Translate

Monday, January 29, 2018

'D'

Achik cakapnya masih belum lancar atau pelat.
     Kadang-kadang dua tiga kali dia ulang, ayah masih belum faham. Ada masa dia panggil Abang A'id atau Abang Tahid. Abang Aufal dan sebelum ini dipanggilnya Abam. Susu disebutnya botol atau botol baru.
    Along cakap, nasib baik achik yang memanggilnya Abang Tahid, tak buang huruf 'D', jika tidak, teruklah nama dia. Dan ayah pun teringat cerita Nujum Pak Belalang pasal huruf 'T'.

Saturday, January 27, 2018

Licin

Ayah sudah beli nasi lemak. Apabila ayah tanya sebelumnya, mahu roti canai atau tidak dia tidak memberikan jawapan.
     Dalam keadaan marah, ayah pun pergi mencari roti canai. Tiga kedai roti canai sudah habis, ada juga kedai yang tutup. Nampaknya rakyat Malaysia memang gemar makan roti canai.
      Sampai di Tanjung Lumpur, roti canai dipesan ayah di kedai mamak. Sampai di rumah, dia minta maaf. Mungkin umi cakap sesuatu kepadanya.
   Memang sampai licin pinggan dia makan roti canai sebagaimana habis licin lobak dimakan rusa yang mukanya seperti bertopeng.

Friday, January 26, 2018

Kejayaan

Kejayaan yang lalu seharusnya menjadi pendorong untuk mencipta kejayaan hari ini.
     Jika kita pernah mencipta kejayaan, maka hari ini juga tidak mustahil untuk mengulanginya semula. Cuba kaedahnya perlu kita nilai semula sama ada masih perlu sama atau kita perlu menambah baik atau menukar strategi bagi mengekalkan kecemerlangan yang pernah kita raih.
      Kata Iskandar Zulkarnain, " Tidak ada yang mustahil bagi yang berani mencuba."
    

Thursday, January 25, 2018

Lampu Petak

Sudah lama ayah tidak tengok lembu. Kadang-kadang ada juga  lembu orang kampung masuk semak depan rumah  meragut rumput.
     Banyak juga peribahasa Melayu tentang lembu. Antaranya ialah menghela lembu dengan talinya, menghela manusia dengan akalnya (Kamus Dewan Edisi Keempat). Maknanya ialah manusia harus diperlakukan dengan lemah lembut.
      Yang ayah tidak pernah lupa ialah sewaktu kecil. Ayah, adik ayah dan atuk naik motor ke ladang sawit, tiba-tiba ada seekor lembu tidak semena-mena mengejar kami.
     Atuk pun memecut  motor honda lampu petak seperti Mick Doohan (pelumba motor hebat zaman ayah sekolah dulu).
      


Dogol

"Arah ada rambut," kata achik. Dia memegang kepalanya yang hampir dogol.
      Abang-abangnya sudah lepas fasa 'takut' kedai gunting rambut. Sekarang, achik yang sedang berada dalam fasa itu.
      Bercerita tentang rambut, peribahasa bergantung pada (di) sehelai rambut bermaksud sentiasa dalam keadaan yang sangat sulit dan berbahaya (Kamus Dewan Edisi Keempat.
      Keadaannya tidaklah sangat sulit dan berbahaya tetapi ayah dan umi terpaksa menangkap achik dan secara paksa menyodok rambutnya menggunakan mesin gunting rambut.
      Rambutnya sudah panjang dan tak habis -habis menggaru kepala.
Merontanya bukan main dan jenuh jugalah. Mungkin tidak mahu seperti kepala ayah yang hampir dogol.

Dogol

"Arah ada rambut," kata achik. Dia memegang kepalanya yang hampir dogol.
      Abang-abangnya sudah lepas fasa 'takut' kedai gunting rambut. Sekarang, achik yang sedang berada dalam fasa itu.
      Bercerita tentang rambut, peribahasa bergantung pada (di) sehelai rambut bermaksud sentiasa dalam keadaan yang sangat sulit dan berbahaya (Kamus Dewan Edisi Keempat.
      Keadaannya tidaklah sangat sulit dan berbahaya tetapi ayah dan umi terpaksa menangkap achik dan secara paksa menyodok rambutnya menggunakan mesin gunting rambut.
      Rambutnya sudah panjang dan tak habis -habis menggaru kepala.
Merontanya bukan main dan jenuh jugalah. Mungkin tidak mahu seperti kepala ayah yang hampir dogol.

Saturday, January 20, 2018

Keluarga

Dalam hidup ini, keluarga amat penting untuk kita. Dari kecil hingga besar, kita dikelilingi ahli keluarga.
     Apabila kita membesar, kita pula berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Keluarga semakin membesar dan ada yang pergi meninggalkan kita kerana telah sampai masa. Yang tinggal hanyalah kenangan dan kita tidak harus melupakan mereka.
    Anak-anak pun boleh memahami filem 'Coco'. 'Remember Me'. Al-Fatihah buat yang telah pergi dan bersyukur serta hargai ahli keluarga kita.

Berubah

Zaman dah berubah atau manusia dah berubah? Dua tahun lagi 2020.
     Segalanya banyak dah berubah. Kata-kata juga berubah. Makna kata berubah mengikut tafsiran sendiri. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, sentap bermaksud menarik kuat-kuat ( dgn tiba- tiba), meragut.
      Anak-anak hari ini memahami 'sentap' dengan maksud yang berbeza dan sebahagian orang juga begitu. Ayat-ayat yang digunakan sekarang juga agak janggal untuk telinga orang berumur seperti ayah.
      

Friday, January 19, 2018

Pilih

Pilihan mendewasakan kita. Ada masanya pilihan tepat, ada masanya kurang tepat.
     Daripada pagi sehingga malam kita membuat pilihan, begitulah setiap hari. Daripada perkara yang dianggap kecil sehingga perkara yang dianggap besar, semuanya perlu dipilih.
      Pilihlah yang sesuai dan yang tepat untuk kita  kerana pilihan akan mempengaruhi cara hidup kita sekarang dan masa akan datang.                                           Untuk anak-anak, jika mereka tidak dapat membuat pilihan, pilihlah untuk mereka kerana mungkin kita akan terpaksa menunggu sehingga kedai hampir tutup.

Thursday, January 18, 2018

Berubah

Ada masanya, untuk kekal relevan, kita harus melakukan perubahan untuk mendapatkan hasil yang berbeza.
    Begitulah yang berlaku kepada Lightning McQueen. Tragedi akan mengubah hidup kita, tetapi apakah yang perlu kita lakukan? Kata bijaksana, bangkitlah untuk kali kelapan walaupun anda telah jatuh untuk kali yang ketujuh.
    Ada masanya, berubah itu itu seperti tidak menunjukkan hasil  yang baharu tetapi sebenarnya menemukan kita dengan sesuatu yang lain.

Wednesday, January 17, 2018

Sahabat

Sahabat ada dalam hati kita. Sibuk macam mana, tetap ada ruang dalam hati untuk yang bernama sahabat.
     Banyak kenangan bersama-sama sahabat. Ada kala kenangan tak dijangka seperti mandi perigi bersama-sama. Ada masa berjanji, sahabat tetap setia menanti. Mendengar lagu yang sama, walau kita saling beda.

                  Kita bina semula
        Keruntuhan dan kenangan
      Yang halus menyucuk rasa
          Kita lemparkan dendam
      Kelautan yang berisi segala          
                        kedamaian

Terima kasih sahabat.

Pancing

Pancing ialah alat untuk menangkap ikan dan sebagainya.
     Maksud lain bagi memancing ialah mengail. Ada juga makna lain seperti mengumpan ( memikat dll). Pancing-memancing didefinisikan sebagai memujuk atau memikat seseorang supaya masuk ke dalam kumpulan berkenaan, biasanya dengan menawarkan pelbagai ganjaran yang menarik dan lumayan.
     Dari jauh nampak seperti memancing, dari dekat sebenarnya hanya memberi makan.

Tuesday, January 16, 2018

Tengok

Pengalaman ada di mana-mana sahaja.
     Anak-anak dapat belajar sesuatu  dengan bermain dan melalui
pemerhatian. Memerhati satu perkara yang baik untuk anak-anak kerana mereka dapat belajar perkara yang baharu. Di pasar raya mereka dapat melihat macam-macam seperti cara donut dibuat dan melihat tepung diuli untuk dibuat mi.
      Yang penting, tengok ke mana mereka pergi dan mereka tidak jauh dari kita.

Monday, January 15, 2018

Macam

Ayah pun tak ingat bila mana dialog ini bermula dan lebih kurang beginilah bunyinya.
    "Angah dah enam tahun, tak boleh dah nangis-nangis pergi sekolah," kata ayah.
     "Abang pun dulu nangis-nangis," katanya.
     "Kalau abang nangis, Angah tak payah dah nangis, takkan nak jadi macam abang dulu," sambung ayah.
      "Haah. Takkan angah nak jadi macam ayah juga. Tengok gusi ayah pun ada nanah dan ada gigi yang dah tak ada sebab tak gosok gigi," kata along.
     "Takkan angah nak jadi macam along dan ayah. Angah tak payahlah jadi macam tu," tambah along lagi.

Saturday, January 13, 2018

Rebut

Berebut- berebut. Itulah yang berlaku.
    Along dan angah berebut untuk mengambil lampin pakai buang adik. Kadang-kadang siap menangis sebab abang yang ambil terlebih dahulu. Itu jika tidak ada yang meralitkan mereka seperti cerita kartun di televisyen ataupun 'youtube'.
     Yang tidak berapa hendak direbutkan saat ini ialah masuk ke bilik air kerana sejuk sangat. Kipas pun tak payah pasang. Kuala Pilah pun 21° c macam di Amsterdam, Belanda. Kuantan tak tahu pula berapa.

Friday, January 12, 2018

Percaya

Percaya buat seseorang terus hidup, Insya-Allah.
     Percaya buat seseorang terus berharap dan terus berusaha.Tanpa kepercayaan, hidup pasti tidak ada arah tujuan. Yang penting, kepercayaan kita mestilah betul. Dalam masa yang sama, kita mesti sentiasa menilai kepercayaan agar berada di landasan yang betul.
     Percaya itu berlandaskan ilmu dan pengalaman.
     
    

Percaya

Percaya buat seseorang terus hidup, Insya-Allah.
     Percaya buat seseorang terus berharap dan terus berusaha.Tanpa kepercayaan, hidup pasti tidak ada arah tujuan. Yang penting, kepercayaan kita mestilah betul. Dalam masa, kita mesti sentiasa menilai kepercayaan agar berada di landasan yang betul.
     Percaya itu berlandaskan ilmu dan pengalaman.
     
    

Thursday, January 11, 2018

Senyum

Minum kopi boleh membuatkan ayah tersenyum.
     Yang agak susah, mahu membuatkan anak kecil tersenyum. Skil ini yang ayah masih banyak perlu pelajari. Abang-abangnya waktu kecil pun sama, bukan sahaja adik yang  tidak lama diamnya apabila ayah mendukung. Jika menangisnya panjang itu bererti ayahnyalah yang sedang mendukung. Kadang-kadang apabila sesekali dia diam dan tersenyum, suka sangat ayah.
     Achik boleh buat dia tersenyum dan bersuara, ayah hanya mampu buat dia tersenyum malam ini.
      

Senyum

Minum kopi boleh membuatkan ayah tersenyum.
     Yang agak susah, mahu membuatkan anak kecil tersenyum. Skil ini yang ayah masih banyak perlu pelajari. Abang-abangnya waktu kecil pun sama, bukan sahaja adik yang  tidak lama diamnya apabila ayah mendukung. Jika menangisnya panjang itu bererti ayahnyalah yang sedang mendukung. Kadang-kadang apabila sesekali dia diam dan tersenyum, suka sangat ayah.
     Achik boleh buat dia tersenyum dan bersuara, ayah hanya mampu buat dia tersenyum setakat ini.
      

Wednesday, January 10, 2018

Selimut

       Kali kedua ayah bangun malam ini digerak anak-anak. Kali pertama digerak adik yang menangis dan kali kedua digerak abang-abangnya yang mahu tidur. Achik mahu 'botol'.             
       Akhirnya abang terlelap di atas sofa. Ayah pun suruh achik ambil selimut,  selimutkan abang. Muncul pula lagu jiwang dalam ingatan ayah. Lagu Stings.

        Selimutkanku dengan asmara
         Lindungiku dari duka dan lara
        Walaupun keras dugaan melanda
        Takkan kubiar engkau terluka

        Lagu-lagu lama memang kaya dengan hiperbola.

Tuesday, January 9, 2018

Makan

Anak-anak pasti tahu kisah Sang Kancil dan Buaya.
         Akal kancil bermaksud cerdik (dengan tipu muslihatnya)(Kamus Dewan Edisi Keempat). Tak usah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai juga (sedia) bermaksud tidak usah diajar orang yang sudah tahu ( Kamus Dewan Edisi Keempat).
        Biasanya, ayah bagi makan kucing sahaja. Bagi binatang yang lain makan ayah serahkan kepada anak-anak dan umi. Jika ada peluang bolehlah ke 'Langkawi Wildlife Park'.

Sunday, January 7, 2018

Pemimpin

Untuk menjadi manusia, sesungguhnya hendaklah  bertanggungjawab (Antoine de Saint-Exupery).
     Jika dipilih menjadi pemimpin apa yang perlu dilakukan? Kata Philips Massinger, "Dia yang hendak memimpin orang lain haruslah mahir memimpin dirinya sendiri terlebih dahulu." Apa pula kata George S. Patton tentang pemimpin? Bersedialah membuat keputusan. Itu kualiti terpenting untuk menjadi seorang pemimpin.
      Imam Al-Ghazali pula menyatakan bahawa sifat utama bagi pemimpin ialah baik hati.
    

Saturday, January 6, 2018

Naik

Cuti dua hari masa untuk bekerja di rumah. Masa untuk membasuh baju kerana cuaca yang sesuai untuk mengeringkan baju setelah hampir seminggu hujan dan air naik.
     Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan,  dikatakan lebih 50,000 pekerja dalam pelbagai sektor utama dijangka diberhentikan tahun ini (Ismaweb.net). Alhamdulillah,  kita yang masih ada kerja perlu bersyukur walaupun kadang kala naik darah disebabkan kerja.
     Cikgu Baha pula kata hidup kena bekerja kerana darah naik jika makan dan tidur sahaja.

Bengkak

Bengkak di kawasan muka anak-anak sewaktu bangun tidur ada beberapa kemungkinan.
    Pertama, mungkin ada serangga merayap atau sebagainya yang menggigit mereka sewaktu tidur. Kedua mungkin gusi mereka bengkak dan ada nanah bagi yang masih bergigi susu atau sudah rongak.
    Tempoh hari, muka angah sudah membengkak dan ternyata ada nanah di dalam gusinya. Kali ini, masih terjadi dan kami masih menunggu kerana banyak orang.
    Pada poster tertulis, "Angkat bibir atas dan bawah untuk mengesan kerosakan gigi."

Friday, January 5, 2018

Susah

Dalam Harian Metro (5 Januari 2018, m/s: 52), di Guiyang, selatan China, seorang murid berusia 8 tahun, Qu Sinian ditemani ibunya yang sakit menyiapkan kerja sekolah di sisi  lebuh raya setiap hari kerana rumahnya terlalu gelap disebabkan kemiskinan.
       Sememangnya orang yang berjaya melalui bermacam-macam dugaan. Dugaan dan cabaranlah yang akan mematangkan seseorang.  Ayah sering memikirkannya kerana sudah melihat bersusah- payah opah dan atuk bekerja di ladang sawit dan di ladang getah. Ayah juga mengikut opah dan atuk ke ladang.
       Anak-anak ayah tidak merasa ke ladang. Celik-celik mata sudah naik kereta. Sudah nampak cahaya. Rasa susah memang diperlukan untuk mencapai kejayaan dan juga untuk lebih bersyukur.



Thursday, January 4, 2018

Cahaya

Mana datang cahaya
Bukanlah tajuk cerita
Siapa punkau kusudi terima
Biarpun dosa semalam
Sebesar gunung menembus awan
Yang penting hatiku dapat kautawan

Ini sebahagian lirik lagu Bengang, Manterra. Alhamdulillah, sudah ada cahaya hari ini. Hujan sudah berhenti.
      Air pun sudah tidak ada atas jalan. Masih ada yang berada di pusat penempatan banjir kerana air masih belum surut sepenuhnya. Semua  bahu-membahu membantu mangsa banjir.
    Marilah sama-sama membantu dalam bentuk apa-apapun selagi termampu dan terdaya dengan hati yang ikhlas, Insya-Allah.

Wednesday, January 3, 2018

Payung

Saat ini hujan kembali.
      Balik tadi hujan dah berhenti, tetapi air di kiri kanan jalan masih melimpah dan rumah yang di tepi jalan masih dilimpahi air. Kereta diparkir di kiri dan di kanan jalan. Ada sekolah yang ditutup kerana banjir dan juga terputus hubungan. Ada juga sekolah yang sudah jadi pusat pemindahan banjir.
       Ada ibu bapa yang berpayung menghantar anak ke sekolah kerana rumah dekat dengan sekolah. Ada juga yang berbaju hujan dan berpayung menunggang motosikal menghantar anak ke sekolah.
       Sama-samalah kita berdoa agar keadaan kembali pulih dan ini juga ujian daripada Allah swt untuk kita semua.

Tuesday, January 2, 2018

Syukur

Pagi yang disangka Isnin, hujan tak berhenti.
     Anak meragam, kesesakan lalu lintas, ada kemalangan, ada banyak kereta yang beratur mahu masuk  kawasan sekolah sebab hujan dan juga memberi semangat kepada anak-anak darjah satu, kena patah sebab jalan dilimpahi air, silibus baharu dan ini sebenarnya jika difikirkan kembali perlu sangat bersyukur kerana masih boleh bekerja kerana amai, damai, harmoni dan sentosanya negara. Alhamdulillah.
       Masih juga boleh menulis. Selamat bekerja kembali.

Monday, January 1, 2018

Senyum

Hujan tanpa henti dari pagi sampai sekarang,  adakalanya disertai juga angin. Inilah sambutan hari pertama 2018.
     Duduk di rumah sahaja anak-anak bermain di bilik dan juga menonton kartun. Itu sudah bisa membuat mereka gembira dan tersenyum. Kata Hamka, "Keikhlasan sebenar terlindung di dalam senyuman anak kecil, itulah senyum yang sebenarnya senyum, senyum yang tidak disertai apa-apa."
     Gelagat mereka seperti membunyikan suara di depan kipas angin pun sudah boleh buat kita tersenyum.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...