Translate

Sunday, April 29, 2018

Beza

Kadang-kadang kita cenderung atau terlalu fokus kepada perkara yang dirasakan tidak kena pada mata atau hati kita.
     Sedangkan sebenarnya, perkara yang tidak kena itu cuma satu berbanding empat lagi perkara yang lebih baik dan boleh diperkatakan. Ya, anak - anak kita juga tidak sempurna seperti kita. Jika kita letih atau tak cukup tidur, kita pun meragam. Apatah lagi anak-anak. Bersama-samalah kita bersabar dengan kerenah anak-anak dan diharapkan mereka juga dapat bersabar dengan kerenah kita.
      Jika kita mengubah sikap, kita bukan sahaja akan melihat seluruh hidup ini berbeza, tetapi hidup kita sendiri juga akan berbeza (Katherine Mansfield).

Saturday, April 28, 2018

Sikap

Untuk membentuk sikap anak-anak, kita sebagai ibu bapa perlulah bermula dengan diri sendiri.
    Anak-anak sering memerhatikan kita, sedar atau kita tidak sedar. Kita pula sering menegur anak-anak apabila memerhatikan perlakuan mereka dan kadang kala kita tidak sedar yang kita tegur itu ialah perangai kita sendiri yang ditiru anak-anak.
     "Tak boleh cakap 'aku'," kata angah kepada ayah. Hedley Ralph Marston menyatakan bahawa kecemerlangan bukanlah kemahiran, kecemerlangan ialah sikap.

Friday, April 27, 2018

Kotak

Ayah membesar zaman Ding Dang dan Tora.
     Di dalam kotak Ding Dang dan Tora ada permainan. Beli pun bukan hendak makanan di dalamnya tetapi lebih kepada mahukan permainan.
     Achik pula balik dari Nirwana, beriya- iya menyuruh ayah membuka kotak yang ada gambar kereta mainan di luar. Itulah mungkin yang difikirkan, ada mainan di dalam tersebut.
     Apakah yang ada di dalamnya? Tidak ada kereta tetapi tisu muka. Tisu pun boleh jadi bahan permainan anak-anak.

Wednesday, April 25, 2018

Kari

Tangan adik sudah tidak pandai duduk diam.
    Semua benda yang di depan matanya mahu disentuh, tidak kira apa-apa pun. Semuanya mahu dipegang, mahu dicapai, mahu dirasa dengan jari-jemarinya.     Akhirnya dia berjaya mencapai mangkuk sup cendawan sewaktu umi menyuapnya. Seperti   seorang adiwira, ayah berjaya menyelamatkan mangkuk sup setelah mendengar suara umi. Lega sebentar. Tatkala dia di ribaan ayah, dia bagaikan 'Flash' dan tidak sempat ayah menyelamatnya mangkuk yang berisi kuah mi kari.
       Meja dan lantai dilimpahi kuah mi kari dan Alhamdulillah ayah sempat mengelak. Pergelangan tangannya dan lengan baju terkena kuah mi kari. Ya, dia pun sudah 'bau' macam mi kari.

Monday, April 23, 2018

Terima kasih

Minggu ini anak-anak murid ayah agak sibuk.
     Mereka dilatih oleh AK Hidayat dan Cikgu Nadzirah untuk satu persembahan sempena kedatangan tetamu dari negara jiran kita, Indonesia (SIF Al-Fikri, Depok). Malam ini, Alhamdulillah, Tahniah, Datuk Gah dan Pak Kaduk berjaya dipentaskan. Jutaan terima kasih semua pelajar Kelab Teater Semsas, pelajar Kelab Kesenian dan Kebudayaan, Barisan Pentadbir (Puan Hajah dan GPK),jurulatih AK Hidayat, Cikgu Nadzirah, Cikgu Karim, Encik Hafiz, guru-guru, pelajar-pelajar dan warga Semsas serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
       Jutaan terima kasih juga kepada umi dan anak-anak yang sanggup menemani ayah pada malam ini. Segala salah dan silap harap dimaafkan.

Saturday, April 21, 2018

Minat

Penat. Itu salah satu jawapan paling popular  daripada anak-anak apabila diminta tolong.
     Minat. Minat pula menghilangkan segala penat. Tak percaya? Berapa ramai daripada kita melupakan penat kerana minat? Minat memancing. Tengah malam pun tak kisah. Minat membaca. Lupa makan dan minum. Minat bergebang. Tengah hari ke petang pun tak apa. Minat berkebun. Panas-panas pun pulun.
      "Tolong ayah kemas, lepas tu boleh main 'game'", kata ayah. Penat sudah hilang, laju tolong ayah mengemas. Penat dan minat kombinasi yang menarik.

Wednesday, April 18, 2018

Cabut

Sempat ayah mengusiknya di dalam kereta. Ikut cara Upin Ipinlah.
     Ikat dengan benang sangkut dekat pintu, dan tutup pintu. Baru gigi longgar tercabut. Tak pun, balik suruh achik tumbuk muka. Dalam masa yang sama, jarinya tak lepas menggoyangkan giginya yang longgar. Akhirnya, gigi along tercabut. Adalah juga darah keluar.
     Petang, balik ke rumah ayah ajak ke klinik sebab ada satu lagi gigi yang baru goyang tetapi tidak mahu. Hari ini, ayah tanya. Katanya, kalau pergi, nanti kena satu suntikan sebab belum betul-betul goyang.
   Dia masih ingat cakap umi dan belajar daripada pengalaman.  Ayah cakap nanti boleh jadi doktor sebab boleh cabut gigi sendiri.

Cabut

Sempat ayah mengusiknya di dalam kereta. Ikut cara Upin Ipinlah.
     Ikat dengan benang sangkut dekat pintu, dan tutup pintu. Baru gigi longgar tercabut. Tak pun, balik suruh achik tumbuk muka. Dalam masa yang sama, jarinya tak lepas menggoyangkan giginya yang longgar. Akhirnya, gigi along tercabut. Adalah juga darah keluar.
     Petang, balik ke rumah ayah ajak ke klinik sebab ada satu lagi gigi yang baru goyang tetapi tidak mahu. Hari ini, ayah tanya. Katanya, kalau pergi, nanti kena satu suntikan sebab belum betul-betul goyang.
   Dia masih ingat cakap umi dan belajar daripada pengalaman.  Ayah cakap nanti boleh jadi doktor sebab boleh cabut gigi sendiri.

Jelas

Nampak sangat ayah kurang fokus. Along telah menyebutnya tetapi ayah kurang perhatian. Ayah menyatakan kepada umi  kenapa baru beritahu dan umi cakap along telah beritahu sebelum itu lagi.
        Gigi tepinya sudah bergoyang, longgar sangat. Ayah pun beritahu bahawa ayah akan membawa ke klinik petang semalam. Umi pun ingat ayah akan membawanya petang semalam. Petang yang ayah maksudkan selepas pukul 5.30. Umi dan along faham 'petang' itu lepas ayah habis kerja dalam pukul 3.20 petang.
         Patutlah di dalam kereta sewaktu  mahu ke kelas petang dia seperti tidak mahu  ke sekolah. "Cakap kena jelas," itu ayah selalu cakap kepada anak murid. Ya, lain kali ayah kena nyatakan 'pukul berapa'. Baru lebih jelas.

Tuesday, April 17, 2018

Al-Fatihah


Semalam, kita telah dikejutkan dengan pemergian seorang sahabat kita yang banyak menyumbangkan masa dan tenaga untuk pembangunan Olahraga Semsas, Jurulatih Olahraga, Encik Mohd bin Yusof (Encik Mat).  Semoga Allah tempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah. (Gambar: En. Mat berbaju biru gelap)

Sahabat

Hari ini, persahabatan melangkaui sempadan negara.
      Sahabat tidak sahaja di alam nyata, juga di alam maya. Di alam maya, entahkan bila berjumpa, walau kadang-kadang rancak berbual, bermain kata. Di alam nyata harusnya lebih mesra dan ideologi dicampak ke tepi.
       Gurau senda dan senyum tawa pengubat jiwa. Peribahasa Czech menyatakan bahawa jangan lindungi diri anda dengan pagar tetapi lindungilah dengan sahabat. Seia dan sekata seperti Encik Sulwazif dan Encik Mohyidin.

Monday, April 16, 2018

Kota

Seperti yang semua mak ayah tahu, kalau berjanji dengan anak-anak bersedialah kerana mereka akan ingat dan sentiasa mengulanginya selagi tidak dikota.
     Sebab itu orang bijak pandai menyatakan bahawa kata itu kota. Anak-anak cukup fokus dengan janji walaupun tengah meragam atau menangis. Kita yang terlupa tetapi mereka tidak sekali-kali.
      Ayah ingat angah tidak peduli atau sudah lupa dengan janji mahu membawanya ke Kedai  RM2.12 (dulu RM2) pagi tadi. Buka sahaja pintu kereta terus menyebut 'janji ayah'.


Saturday, April 14, 2018

Mahu

Beliau telah menewaskan pemain nombor satu dunia, K. Srikanth dari India.
      Tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang telah  memenangi pingat emas dalam final acara perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast (Sinar Harian Online).
       Hanya kemahuan yang besar mampu membawa kita kepada perkara yang besar-besar (Denis Diderot). Kadang-kadang kita mahu membuat perkara-perkara kecil seperti abang yang duduk di atas kerusi untuk anak kecil atau main buaian di taman.

Senja

"Kenapa pukul 7 kena masuk rumah?" tanya angah.
     Ayah cakap waktu senja banyak syaitan dekat luar. Semua orang kena masuk rumah, solat. Dia pula menambah, syaitan cari orang  yang tak solat. Ayah mengiyakan sahaja. Itu logik bagi budak berumur 6 tahun.
      Ayah pun kena tanya bab-bab  agama kepada ustaz sebab nak menerangkan sesuatu kepada budak 6 tahun agak jenuh juga.

Susu

Umi bekerja hari ini. Anak-anak duduk dengan ayah.
     Adik bangun dulu. Dia bukan nak baring sangat. Suka berdiri, ayah pegang. Abang-abang sedap lagi tidur. Tak lama kemudian, abang-abang dah bangun. Adik mengantuk balik, nak susu. Tidur, lega ayah sekejap. Duduk sekejap dan sempat mandi. Tidurnya tak sampai setengah jam. Main- main dengan abang. Dah dekat dua jam dia lapar balik. Baru ayah panaskan susu, Alhamdulillah, umi pun balik.
      Kata Winston Churcill, "Tidak ada pelaburan yang lebih baik daripada menyuapkan susu ke mulut bayi."

Thursday, April 12, 2018

Jaga

"Umi dah balik," jelas kegembiraan pada wajah anak-anak. Ayah pun sama.
      Baru ayah tahu langit tinggi  ke rendah apabila umi tiada di rumah. Malam itu, angah meragam kerana mahu bermain dengan along, ayah tutup lampu. Dari pukul 11 .30   malam sampai dekat pukul 1.00 pagi. Budak-budak kalau tak dapat bermain, lain macam anginnya. Baru ayah hendak terlelap achik pula mengambil giliran. Kejap nak minum, kejap tak mahu. Kejap nak masuk buai, kejap tak nak masuk buai. Tambah- tambah perutnya masih belum baik sepenuhnya. Dekat pukul 2.00 lebih, baru dia tidur.
     Begitulah kerja umi waktu tengah malam. Penat betul ayah rasa. Masa umi ada, ayah kalau sudah dapat bantal, anak menangis tepi kadang-kadang dah tak dengar. Ayah-ayah, jangan lupa tolong isteri jaga anak, bukan jaga anak mak mentua sahaja.

Monday, April 9, 2018

Tak Sama


Ayah terjebak dengan cerita 'Sing' setelah along mengulang babak nyanyian dalam cerita ini.
      Sedap pula mendengar Mike menyanyi  sambil melayan kopi susu (Yit Foh Tenom Coffee, since 1960). Ayah mesej umi tanya nama lagu. Umi cakap 'Wonderful World'. Eh, bukan rupanya! Ayah pun cari dalam 'Youtube'. 'My Way' tajuknya.
Achik terlompat-lompat mendengar lagu. Yang lain pun sama. Along dan angah 'menurun' umi, suka lagu Inggeris. Ayah dengar juga tapi lagu-lagu lama.
      Tak sama tanpa umi di rumah. Achik pun tadi 'mengusung' tudung umi yang diambilnya dari dalam bilik. Habis sudah kopi susu secawan.

Sembuh

Giliran umi pula tidak sihat. Ayah tak ke tempat kerja. Begitu juga anak-anak. Ada yang duduk dengan ayah dan ada yang duduk dengan pengasuh.
      Berada di rumah, sudah tentu banyak perkara yang hendak diselesaikan. Kadang-kadang permainan yang bersepah rasa mahu dicampak ke laut dan ayah  dahulu buat sepah juga. Sampah juga perlu diasingkan. Kadang-kadang tak tahu nak dikategorikan sebab lapisan atas, kertas dan lapisan bawah, plastik dan tidak boleh dipisahkan.
       Makanan umi, ayah dan anak-anak tolong habiskan. Anak-anak pula pantang ada masa, bermainlah kerja mereka. Semoga umi cepat sembuh.

Saturday, April 7, 2018

Demam

Achik nampak tidak berapa sihat siang tadi. Dua hari lepas tidak sihat.
     Selalunya dia tidak duduk diam. Hari ini macam orang demam tetapi tidak demam. Akhirnya, dia muntah. Malam ini sudah nampak cergas. Sekarang pun musim demam. Di kiri dan di kanan jalan sudah penuh dengan bendera dan along bertanya kepada ayah tentang bendera yang berkibaran. Ayah cakap bendera tersebut bendera parti politik.
     Negara demokrasi, kuasanya di tangan rakyat yang mengundi dan menggunakan kuasanya untuk memilih yang terbaik. Sekarang kita boleh nampak 'demokrasi', 'demonstrasi' dan 'demokasi' sedang berlaku.

Optimis

Negara kita menambah satu lagi pingat, pingat gangsa dalam acara angkat berat setelah mendapat dua pingat emas dalam acara yang sama di Gold Coast (Sukan Komanwel).
     Semalam, Pahang seri dengan JDT tanpa jaringan dalam suku akhir Piala FA. Sebentar tadi pula, Ronaldinho, 38 tahun menyatakan kesudiannya untuk mewakili mana-mana pasukan di Malaysia secara percuma dan perkara ini bukanlah gurauan menurutnya.
      Setiap hari sedar atau tidak sedar, kita perlu melakukan sesuatu untuk diri kita dan orang lain supaya hidup kita lebih bermakna. Kata Walter Winchell,       "Optimis ialah orang yang diancam harimau, tetapi masih bergembira dengan pemandangan di sekelilingnya."

Thursday, April 5, 2018

Terasa

Kami memanggilnya 'Fluffy' seperti nama kucing Encik Lopart dalam cerita 'Handy Manny'. Umi mencadangkannya dan kami setuju.
     Sehari sebelum dia hilang, angah sempat membawanya di dalam raga basikal. 'Fluffy' memang nampak tidak sihat dan sering menghilangkan diri, apatah lagi setelah 'Oreo' mati. Angah suka sangat dengannya. Pantang buka pintu, dia akan masuk ke dalam rumah. Ayah sudah mencarinya di dalam longkang, tempat bermainnya tetapi tidak ada.
       Mungkin sudah mati dan Oren pun nampaknya macam tidak keruan. Anak-anak pun terasa kehilangannya.

Terasa

Kami memanggilnya 'Fluffy' seperti nama kucing Encik Lopart dalam cerita 'Hanny Manny'. Umi mencadangkannya dan kami setuju.
     Sehari sebelum dia hilang, angah sempat membawanya di dalam raga basikal. 'Fluffy' memang nampak tidak sihat dan sering menghilangkan diri, apatah lagi setelah 'Oreo' mati. Angah suka sangat dengannya. Pantang buka pintu, dia akan masuk ke dalam rumah. Ayah sudah mencarinya di dalam longkang, tempat bermainnya tetapi tidak ada.
       Mungkin sudah mati dan Oren pun nampaknya macam tidak keruan. Anak-anak pun terasa kehilangannya.

Rasa

Empat hari lepas, angah masuk acara lari kepit bola.
    Along pula masuk acara lari menggunakan tali skip dan mengganti kawannya yang tiada dalam acara lari dalam guni. Ayah pun pernah masuk acara lari kepit bola. Menjadi bahan gelakan, itulah pengalamannya. Kadang- kadang perkara yang nampak senang belum tentu dapat dilakukan kerana memerlukan teknik tertentu untuk menjayakannya. Janganlah kita hanya pandai mengkritik tetapi cuba kita lakukannya. Barulah kita tahu bahawa semua perkara memerlukan kemahiran tertentu.
     Tak percaya? Ambil bola, kepit di celah kangkang dan lari. Nak melompat pun boleh. Apa rasanya?

Tuesday, April 3, 2018

Bateri

Apabila achik tidur awal, biasanya dia akan bangun lebih awal.
      Pukul 8 malam tidur, pukul 10 malam atau 11 malam sudah bangun. Tidur semula? Itulah yang membuatkan ayah dan umi tidak larat kerana tenaganya seperti bateri 'Energizer'. Pagi tadi, pukul 4.35 pagi sudah bangun dan mahu makan pisang. Malam tadi pun sudah banyak makan pisang yang dikupas umi. Dia makin berselera setelah berhenti hisap botol waktu cuti sekolah tempoh hari. Bab-bab macam ini, umi hati kering. Ayah banyak tak sampai hati. 'Botol' masih juga disebutnya.
     Sampai semua bergerak ke sekolah, dia masih belum tidur dan sempat ayah mengasah pensel warna untuk digunakannya sebelum orang lain bangun.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...