Translate

Saturday, March 31, 2018

Ceria

Apakah yang berlaku apabila ayah mengasuh sebab umi ada perkhemahan?
     Yang pertama, waktu umi keluar, adik sedang tidur. Ayah pun ke belakang rumah, sudah lama tidak menyapu daun kering. Sedang menyapu, angah datang minta kebenaran untuk main telefon. Hampir siap, adik pun bangun. Di dalam rumah tak usah kira, boleh tahan semaknya. Sudah lama tidak memanaskan susu, inilah harinya. Abang-abang pun gembira adik bangun. Ayah bawa adik keluar sebab dekat luar banyak angin. Adik mengantuk, ayah beri susu. Tak lama pun tidurnya. Bangun lagi dia dan beri dia main-main dengan abangnya. Achik dan angah mandi sambil main air. Mengantuk lagi, ayah beri lagi susu, baru nak terlelap, susu pula habis, sambung menangis.Ayah telefon umi, tanya nak buat macam mana tentang susu yang mengeras di dalam peti ais. Pandai pula along pujuk. Akhirnya, tertidur juga, Alhamdulillah. Pukul 4 petang,  baru teringat nak sidai kain.
     Akhirnya, sempat ayah siapkan satu cerita. Adik sudah bangun. Menangis di dalam buaian. Along tolong mengenjut buai, dia tertidur semula. Ayah letak sekali gambar adik yang ceria (gambar hari lain) seolah-olah segalanya berjalan lancar.😂

Friday, March 30, 2018

Parut

Ini bukan Rashid. Dia suka mengayuh basikal.
    Dia masih mengayuh basikal yang ada dua tayar tambahan yang kecil. Dia masih belum berupaya mengimbangi badan menggunakan dua roda. Pada satu petang selepas dia balik sekolah, dia mengayuh bersama dengan abangnya.
   Entah macam mana, basikal dia terbalik. Ayah dengar dia menangis. Ayah menuju ke arahnya. Dia sudah bangun dan berdiri jauh dari basikal. Ayah mengangkat basikalnya. Dia mengekori ayah balik ke rumah. Sampai di rumah, baru ayah perasan ada darah pada bajunya. Boleh tahan juga calar pada dahi dan sedikit pada hidung.
    Sudah beberapa hari tidak mahu mengayuh di jalan depan rumah dan semalam mula mengayuh di dalam kawasan rumah membawa achik.
Dalam Mutiara Pencetus Jiwa (Zaiton Afidza B.A. (Hons)), Jackson menyatakan bahawa orang yang takut menghadapi risiko ialah orang yang mengalah sebelum mencuba kemampuannya, menyerah sebelum berjuang.

Wednesday, March 28, 2018

Hilang

Ada banyak juga peribahasa tentang 'hilang' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.
      Antara peribahasanya ialah hilang di mata, di hati jangan yang bermaksud walaupun berjauhan tempat tinggal, tetapi selalu diingati dalam hati. Hilang kabus, teduh hujan pula bermakna mendapat kesenangan setelah menderita kesusahan.
       Hilang akal pula didefinisikan sebagai tidak boleh berfikir lagi, tidak tahu apa yang harus dibuat. Hilang anak kucing pun buat umi dan ayah resah, apatah lagi kalau anak-anak kita hilang di pasar raya atau di taman permainan. Jagalah anak-anak kita.

Monday, March 26, 2018

Nipis

Dah sampai ke Casa Titik, bolehlah ke kawasan sekitar.
    Anak-anak sudah dapat kehendak hati, maka mak ayah ajaklah pula memenuhi kehendak perut. Ayah tanya di kaunter, dia cakap boleh ke D Cherating yang berhadapan 'Legend', tak pun ke Kampung Cherating, 'Nabill Cafe'. Ayah ajak umi ke Kampung Cherating sebab selalunya singgah kedai di tepi jalan, kali ini nak cuba yang lain. Telefon pintar pula memang 'berhantu' dan boleh menegangkan suasana. Indahnya
zaman dahulu tanpa teknologi canggih. Sempat patah balik dan kembali semula setelah umi guna 'Waze'. Melepasi jambatan kedua, ada simpang ke kanan dan masuk ke dalam kampung.
     Sampai ke 'Nabill Cafe', sup dan roti menyelerakan umi dan anak-anak. Rotinya sedap. Sotong celup pun sangat sedap. Tepungnya yang nipis dan rangup, ditambah sotong yang lembut.

Saturday, March 24, 2018

Warna-Warni

Casa Titik. Itu yang umi beritahu ayah. Ayah pun kali pertama mendengarnya.
     Hari yang cukup mencabar dengan kerenah pelbagai. Genap achik tiga tahun. Yang penting ada kolam. Zaman budak-budak, kolah dan kolam ikan ayah tahulah. Anak-anak cukup suka ada kolam. Casa Titik vila ala Sepanyol. Ayah tengok dalam Instagram.
      Anak-anak suka mandi kolam. Umi suka ketenangan di sini. Ayah pula suka lukisan yang pelbagai dan berwarna-warni menghiasi dinding Casa Titik.

Friday, March 23, 2018

Menyusu

Anak gajah menyusu bukan guna belalai, guna mulut," kata along setelah membaca maklumat yang tertera.
       Dari awal lagi dia asyik bertanya tentang seekor gajah yang tiada ekor. Ayah mendapat jawapan setelah mendengar penerangan dan maklumat tentang perkara ini ada di satu bilik yang anak-anak panggil 'muzium'. Ayah pun tak perasan ada bilik itu. Gajah bernama Sanum itu hilang ekor setelah diserang harimau sewaktu di dalam hutan. Anak-anak gembira dapat beri gajah makan, ayah pula suka dapat pegang gajah.                  Kebanyakan daripada kita pula sering menyebut 'gajah menyusur' dan yang sebenarnya 'gajah menyusu' (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Berjaya

Selesai memberi makan buah tembikai, kami ke tempat yang berhampiran.
     Ada tiga ekor gajah  di dalam kurungan di situ. Tembikai tadi diberi percuma. Ayah membeli pula seikat tebu yang telah dipotong berharga tiga ringgit. Sesi memberi makan disambung. Angah tidak memberi tebu kepada achik kerana takut achik makan tebu pula (gurau sahaja😜). Angah cukup gembira nampaknya setelah berjaya memberi gajah makan. Gajah mencapai tebu yang dihulurnya. Apabila ayah bertanya, katanya dia tidak dapat memberi gajah makan tembikai sebab pada masa itu orang sangat ramai dan dia tidak tahu cara untuk memberi gajah makan.
      Patutlah dia nampak gembira sangat  kerana sudah tahu cara untuk memberi gajah makan setelah memerhatikan abangnya, Aidil dan orang lain memberi gajah makan. Ya,walaupun pencapaian itu mungkin nampak kecil bagi kita orang dewasa, tetapi itu satu pencapaian yang besar untuk anak-anak.

Habis

Waktu bagi gajah makan, orang semua teruja. Anak-anak ada yang berani, ada juga yang teragak-agak.
     Hiruk-pikuk tak usah cerita. Gajah-gajah bagaikan selebriti. Apatah lagi di tengah panas mendapat tembikai merah yang dipotong-potong. Satu-persatu disambut dan disumbat ke dalam mulut. Ayah menunggu saat anak-anak ayah menghulurkan tembikai untuk menangkap gambar.
      Akhirnya, ayah berjaya juga dan ayah juga mendapati tembikai pada achik tinggal kulit kerana bukannya gajah yang makan, dia menghabiskan tembikai itu. Along cakap achik yang jadi gajah.

Thursday, March 22, 2018

Mandi

"Macam dekat oven," kata along sementara menunggu perarakan gajah. Cuaca memang panas.
     Gajah berarak dan kami semua ke sungai berhampiran tengok gajah mandi. Gajah pun mungkin pelik sebab setiap hari orang tengok gajah-gajah itu mandi.
    Gajah memerlukan kuantiti air minum yang banyak iaitu 100 liter hingga 150 liter sehari dan menyamai minuman untuk 75 orang sehari. Gajah sebenarnya tidak boleh hidup lebih daripada 24 jam tanpa air. Ini yang kami baca bersama-sama di sini. Achik yang tak mandi pun tengok juga gajah mandi.

Impian

Dulu-dulu, sebelum ada Roda Impian, ada More Jutaria.
   Tak silap ayah (kalau salah tolong betulkan), pemenangnya, Samerin yang menjawab 'Sijil Simpanan Premium' dengan menggunakan sebahagian huruf daripada namanya.
      Rancangan Roda Impian ayah tak ingat siapa pemenangnya sebab tak tengok sangat. Pastinya semua orang  mempunyai impian walaupun tak masuk Roda Impian. Untuk mencapai impian, sudah tentu memerlukan pengorbanan. Kata George Herbert, anda mungkin kecewa sekiranya anda gagal, tetapi anda akan gagal sekiranya tidak mencuba (Mutiara Kata Pencetus Jiwa, Zaiton Afidza B.A (Hons)).
       Cyrus pula menyatakan bahawa jika anda ingin mencapai sesuatu yang tinggi, mulailah daripada yang rendah (Mutiara Kata Pencetus Minda, Zaiton Afidza B.A (Hons)).
   
   

Wednesday, March 21, 2018

Muafakat

Salah satu perkara penting sebagai seorang pemimpin ialah kemahiran berkomunikasi yang bertujuan untuk menambat hati pendengar agar  terus mendengar perkara yang disampaikan.         Hari ini ayah mengikut atuk ke Majlis Ramah Mesra Pengerusi Felda bersama dengan Warga Felda Bukit Damar untuk mendengar YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad berucap. Antara kandungan ucapannya adalah tentang keadilan dan muafakat sewaktu senang dan susah. Membangunkan ekonomi orang Melayu juga perkara yang penting.                                   Jamaluddin Al-Afghani menyatakan bahawa membangun dan membaiki kaum Muslimin dan agama Islam harus dimulai daripada politik kerana banyak negara Islam yang terjajah (Mutiara Kata Pencetus Minda, Zaiton Afidza B.A (Hons)).

Tujuh

Dalam Sinar Harian (21 Mac 2018), artikel yang bertajuk 'Keyakinan Diri Kunci Kejayaan Ronaldo', Cristiano Ronaldo menyatakan bahawa keyakinan diri merupakan kunci utama kejayaan dirinya.
        Beliau berkata demikian ketika menerima anugerah Pemain Terbaik Portugal.  Dalam Harian Metro (4 April 2017), artikel But Khas CR7 Buat United menyatakan bahawa Ronaldo menggunakan nombor 28  sewaktu di Sporting Lisbon. Kemudian, Sir Alex Ferguson menyuruhnya menggunakan nombor 7. Angka ini digunakan oleh David Beckham, Eric Cantona dan George Best.        Kita pun tidak dapat 'lari' daripada nombor 7  dan nombor ini cukup dekat dengan kita kerana dalam Islam, nombor tujuh banyak maknanya.

Tuesday, March 20, 2018

Lang

Namamu merah
Bagai lang merah
Membara kurasa di jiwa

Def-Gab-C tak pernah mengecewakan sahabat ayah, Latif dan juga ayah dengan lagu mereka.
      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, helang dimaknakan sebagai sejenis burung liar yang biasanya menyambar ayam. Sepanjang perjalanan hidup ayah, belum pernah melihat helang menyambar ayam. Melihat helang menyambar perut ayam pernahlah tengok di Langkawi. Bagus juga di Kuantan buat aktiviti memberi helang makan sebabnya banyak juga nampaknya helang terbang tinggi. Antara peribahasa tentang helang pula ialah seperti  helang menyongsong angin yang bermaksud gagah dan berani apabila menentang musuh.
       Nenek pula, kalau adik ayah menangis dulu, selalu disebut bunyinya macam lang merah. Apa? Ayah? Ayah menangis tak taulah nak cerita macam mana.😰

Monday, March 19, 2018

PESCAO

Ya, sekarang ayah tengah membaca. Membaca biasanya membuat ayah tak sedar masa berlalu.
       Salah satu perkara yang ayah suka baca adalah tentang personaliti-personaliti yang berjaya dalam bidang masing-masing. Tidak kiralah bidang apa-apa pun, yang penting kita dapat belajar sesuatu daripada kegigihan mereka sehingga mereka berjaya dalam bidang yang diceburi.
       Dia bertanya sebutan 'fish' dalam bahasa Sepanyol kepada mereka. 'Fish' wujud bermula saat dia bertemu dengan pasukan Eropah yang sukar menyebut Hafizh dan hanya memanggilnya Fiz. Akhirnya bunyinya seperti 'fish'. Dalam masa yang sama, dia juga suka berlumba dalam hujan. Elemen air menjadi asas dan sepadan dengan gelaran ini.
      PESCAO ialah sebutan 'fish' dalam bahasa Sepanyol. Ini yang dikatakan Hafizh Syahrin dalam temuramah dengan Maskulin (Jan-Feb 2018). Artikelnya bertajuk Emansipasi Hafizh Shahrin & Kasma Daniel (Teks/Penyelaras: Putra Mokhter, Shahir Rahim, Foto: Azman Muda, Solekan: Helmy Sharip).

Maskulin

Dah lama ayah tak baca Maskulin. Mula-mula ayah kenal Maskulin apabila ayah pergi rumah kawan ayah, Farihan.
     Sampai satu masa, ayah pun beli majalah yang sama. Waktu itu ayah suka ruangan bahagian hadapannya,  tentang fakta yang macam-macam. Ayah juga ambil peluang hantar peraduan. Adalah juga dapat saguhati seperti baucar makanan dan cakera padat. Suka juga lihat fesyen terkini walaupun ayah lebih senang dengan baju tanpa kolar dan seluar trek.
     Dah lama juga tak beli Maskulin dan cara persembahan pun cukup berbeza. Dulu editornya perempuan, sekarang editornya lelaki. Membaca sambil menunggu kereta diservis.

Sunday, March 18, 2018

Oshin

Dulu-dulu, selain cerita Ultraman, cerita Oshin juga sempat ayah tengok.
       Hari ini baru sempat ayah membelek Pancaindera, Mingguan Malaysia (18 Mac 2018) dan membaca artikel yang ditulis Aini Nawawi, bertajuk Oshin Hidup Dalam Kenangan. Baru ayah tahu bahawa kisahnya diadaptasi berdasarkan kisah benar seorang wanita Jepun, Katsu Wada yang membuka pasar raya runcit moden dan terbesar, iaitu Yaohan. Pelakon Oshin, Ayako Kobayashi pun sudah berusia 45 tahun.
        Dalam kehidupan, kesusahan akan datang tanpa kita pinta. Setiap orang akan menghadapi kesusahan tetapi cara kita menghadapinya itulah yang akan menentukan masa depan kita.

Saturday, March 17, 2018

Gembira

Ayah membaca Harian Metro (17 Mac 2018), artikel Pelajaran Bukan Segalanya... 10 sebriti berjaya  dalam hidup walaupun tidak berpendidikan tinggi, tulisan Syafil Syazwan Jefri.
     Dalam artikel tersebut, Jay-Z salah seorang selebriti yang tidak tamat sekolah tetapi dia tahu bahawa pelajaran sangat penting. Menurut Jay-Z, proses pembelajaran tidak pernah berhenti dan selagi bernyawa, dia belajar perkara baharu setiap hari.
     Belajar pula tidak semestinya di dalam kelas. Apabila pak su Udin, mahu tengok Pahang lawan Kedah, ayah memintanya membeli tiket. Alonglah orang paling gembira. Sudah lama dia mahu ke stadium dan malam tadi termakbul.
     Kali pertama dia dan angah menonton secara langsung dan begitu juga ayah yang kali pertama melihat Pahang beraksi secara langsung. Ini juga ilmu dan pengalaman baharu untuknya.

Friday, March 16, 2018

Naik

Ayah dulu suka dengar siaran radio Best 104.Apabila dengar juruhebah berceloteh, rasa macam seronok jadi juruhebah.                     Bertambah bersemangat apabila sewaktu percubaan SPM, bahasa Inggeris 'kredit' sebab nak masuk ITM (sekarang Uitm) salah satu syaratnya, bahasa Inggeris mesti 'kredit'. Ayah nak ambil 'Mass Com'.                                                            Menatap keputusan sebenar, memang meruntun jiwa sebab bahasa Inggeris tak 'kredit'. Jika tetap mahu ke ITM, boleh mengulang semula untuk dapatkan 'kredit' dalam bahasa Inggeris tetapi ayah tidak sekental atau setabah itu.                                                                                         Ayah mengambil satu-satunya jalan yang ayah nampak jelas waktu itu, naik tingkatan 6 walaupun dimomokkan dengan susahnya STPM. Ini saja jalan yang ayah nampak waktu itu dan ayah pun tak pasti sebenarnya jalan ini akan membawa ayah ke mana.

Thursday, March 15, 2018

Jalan

Tahniah anak-anakku! Bekalan sudah cukup untuk membawamu ke destinasi impianmu. Sekarang engkau sudah sampai di persimpangan dan engkaulah yang harus memilih.
      Jalan yang engkau tempuh anakku tidaklah sama tetapi asalkan engkau tahu tujuannya, Insya-Allah engkau akan sampai. Ada masa jalannya lurus, ada masanya berlubang, ada masanya bengkang-bengkok, ada masanya berbukit bukau dan ada masanya engkau terpaksa menempuh  jalan mati. Engkau punya pilihan untuk patah balik atau membina jalan yang baharu.
      Sekarang waktunya engkau untuk memilih jalan, pastikan engkau tahu tempat yang dituju. Jika engkau masih tercari-cari arah tuju, engkau masih juga boleh sampai tetapi tidak tahu bila. Teruskan perjalanan anak -anakku! Banyak yang sedang menantimu!

Tuesday, March 13, 2018

Oreo

Dia sudah begitu lincah. Sebelumnya, jalannya pun belum betul dan kami pun pelik sebab kami jarang ada yang kecil. Dia mengekori pabila kami mula melangkah. Dia memang bermain di  muka pintu. Sudah boleh memanjat dan kadang- kadang jatuh tergolek. Bermain-main di celah-celah selipar. Bergurau senda dengan yang sebaya dengannya. Dia begitu menghiburkan kami. Lucu kami melihatnya terkedek-kedek. Baru semalam kami memanggilnya Oreo. Pagi ini, dia pergi selama-selamanya.😭

Janji

Janji ialah perkara yang 'berat'. Berjanji untuk bertemu tetapi tidak bertemu pun sudah rasa bersalah, apatah lagi janji-janji yang lebih besar.
          Apabila teringat tentang janji, ayah akan teringat kawan ayah, Latif. Banyak peristiwa ayah dengannya. Akhir-akhir ini pula, buka saja akhbar, banyak sungguh cerita tentang janji. Bagi mak ayah pula, mereka mesti sudah tahu jika berjanji dengan anak-anak. Anak-anak akan ingat dan sentiasa mengulangi janji itu sehingga ditunaikan.
         Janji boleh menjadi puji dan janji juga boleh menjadi keji.

Saturday, March 10, 2018

Penuh

Petang ini, umi ajak ayah pergi baiki basikal yang ada di rumah atuk dan wan.
    Apabila anak-anak berjumpa sepupu mereka, salah satu yang direbut mereka ialah basikal. Di rumah pun, yang naik basikal hanya along, basikal yang lagi satu pun dah rosak.
     Sampai di kedai, basikal pun dibaiki dan umi memang sudah berkira-kira mahu membeli basikal untuk mereka tetapi tidak tahu bila masanya.
      Balik rumah, dalam kereta penuh muatan basikal dan apabila umi panggil, semua tak habis-habis tersengih apabila dapat basikal termasuklah achik yang asyik mengayuh ke belakang, basikal tak bergerak-gerak.

Ingat

Antara cikgu sekolah rendah yang ayah ingat ialah Cikgu Bahasa Melayu ayah, Cikgu Zaharin yang tak silap ayah masih mengajar di sekolah yang sama.
     Kalau buat soalan periksa, dia mesti letak nama anak-anak muridnya termasuk ayah. Itulah juga caranya ayah apabila buat soalan. Macam mana ayah tersenyum apabila ada nama ayah dalam soalan, anak-anak murid ayah juga tersenyum membaca soalan.
     Setiap Cikgu pasti ada dalam ingatan anak-anak muridnya. Kata Hajah Safiah, ada muridnya yang sudah berkeluarga sampai sekarang masih berhubungan dan mengingatinya. Kata Haji Mokhtar pula, cikgu beruntung kerana sering didoakan oleh anak-anak murid.

'Meroyan'

Apabila ayah mengatakan bahawa tiada lagi Hari Telefon, anak-anak macam 'meroyan'.
      Orang dewasa macam ayah pun dah macam 'meroyan' jika tidak ada telefon pintar di tangan atau di di sisi. Dalam Harian Metro (10 Mac 2018), ruangan Minda muka surat 26, Dr. Sofia Hayati Yusoff menyatakan bahawa analisis yang dilakukan oleh American Academy of Pediatrics di Amerika Syarikat ke atas 26,000 kanak-kanak menunjukkan terdapat bukti kukuh yang mengaitkan penggunaan 'gajet' selepas 9 malam dengan masalah imsonia dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. Menurutnya juga, pendedahan 'gajet' yang terlalu lama dan konsisten menjadikan anak kecil ketagihan permainan video atas talian dan lain-lain.
        Apa-apapun, ayah, umi dan mak ayah yang lain perlu memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengawal penggunaan 'gajet' kerana anak-anak  juga perlu  didedahkan dengan teknologi terkini.

Friday, March 9, 2018

Emak

Enam hari lepas, hari lahir atuk. Hari ini penghulu segala hari, hari lahir opah.
    Cardinal Mermillod menyatakan bahawa ibu ialah seorang yang boleh  mengambil alih semua tempat orang lain, tetapi tempatnya sendiri tidak boleh diambil alih oleh sesiapa pun. "Tidak ada manusia yang hebat yang tidak memiliki emak yang hebat," ini pula kata-kata Oliver Schreiner.
     Selamat hari lahir emak, semoga berkat umur, murah rezeki dan sihat sokmo.

Cikgu

Sebelum datang ke Semsas, ayah tak tahu pun tentang  'Sekolah Berasrama Penuh'. 'Sekolah Sains' pernahlah ayah dengar.
        Cikgu pertama ayah jumpa di Semsas ialah Cikgu Hamdan. Henry Adams mengatakan bahawa guru mempunyai pengaruh yang abadi. Dia tidak tahu di mana pengaruhnya akan berhenti. Ralph Waldo Emerson pula menyatakan bahawa pendidik ialah orang yang memudahkan perkara-perkara yang payah.
        Hari ini pula, penghulu segala hari, merupakan hari terakhir Puan Hajah  Safiah bertugas di Semsas sebagai pengetua. Terima kasih tidak terhingga kepada Puan Hajah Safiah atas segala tunjuk ajar. Selamat bersara dan selamat menempuh pengalaman baharu. Sekali Cikgu, selama-lamanya Cikgu.
     

Thursday, March 8, 2018

Kerja

Dalam hidup ini,memang banyak kerja. Bukan sahaja orang dewasa, anak-anak pun ada kerja, kerja sekolah.
     Apabila bekerja  memanglah letih. Ada orang letih fizikal, ada orang letih berfikir. Tidak kiralah apa-apa pun kerjanya, tetap ada cabaran. Bekerja sendiri ada dugaannya, bekerja dengan kerajaan dan swasta pun ada dugaan.
      Kata Maxim Gorky dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), "Apabila kerja itu menyeronokkan, hidup ini gembira! Jika kerja itu tugas, hidup ini ialah perhambaan!"

Tuesday, March 6, 2018

Tayar

Ayah tak tahu sangat pasal tayar. Kawan ayah, Cikgu Khair selalu sebut 'sakit tayar'.
         Kalau dulu, kami ikut atuk pergi ladang, atau atuk pergi dengan opah, jika tayar motor pancit, jenuhlah dan terseksalah nak sampai ke rumah sebab jauh jaraknya.
        Dalam laman sesawang Kosmo bertarikh  15 Januari 2018, terdapat artikel bertajuk 'Pirelli Jangka Catatan Masa Lebih Pantas' yang berkaitan dengan F1. Dalam artikel ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pirelli, Ma­rio Isola meramalkan bahawa purata masa setiap pusi­ngan perlumbaan akan terus berkurangan pada mu­sim 2018 ekoran  daripada kombinasi naik taraf jentera dan komponen tayar yang lebih lem­but.
        Idea mula datang apabila ayah tengok Encik Sulwazif memandu kereta. Ayah pun tangkap gambar tayar kereta yang dibawanya. Apabila ayah mencari maklumat dalam internet, barulah ayah tahu kelajuan juga dipengaruhi oleh tayar. Ayah ingat kelajuan hanya dipengaruhi oleh enjin dan minyak.


Monday, March 5, 2018

Muntah

Yang ayah ingat pasal Badang ialah dia kuat sebab makan muntah hantu.
     Ayah pun cari maklumat tentang Badang. Ayah terjumpa satu artikel dalam laman sesawang Berita Harian bertarikh 8 Februari 2017. Tajuknya 'Badang Bukan Mitos, Tak Makan Muntah Hantu,' ditulis oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof.
      Antara kandungannya, menurut Kurator Muzium Kota Tinggi, Mohd Azlan Hafiz Mohti, mengikut Sejarah Melayu, Badang dikenali sebagai hulubalang kerajaan Temasik (Singapura) ketiga, Raja Seri Rana Wikerma (antara tahun 1362 hingga 1375).
       Dalam artikel yang sama, seorang ahli sejarah Riau, Indonesia, Syarif Muhammad Salleh menyatakan kisah Badang diubah pihak Barat untuk memberi gambaran buruk tentang sikap orang Melayu (makan muntah hantu). 
       Nak tahu lebih banyak, bacalah sendiri. Ayah terjumpa artikel ini setelah selesai menguruskan achik.  Ayah kebasahan sebab achik muntah di atas ayah yang duduk meriba adik. Dia berdiri di belakang ayah. Dia mana boleh duduk diam. Umi cakap,  achik anak kinestetik.

Sunday, March 4, 2018

Bedung

Dalam Utusan Malaysia (15/02/2014),artikel bertajuk 'Yang Baik Untuk Wanita, Mungkin Tidak Normal Untuk Lelaki' oleh Rozaman Ismail, bedung bermaksud perbuatan membalut tubuh bayi dengan kain atau lampin selepas dilahirkan. 

         Dalam artikel yang sama,  berbedung  boleh mengelakkan bayi daripada kesejukan, tidur lebih lena dan selesa. Bayi juga tidak mudah terkejut atau tersentak dengan bunyi bising di sekelilingnya jika berbedung.

          Janganlah cuba untuk membedung anak-anak anda yang sudah besar dan suami atau isteri anda yang susah untuk tidur dan  mungkin salah satu sebab mereka tidak tidur nyenyak kerana tidak dibedung waktu kecil. Bergurau sahaja.

Saturday, March 3, 2018

Saga

Zaman sekolah rendah dulu, kalau balik dari sekolah berjalan kaki, lambatlah sampai rumah.
     Bukannya apa, sebab ada sahaja tempat persinggahan. Salah satu tempatnya ialah di bawah pokok saga di tepi jalan. Suka  mengutip biji saga yang berkemerahan. Sebab biji saga ini juga, Ismail Jaafar, seorang tentera bersara, telah memenangi pertandingan memberi nama kereta pertama negara (Wikipedia  Bahasa Melayu).
      Anak-anak mungkin ada yang tidak kenal biji saga. Ayah tanya anak-anak ayah, angah cakap tentang Ultraman Saga. Bagi orang tua macam ayah, mesti  teringat novel Saga, karya Abdul Talib Mohd. Hassan yang memenangi Hadiah Pertama Sayembara Novel Gapena 1976.


Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...