondon dan sebagainya. Jom beraya.

Thursday, June 14, 2018

Takbir

Maka berakhirlah Ramadan. Malam ini orang beratur bayar zakat di masjid.
      Malam ini juga orang beratur beli lemang di tepi jalan. Kami beli lemang Gegar di depan Taman Sepakat. Masih panas dan sedap, Alhamdulillah. Malam ini bunyi letupan tak habis-habis.  Bintang tak banyak sangat. Ada masanya kelihatan bunga api di angkasa. Takbir raya berkumandang. Aksi Piala Dunia di Rusia pun bermula malam ini. Separuh masa pertama,  Rusia mendahului dengan 2 - 0.
       Ayah ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.  Moh tengok bola di TV2.

Eh!

Ada orang ada senarai semak barang-barang untuk hari raya. Ada orang, senarainya bermain-main dalam kepala.
       Apa lagi yang masih belum dibeli? Butang baju Melayu atau kerongsang? Berus gigi? Lemang? Boleh dibuat atau beli sahaja di pinggir-pinggir jalan. Rasanya? Tunggu waktu berbuka. Waktu berbuka nanti  pun juadahnya sudah macam juadah hari raya.
        Dalam senarai, jangan dilupa zakat fitrah. Negeri Pahang RM 7.00 sahaja.

Gas

Semakin hampir Satu Syawal, semakin banyak juadah yang perlu disediakan.
      Dua,tiga, empat atau lima dapur mungkin digunakan serentak. Tiba-tiba gas pun habis, maka si anak bongsu atau sesiapa sahaja bergegas ke kedai untuk membeli gas. Jika ada, Alhamdulillah, mungkin tidak perlu ke banyak kedai. Begitu juga air batu, begitu laris saat-saat yang begini.
      Ada yang sudah di kampung, ada yang bersiap- siap hendak pulang ke kampung, ada yang masih bekerja, ada yang tidak bercuti dan ada yang mendapat cuti saat-saat akhir. Ya, kedai mana masih ada gas?

Tuesday, June 12, 2018

Menarik

Perubahan itu berlaku sama ada kita sedar ataupun tidak sedar.
          Perubahan itu juga  berlaku dengan kehendak hati. Boleh juga berlaku mengikut peredaran masa dan berubah satu demi satu. Fizikal boleh berubah dan umur bertambah setiap saat. Adik pun sekarang ini sudah mencapai fasa berusaha untuk mencapai apa-apa yang diletakkan di hadapannya atau mencapai apa-apa yang dirasakan menarik yang berada di hadapannya. Apa-apa yang menarik ada di hadapan kita, merangkumi impian atau imaginasi kita boleh membawa kita jauh ke hadapan dan mungkin membawa kita jauh daripada apa-apa yang kita jangkakan.
         Insya-Allah yang menarik perhatian kita untuk terus melangkah ke hadapan akan membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada kita.

Monday, June 11, 2018

Palas

Alhamdulillah, kerja ayah sudah siap. Opah masih menyiapkan tempahan baulu dan peneram.
           Opah sudah siapkan sarung ketupat semalam. Dulu  kalau ke ladang sawit atau ikut atuk masuk hutan di tepi ladang, banyak juga jumpa pokok palas. Along suruh ajar dia buat sarung ketupat. Selalunya ayah buat jadi ketupat jantan. Along dan angah gembira dapat tolong opah buka daun palas. Tersenyum dan tersengih mereka.
           Kata Hamka,"Keikhlasan sebenar terlindung dalam senyuman anak kecil, itulah senyum yang  sebenarnya senyum, senyum yang tidak disertai apa-apa."

Sunday, June 10, 2018

Gurih

Waktu kecil, ayah menyebutnya 'gurih'. Itu bunyinya dalam loghat Kedah.
      Zaman dulu tak macam zaman sekarang. Duduk kampung atau felda, sampah akan dibakar. Mancis atau gurih diperlukan. Kadang-kadang, gurih ada di dalam poket. Zaman budak-budak, memang suka main api. Buah kelapa sawit pun dihiris dan dicucuk pada lidi, jadi macam sate, kemudian dibakar. Dikunyah dan gigi jadi kuning.
         Tambah-tambah bulan puasa, nak bakar mercun roket atau bunga api, gurih kena ada. Anak-anak ayah tak sempat lagi main api. Dulu pun, antara lagu yang dinyanyikan ialah Anak Kecil Main Api. 'Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi, air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang.'

Gembira

Along gembira benar menang main bola lawan ayah dengan angah.
     Achik pun gembira benar, asyik mengulang makan baulu opah. Semut pun suka baulu opah. Sekejap sahaja letak bekas bahulu di atas lantai, penuh dihurung semut. Opah pun masih sibuk menyiapkan tempahan. Ramai sungguh orang suka kuih tradisional  dan raya bertambah ceria. Selalu opah cakap, "Tak sampai hati nak tolak."
         Dalam buku  Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), kata Cynthia Nelm, " Tidak ada siapa yang betul-betul peduli jika anda berada dalam kesusahan, jadi ada baiknya anda bergembira." Along dan angah cukup gembira menikmati petang di atas kereta selesai bermain bola .

Saturday, June 9, 2018

Bahasa

Kita kongsi makanan yang sama walaupun berlainan bangsa.
      Ayah suka yong tau foo. Umi suka tau fu fa dan putu mayam. Anak-anak suka roti canai. Nasi lemak? Itu sudah mesti. Makanan Timur atau Barat ada di mana-mana. Tambah-tambah bulan puasa. Cuma sediakan ongkos secukup rasa.
      Selain makanan, kita pun kongsi lagu yang sama. Ayah cukup suka lagu Alleycat. Jelas dan fasih sebutannya. Bahasa sepatutnya menyatukan kita setelah hampir 61 tahun kita merdeka.

           Kita manusia tiada berkuasa 
               Untuk menghalang dunia 
                              berputar
          Hanya usaha untuk sejahtera
                  Kita harus mencuba

Thursday, June 7, 2018

Cuti

Apakah keistimewaan hari ini selain hari ini hari Jumaat?
      Ya, hari ini hari terakhir persekolahan dan hari ini juga cukup mempengaruhi perasaan anak-anak. Hari ini tidak perlu mengejut beriya angah dan along untuk bersahur.  Mereka tidak tidur kembali dan begitu bersemangat, tidak seperti hari-hari sebelum ini. Cuti boleh mempengaruhi perasaan atau emosi seseorang. Ayah gembira tetapi kerja masih belum selesai.
       Selamat bercuti bagi yang mula bercuti. Yang masih bekerja, bekerjalah, bergembiralah kerana kita masih ada kerja.

Wednesday, June 6, 2018

Milik

Tak semua yang kita ada perlu diberi kepada orang lain.
         Tak percaya? Kadang-kadang, apa-apa yang dipinjamkan pun belum tentu akan dipulangkan kembali, apatah memberikan sesuatu yang menjadi milik kita kepada orang lain. Sudah diberi, janganlah berharap sedikit pun sesuatu itu akan kembali. Sebab itu untuk mempertahankan sesuatu yang kita ada bukan hanya perlu kekuatan, tetapi kebijaksanaan. Kebijaksanaan terhasil daripada pembacaan dan pengalaman. Insya-Allah, ilmu  yang menjadi akar kebijaksanaan yang akan memandu kita untuk mempertahankan apa-apa yang kita ada. Kebijaksanaan bukan bertujuan untuk mengambil milik  orang tetapi untuk  menjaga milik sendiri.
      Tolak ansur? Ya, penting. Ayah pernah terbaca pendapat seorang penulis dalam Dewan Masyarakat yang menyatakan bahawa bangsa yang terlalu bertolak ansur akan ditolak beransur-ansur. Dan nampaknya achik begitu mengawal permainannya pada malam ini.

Monday, June 4, 2018

Hidung

 Banyak juga peribahasa tentang hidung dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Yang selalu kita dengar ialah seperti kerbau dicucuk (diatur) hidungnya  yang bermaksud orang  bodoh yang menurut perintah orang. Menguak- nguak bagai hidung gajah pula bermakna bernafas terngah-ngah.
        Adik pula selesema sebab abang-abang  suka mencium. Abang  ada selesema. Dia tak suka hidungnya dilap dan akhirnya umi calit kapur atas hidung dia.                             Hanya untuk hidung. Ya, gunakan Biore' Pore pack Black hanya untuk hidung. Ini  juga kerja umi. Ayah seronok aje.

Saturday, June 2, 2018

'Janji Kita'

"Sejarah...hanya lebih sedikit daripada catatan mengenai jenayah, kebodohan dan nasib buruk manusia", inilah kata- kata Edward Gibbon.
      Kata-kata Edward Gibbon menjadi sebahagian isi dalam drama 'Janji Kita' di TV9. Jenayah, kebodohan dan nasib buruk manusia berubah menjadi dendam dan ditambah pula dengan salah sangka. Dendam akan terus menyala dalam diri manusia selagi mana  dendam berterusan membakar dalam hati dan untuk memadamkannya memerlukan kekuatan yang luar biasa.
       Dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), kata Mother Teresa ," Hanya dengan memaafkan, seseorang itu akan dimaafkan." Mufti Ismail Menk pula menyatakan bahawa memaafkan orang lain bukan merupakan kelemahan. Hanya orang kuat yang mampu memberikan maaf (https://www.mutiaraislam.net).

Gulai

Waktu dulu, ayah paling tak suka gulai apabila opah masak. Makin besar, ayah cukup suka  dengan gulai dimasak opah.
      Itulah orang tua-tua cakap, kalau tak suka berpada-pada, kalau sayang pun berpada -pada. Apabila makin besar, baru bertemu dengan kosa kata 'kari'. Ayah panggil masakan kari itu gulai. Ayah pun tak pasti kedua-duanya sama atau tidak. 'Gulai kawah' ada, tapi tak pernah dengar pula 'kari kawah'.
        Alhamdulillah, hari ini kami berbuka dengan gulai dimasak umi. Virginia Woolf menyatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat berfikir dengan baik, berkasih sayang dengan baik sekiranya dia tidak makan dengan baik.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...