Translate

Thursday, May 31, 2018

Berubah Sesumpah

Hari ini hari Jumaat, 1 Jun 2018. Hari ini sudah 16 Ramadan 1439H.       
        Dakwat pada kuku masih ada. Namun banyak yang telah berubah. Setiap hari sekarang ini ada sahaja yang berubah. Sebab itu ada peribahasa Melayu yang berbunyi, sekali air bah, sekali pantai berubah. GST  pun telah mati  (1 April 2015 - 31 Mei 2018). Bercerita tentang perubahan, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa kebanyakan orang tidak tidak bersedia mempersoalkan perkara-perkara yang menjadi kebiasaan, mereka percaya apa yang biasa dilakukan, itulah cara yang betul.
           Kerajaan sudah berubah, perangai kita bila lagi nak berubah? Dan ayah pun terpaksa berubah hari ini. Berubah tak perlu jadi sesumpah.

Hidup Berjasa

Jika 22 tahun merujuk kepada tempoh perkhidmatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-4, 33 tahun pula merujuk kepada tempoh perkhidmatan Encik Thinagaran a/l Munusamy di Semsas.
      Yang ayah ingat tentangnya ialah dia pernah bertugas menjadi pengawal keselamatan Semsas dan dia bermula dengan jawatan tukang sapu (terima kasih Encik Hafiz atas maklumat). Apabila ayah,  abang Hafiz, Cikgu Hashim, Cikgu Suhaimi mahu keluar makan pada waktu malam, Cikgu Hashim akan bertanya tentang air minuman yang mahu dipesan. 'Teh tarik' itulah jawapan.
        33 tahun ( 1 April 1985 - 31 Mei 2018) bukanlah waktu yang singkat dan sudah tentu 'Hidup Berjasa' itu yang paling sesuai untuk menggambarkan betapa berjasanya Encik Thinagaran di Semsas. Selamat Bersara dan selamat menempuh kehidupan baharu buat Encik Thinagaran a/l Munusamy.

Wednesday, May 30, 2018

Sirih

Bangun sahur, umi tengok baju angah sudah ada kesan darah.
     Umi tengok hidung angah berdarah. Umi pun cuci darah pada hidungnya. Apabila ayah mandikan dia, siap mandi, hidungnya kembali berdarah. Kalau dekat kampung, letak daun sirih di dalam lubang hidung untuk hentikan darah.
Umi ambil cuti bawa  angah pergi klinik. Pergi UTC, dia mahu tampal gigi pula. Jadi, hari ini hari dia bersama dengan  umi. Nampaknya dia cukup gembira hari ini bersama dengan umi walau giginya kena 'gerudi' untuk ditampal. Dua kali dia telefon ayah untuk cerita pasal biawak melintas jalan.    
       Mungkin perlu ada papan tanda berhati-hati 'biawak melintas' sebab banyak biawak mati waktu melintas dirempuh kenderaan.

Monday, May 28, 2018

Langit

Semalam ayah bawa semua ke tempat kerja ayah untuk berbuka dengan anak-anak murid kelas ayah.
      Sebelum berbuka ayah bawa mereka masuk bilik muzik tengok abang-abang dan kakak-kakak berlatih. Berbuka beratapkan langit bukanlah selalu dibuat. Ini pengalaman baharu untuk anak-anak. Angah kata seronok. Mereka perlu tahu beginilah keadaannya jika tinggal di asrama, tinggal berjauhan daripada keluarga.     
      Banyak aktiviti memberi pengalaman yang berguna untuk mereka. Banyak perkara dilakukan bersama-sama.

Saturday, May 26, 2018

Catur

Jumaat sempat singgah kedai buku. Dua tiga hari sebelumnya, along main catur dalam telefon.
         Di MBS, along teruja tengok catur.  Sampai di kampung, along main catur dengan umi sambil umi mengajarnya sekali. Jika tidak main catur, dia main dam dengan opah. Malam, dia main dengan Paksu. Aidil balik, dia main dengan Aidil.
          Inilah catur kehidupan. Ada masa jalan yang diambil itu betul. Ada masa tersilap langkah. Dalam hidup ada kalah dan menang. Along perlu merasainya. Yang penting jangan pernah putus asa.

Friday, May 25, 2018

Turun

Pagi ini ayah menangkap lagi, bawa masuk ke dalam kereta.
     Di dalam kereta, ayah bercerita macam umi. Ayah cerita pasal arnab. Bukan pasal kura-kura berlumba lari dengan arnab, tetapi cerita pasal ayah bela arnab waktu zaman sekolah. Ayah ada jadual bertugas beri makan arnab. Ada hari ayah bertugas, ada hari adik ayah bertugas. Ada masa, kawan ayah datang beli arnab. Ada masa, opah menyelinap arnab yang disembelih untuk dibuat sate.
      Alhamdulillah, sampai di sekolah, dia turun sendiri, dapat juga ayah menangkap hatinya. Esok belum tahu lagi, tetapi ayah dan umi tidak boleh mengalah.

Wednesday, May 23, 2018

Hati

Kepakaran ayah menangkap hati, eh, menangkap anak. Menangkap hati sebenarnya kepakaran umi.
      Salah perkara yang menjadi isu pada waktu pagi ialah tidak mahu mandi. Apabila anak tidak mahu mandi, ayah pun memujuk, tetapi tidak dapat menangkap hatinya. Ayah tinggalkannya dahulu, ayah pun mendukung achik. Achik sudah lama tidak 'basah', baju batik  ayah sudah hancing. Ayah meletakkan achik semula. Ayah menangkapnya, masuk ke bilik air setelah bergelut untuk membuka pakaian. Waktu menyeterika baju yang lain, ayah pasang telinga.
        Umi memujuknya untuk memakaikan pakaian. Semalam umi buka cerita pasal doktor gigi yang akan datang ke sekolahnya dan dia sejak waktu malam bersedia dengan kole plastik, berus gigi dan ubat gigi. Pagi ini pula umi cerita pasal jagung. Abang sudah dua hari cerita pasal resepi jagung rebus dalam buku yang dibacanya.
      Cerita umi pasal jagung menangkap hatinya dan sudah tentu umi berjaya memujuknya. Sekali lagi sampai di sekolah, ayah menangkapnya dan menggendong ke dalam kelas.

Tuesday, May 22, 2018

Gebar

Gebar boleh meredakan perasaan?
     Ya, ayah baru sahaja kunci pintu rumah dan masuk ke dalam kereta. Tiba-tiba anak ayah merengek mahukan gebar. Ayah terus mengundurkan kereta dan parkir di luar kawasan rumah. Kembali membuka pintu  dan ke dalam rumah mengambil gebar.
      Kalau masih awal, ayah terus  membawa kereta tanpa mengambil gebar, anak ayah akan meragam, ayah pun naik geram. Kalau sudah lambat, akan jadi lebih lambat. Walau sudah lambat, jika gebar diambil, keadaan akan lebih terkawal. Apabila hilang sabar, jadilah seperti Hulk. Hulk  selalu kata, "Don't make me angry. You wouldn't like me when I'm angry."
      Dalam erti kata lain, melayan anak-anak yang belum reti bahasa, ayah dan umi kena tahan  marah dan tahan sabar. Telinga kena tebal dan hati kena kental.

Sunday, May 20, 2018

'Marie'

Bulan puasa, bulan munculnya pelbagai jenis juadah.                                           Bulan Ramadan juga buat semua orang seperti orang 'mengidam'. Seleranya lain macam. Along pun teringinnya lain macam. Ayah sebut 'roti' (loghat Utara). Dia panggil biskut. Boleh pula dia teringin nak makan biskut 'marie' waktu berbuka. Kata  John Harvey Kellog, "Makanlah separuh daripada biasa, tidur dua kali, minum tiga kali dan ketawa empat kali daripada biasa dan anda akan panjang usia."                 Orang yang membaca ni, berbuka teringin nak makan apa? Makan, makan juga dan jangan lupa kita bersedekah.

Saturday, May 19, 2018

Masa

Ya, Chelsea menewaskan Manchester United, 1 - 0 dalam Piala FA. Hazard menjaringkan  gol penalti pada minit 22.
        Hafizh Syahrin pula akan memulakan perlumbaan di petak ke-14 dalam saingan MotoGP Perancis di Litar Le Mans. Dalam sesi kelayakan, Hafizh mencatat masa 1 minit 32.397 saat ( 'Sinar Harian Online').
       Dalam perlawanan bola sepak, 90 minit menjadi penentu kalah, menang atau seri. Di dalam litar, kepantasan masa menjadi penentu petak permulaan dan peluang untuk memenangi perlawanan lebih cerah jika mendapat petak hadapan.
       Peribahasa Melayu berbunyi, "Masa itu emas." Angah pun pelik sebab ayah membuang masa,  pusing dua tiga kali mencari gerai menjual buah melaka. Hari sebelumnya, beli di satu gerai tetapi hari ini sudah tidak jumpa gerai itu. Padahal gerai lain pun ada jual juga buah melaka.
         Kadang-kadang di bulan Ramadan, masa kita banyak habis berfikir tentang menu berbuka dan 'tawaf' di bazar Ramadan.

Friday, May 18, 2018

Didik

Ayam didik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud anak ayam yang tidak beribu tetapi dididik (dipelihara) oleh orang yang memeliharanya.
      Daripada kata dasar 'didik' pula menjadi kata terbitan 'mendidik'  dan 'pendidikan'. Pendidikan penting untuk kita semua. Sebelum PRU ke- 14, Menteri Pendidikan ialah  YB Dato' Seri Mahdzir Khalid. Semalam pula telah diumumkan Menteri Pendidikan yang baharu. Pada mulanya, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.    
     Kemudian, Menteri Pendidikan yang terbaharu ialah Dr. Maszlee Malik  kerana Perdana Menteri tidak boleh memegang dua portfolio. Menurut YAB Tun Dr. Mahathir, beliau sedia menerima jawatan tersebut jika ada permintaan.
      Nampaknya penantian ayah telah berakhir. Ayah dan cikgu-cikgu kena terus mendidik dan mendidiklah dengan hati.

Melengkapi

Sebenarnya, kita dikurniakan kecenderungan yang berbeza. Tidak perlu pergi jauh, perhatikan orang di kiri dan di kanan kita atau ahli keluarga kita.
      Kecenderungan atau minat terhadap sesuatu itu sebenarnya itu saling melengkapi. Tidak perlulah melabelkan diri kita atau orang lain bodoh, lemah, tidak cemerlang atau sebagainya. Jangan lupa juga bahawa potensi atau minat boleh digilap atau dibentuk.
      Jadi, kita sebagai ayah, emak, guru, majikan, pemimpin dan lain-lain perlu memberi peluang dan pengalaman supaya anak-anak kita atau sesiapa sahaja dapat mengoptimumkan minat atau kemahiran  yang mereka ada untuk menjayakan sesuatu perkara.
       Huru-haralah berlakunya dan tidak patutlah jika ikan disuruh panjat pokok kelapa.

Wednesday, May 16, 2018

Sejarah

Minggu ini dalam sejarah, banyak perkara yang berlaku.
        Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-14 ( 29 Syaaban 1439H, Selasa, Ismaweb.net).
         Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V (30 Syaaban 1439H, Rabu, Ismaweb.net).
        Yang ditunggu semua telah pun tiba, iaitu tiada sebarang cas (sifar)  Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan kepada rakyat Malaysia, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini (30 Syaaban 1439H, Rabu, Ismaweb.net).
         Semalam, Hari Guru dan hari ini pula 1 Ramadan 1439H. Sila letak jauh-jauh ataupun bersihkan meja kerja daripada botol atau makanan, maklumlah hari pertama. Takut terlupa dan elakkan buat-buat lupa. Selamat berpuasa dan berbuka pada waktunya.

Sunday, May 13, 2018

Timbang

"Buku-buku ialah kawan-kawan yang tidak pernah mengecewakan aku," kata Thomas Carlyle.
      Paxton Hood pula mengatakan bahawa berhati-hatilah dengan buku yang anda baca sebagaimana anda berhati-hati dengan kawan rakan anda, sebab tabiat dan watak anda sering dipengaruhi oleh kedua-duanya.
       Francis Bacon pula menjelaskan bahawa membaca bukan untuk berlawanan pendapat atau membuktikan kesilapan, bukan juga untuk bercakap atau berucap, tetapi untuk menilai dan membuat pertimbangan.

Saturday, May 12, 2018

Ibu

Mungkin Opah tengah buat bahulu. Tok Jarah mungkin tengah menyapu.
         Umi pula seterika baju, sekarang, suap makanan ke mulut adik. Sekarang Wan mungkin tengah layan cucu. Walaupun Hari Ibu, ibu-ibu tetap buat macam-macam perkara. Ayah masih sempat baca surat khabar. Maka, hargailah ibu kita yang masih ada dan doakan mereka selalu.
          Selamat Hari Ibu buat mak, tok, umi dan wan.

Kanan

Apa yang ayah faham ( kalau salah tolong tegur), mengikut Pengarah UMCEDEL, Dr. Hamidin Abdul Hamid,  antara  ciri tiga jawatan utama ini ialah diberi mengikut kekananan.
    Presiden Parti Amanah, Tuan Haji Mohamad Sabu menjawat jawatan Menteri Pertahanan. Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Menteri Kewangan.
    Ayah menunggu pengumuman Menteri Pendidikan, nampaknya masih belum tiba masanya.

Friday, May 11, 2018

Jururawat

Hari ini 12 Mei 2018. Hari ini hari lahir Tok Som dan Pak Su Zakaria. Hari ini juga Hari Jururawat Sedunia.
       Antara kerjaya yang ayah hormati ialah jururawat. Ayah pernah dirawat di hospital Selayang selama tiga bulan pada tahun 2002. Sudah tentu jururawat mempunyai kesabaran yang tinggi. Kita yang berurusan dengan orang yang tidak sakit pun kadang-kadang hilang sabar, apatah lagi apabila mahu berhadapan dengan  orang sakit.
       Selamat Hari Jururuwat buat semua jururawat dan jururawat di Hospital Selayang. Terima kasih tidak terhingga juga buat para jururawat dan juga para doktor.

Tahu

Alhamdulillah, hari ini sempat membeli surat khabar Berita Harian dan Utusan Malaysia.
     Di dalam akhbar Berita Harian ada sisipan keputusan penuh PRU ke-14. Muka hadapan hari ini tentulah gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-7 kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di Istana Negara, malam tadi (Utusan Malaysia, 11 Mei 2017, Jumaat).
      Mula-mula ayah bekerja dahulu, ayah sempat berada di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir dalam tempoh sebulan lebih sahaja kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.
     Anak-anak ayah perlu tahu bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri ke-4 (16 Julai 1981 - 31 Oktober 2003) dan kini menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Wednesday, May 9, 2018

Tujuh

Antara perkara indah sewaktu zaman sekolah dahulu ialah dapat berjumpa dengan pemimpin yang selalu kita lihat di televisyen dan di dalam surat khabar.
      Sewaktu di tingkatan enam ayah menerima hadiah daripada   YB Tan Sri Sabbaruddin Chik yang merupakan Ahli Parlimen Temerloh. Sewaktu di universiti pula kami, kami dapat berjumpa dengan Menteri Besar Pahang, YH Dato' Sri Diraja Adnan Yaakob yang akan bersalaman dengan semua mahasiswa di dalam dewan walaupun bilangannya ramai. Kami juga pernah bergambar dengan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein. Kami juga pernah terserempak dengan  Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara.
     Ayah, umi dan anak-anak masih lagi belum sempat bertemu dengan negarawan dan Perdana Menteri Malaysia ke-7, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad, 93 tahun.

Luar Biasa

Hari ini agak luar biasa. Nampaknya  amalan membaca pada hari ini di tahap luar biasa.
      Surat khabar Berita Harian habis, tiga kedai ayah pergi, semua habis dibeli. Yang tinggal hanya Harian Metro. Kosmo dan Utusan Malaysia masih belum sampai. Sinar Harian ayah tidak pasti pula.
       Nampaknya satu-satu isu mempengaruhi tabiat membaca dan apatah lagi isu itu tentang PRU 14 Milik PH (tajuk muka hadapan Harian Metro: 10 Mei 2018, Khamis).

Sejarah

Sejarah  tercipta ketika negara akan menyambut Kemerdekaan ke-61.
     Malam tadi, ayah tidak boleh tidur. Pertama, sebab menunggu keputusan pilihan raya, kedua sebab ayah minum dua cawan Nescafe percuma di RNR Temerloh, ketiga, ayah menunggu pengumuman cuti seperti along juga.  Along pula asyik bertanya tentang cuti atau tidak. Ayah dan umi sudah tidak larat mendengar dan akhirnya dia mengalah. Dia masuk ke bilik tidur kerana mengantuk.
    Keputusan PRU ke-14 membuka lembaran sejarah baharu. Confucius menyatakan bahawa pelajarilah masa silam kalau kamu mahu beroleh kegemilangan pada masa akan datang.

Alhamdulillah

Alhamdulillah. Segalanya telah selesai. Inilah masa untuk kita sama-sama membina negara.
      Mana-mana yang baik diharap diteruskan, mana-mana yang kurang, kita tambah baik dan mana-mana tidak perlu, kita tinggalkan. Inilah masa untuk terus kita bekerja bersama-sama dan lemparkan hasad dengki. Tidak kira kita siapa, kita semua ada peranan untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara serta fahami dan hayatilah sejarah negara kita.
     Negara memerlukan kita semua kerana kita telah memilih. Cukuplah kata-mengata dan sengketa kerana kita rakyat Malaysia yang seia sekata yang mahu Malaysia terus gah dan gagah dalam segala aspek. Insya-Allah.

Debar

Malam yang mendebarkan. Masing-masing 'berinai' di jari bagaikan raja sehari.
      Singgah di RNR Temerloh pun  isunya masih tentang lokasi mengundi dan masing-masing menunjukkan jari. Sampai di rumah, menunggu keputusan di televisyen, dalam 'WhatsApp', 'Facebook' dan 'Instagram' pun isunya masih sama.
       Masing-masing menunggu pengumuman cuti pilihan raya dan keputusannya. Apa-apa pun yang berlaku, peliharalah keharmonian dan keamanan negara kita. Kitakan rakyat Malaysia.

Monday, May 7, 2018

Pisang

Balik kampung musim 'raya' hari ini, lebuh raya menghala ke Pantai Timur banyak kenderaan.
      Yang paling seronok balik kampung, pisang tak payah dibeli. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa pisang tak akan berbuah dua kali bermaksud sekali tertipu atau kerugian tentu akan berjaga-jaga pada masa akan datang. Peribahasa mengenalkan diri bagai pisang lebat pula bermaksud beroleh bencana kerana keangkuhan diri. Seperti pisang rebah bermakna mendiamkan diri dengan tidak bergerak-gerak atau berkata-kata.
        Walau berlainan pendapat, ikutlah peribahasa pisang sesikat digulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama yang bermaksud sahabat (keluarga dll) yang hidup setia dan sentiasa bertolong-tolongan.

Sunday, May 6, 2018

Semut

Banyak sungguh semut di rumah opah. Banyak jenisnya dan ayah tak tahu mereka ada banyak parti atau tidak.
      Opah sudah bercakap dengan semut dan nampak semut masih banyak di dalam rumah. Opah juga sudah sembur dengan penyembur racun serangga kerana ada yang jenis menggigit. Di dinding, di atas meja, di atas lantai dan  di atas kerusi pun ada yang merayap. Meja kuih opah pun kakinya berada di dalam bekas yang ada air.
        Apa-apa pun, Allah jadikan semut begitu rajin dan itu kita dapat contohi daripada semut. Semut-semut begitu rajin dan rajinnya tidak bermusim.

Kobar Kibar

Anak-anak ayah sudah ada yang kenal bendera parti politik.
         Ayah menjelaskan satu-persatu tentang bendera yang berkibaran di sepanjang perjalanan apabila ditanya mereka. Alangkah begitu indahnya kalau bendera Malaysia yang berkibaran di sepanjang jalan. Kitakan rakyat Malaysia. Pada kereta ayah ada juga bendera Malaysia tetapi tidak pernah berkibar. Akhirnya, anak-anak ayah tanya ayah, ayah undi apa? Ayah cakap undi adalah rahsia. Mereka ingin tahu juga.
        Itulah anak-anak,  semangat mereka berkobar-kobar dan sifat ingin tahu mereka sangat tinggi. Mungkin lebih tinggi daripada mana-mana bendera parti politik yang berkibar.

Keliru

Keliru? Ya, ramai antara yang keliru sehingga ke saat ini mahu mengundi siapa? Pada saat-saat akhir pun mungkin akan lebih keliru.
      Memetik beberapa pendapat atau kata-kata tentang politik, politik merosakkan karektor (Otto Van Bismarck). Benjamin Disraeli pula mengatakan bahawa tidak ada kerajaan boleh kekal mantap tanpa pembangkang yang berwibawa dan adalah lebih mudah untuk mengkritik daripada membetulkan.
        Dalam keadaan sekarang pula ayah nampak mungkin ada  yang berpegang pada kata-kata
Harry S. Truman, "Jika anda tidak dapat menyakinkan mereka, kelirukanlah mereka." Walaupun keliru, berdoalah dan ikut kata hati anda.

Friday, May 4, 2018

Hemah

Adakah kita tergolong dalam pengundi yang marah?
      Marah macam mana pun, kita wajib mengundi. Tidak kiralah parti mana yang kita undi, menang ataupun kalah nanti, itu tetap akan berlaku. Yang penting, kita menunaikan tanggungjawab kita. Kita telah bersuara melalui undi kita.
      Watak 'Hulk' telah menunjukkan kepada kita kesan apabila tidak dapat mengawal  kemarahan. Apabila kita marah, hemah kita makin berkurangan. Maka perlulah kita menjadi pengundi yang berhemah.

Thursday, May 3, 2018

Janji

Saat yang bahagia
Datang sekejap saja

Itulah antara lirik yang dinyanyikan Saloma dan P. Ramlee. Beberapa minggu ini harga minyak tidak naik dan inilah perkara yang membahagiakan kita semua. Harap-harapnya biarlah berterusan dan bukannya seperti lirik lagu tersebut.
     Harga minyak turun pula ialah perkara yang paling indah. Ayah tidak pasti ada atau tidak perkara ini dalam manifesto mana-mana parti. Apa-apa pun, sekarang  ini begitu  banyak janji dan sejak dahulu lagi Saloma dan P. Ramlee mengingatkan kita tentang janji.

                  Apa guna berjanji
                  Kalau tak ditepati



Panjat

Ayah hanya ada pengalaman panjat pokok. Tidak ada pengalaman panjat pasang bendera.
     Panjat pun kena ada teknik. Yang penting berani. Keselamatan juga perlu diutamakan. Ada yang guna tangga. Dalam 'Youtube' ayah tengok, ada yang guna 'drone' untuk menaikkan tali bendera ke atas. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada satu peribahasa yang berbunyi 'panjat dedap', maksudnya melakukan sesuatu dengan nekad (berani).
       Achik pun suka memanjat. Ayah keluar bawa masuk kereta, dia panjat pagar. Dia tak peduli walau waktu malam.

Wednesday, May 2, 2018

Suap

Masa kita kecil, mak ayah akan menyuapkan makanan ke dalam mulut kita.
     Apabila kita besar sedikit, sudah ada adik, emak mengajar kita menyuapkan makanan ke dalam mulut adik-adik kita. Kita  diajar tentang tanggungjawab sebagai abang atau kakak. Apabila kita besar, kita menjadi bertanggungjawab kerana didikan emak ayah.
      Jangan salah faham, emak ayah mengajar kita bertanggungjawab dengan menyuapkan makanan ke dalam mulut adik-adik, bukannya ajar kita 'makan suap'. Kalau 'makan suap', kita kena 'tanggung' akibatnya, dan 'jawab'lah di sana atau di sini nanti.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...