Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2017

Ultraman

Tidak silap ayah, waktu kecil dahulu waktu buka tv3 akan ada 'trademark' - 'TV3 untuk kita'. Kalau ayah silap tolong betulkan.
     Bukannya apa yang ditunggu di TV3, cerita Ultraman.  Nampaknya, Ultraman masih lagi bertahan dan beranak-pinak. Anak-anak ayah pun suka Ultraman dan siap hafal serta kenal adik-beradik Ultraman.
    Malam ini, ayah melukis ultraman untuk mereka di atas kotak dan mengguntingnya. Abang kata mahu dibuat seperti wayang kulit. Waktu ayah kecil dulu, ayah buat perkara yang sama tetapi yang dilukis ialah Doraemon.
     Disusunnya Chuck Chicken dan Utraman di tepi dinding.

Pantun

Bunga selasih permainan budak
                Daun sehelai dimakan kuda
          Bercerai kasih bertalak tidak
                Seribu tahun bertemu jugaPantun di atas merupakan sebahagian lirik lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling nyanyian Dato' Siti Nurhaliza bersama dengan Allahyarham Tan Sri SM Salim.
       Pantun merupakan salah satu tanda kebijaksaan orang Melayu. Keindahan pantun dapat dilihat melalui pemilihan kata dalam baris pembayang dan dalam baris maksud. Perkara yang mahu disampaikan dapat disampaikan dengan baik dalam rangkap yang dibina.
       Semalam pula ayah sedikit terkejut dan sedikit malu tatkala bersua dengan Dato' Siti di dalam lif di bangunan Megamall Kuantan.

'Mask'

Filem 'The Man In The Iron Mask' yang ditayangkan pada 1998 agak menarik pada pengamatan ayah. Antara pelakonnya ialah Leonardo DiCaprio.
         Antara dialog menarik yang dapat ditangkap ayah seperti yang berikut:"Saya rela mati bermandikan darah daripada mati tua  dan nyanyuk.""Topeng ini hanya dipakai, ia tidak akan mengurung saya."        Malam tadi pula anak-anak begitu teruja dan begitu juga ayah kerana umi memakaikan 'mask' pada muka ayah.
          Hasilnya,  'mask' pada bahagian atas bibir terpaksa digunting kerana tidak mahu melekat disebabkan misai ayah.

Hendak

Merujuk Wikipedia Bahasa Melayu, Sir Edmund Percival Hillary ialah pengembara dan pendaki gunung  kelahiran New Zealand yang paling terkenal.
           Beliau merupakan orang pertama yang berjaya mendaki Gunung Everest. Dia sampai ke puncak 8.850 meter (29,035 kaki) pada 29 Mei 1953 dengan pemandu Sherpanya, Tenzing Norgay.
           "Bukan gunung yang hendak kutawan tetapi diri sendiri," itulah kata-katanya. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Peribahasa Melayu juga ada berbunyi 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.
           Jika ada kemahuan, apa-apa pun boleh jadi. Kita tengok anak-anak kita, pantang sangat mereka mengalah.

Abu

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa Melayu 'kalah jadi abu menang jadi arang' bermaksud kalah atau menang sama akibatnya (akan menanggung rugi).
        Merujuk kamus yang sama, maksud arang yang pertama ialah benda hitam yang rapuh, sisa kayu terbakar. Mungkin arang dalam peribahasa tersebut merujuk maksud yang pertama memandang sisa kayu terbakar terbakar tidak ada gunanya kecuali arang daripada kayu bakar yang digunakan untuk membakar atau dijadikan bara.
          Maksud pertama abu pula merujuk sisa sesuatu yang telah hangus dibakar atau terbakar. Abu juga sesuatu yang tidak ada gunanya.
         Mungkin ayah kena tanya kawan ayah Cikgu Fakha yang pakar dalam bidang inovasi tentang abu dan arang kalau-kalau pada zaman sekarang abu dan arang digunakan orang  untuk menghasilkan sesuatu.
           Orang dahulu banyak fikirnya tentang alam sekitar dan alam sekeliling serta buah fikirnya sesuai untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

P

Antara aktiviti yang boleh dilakukan sebelum tidur ialah membaca. Malam ini ayah membaca dengan angah.
     Marsupial ialah haiwan mamalia yang lahir belum sempurna perkembangannya dan dibawa di dalam kantung ibunya selama beberapa bulan seperti kanggaru, koala, walabi dan sugar glider (Why? Haiwan, Orbit Buku).
      Di Pulau Tasmania ( tenggara Australia dan beriklim sederhana) terdapat haiwan yang sangat unik, iaitu platipus. Platipus termasuk dalam order monotrem, iaitu mamalia  yang bertelur dan menyusukan anak (Why? Haiwan, Orbit Buku).
        Ingat platipus, sudah tentu ingat 'Agent P' atau Perry the Platypus.

Selera

Sebut pasal makan, macam-macam makanan ada. Ada selera Alhamdulillah, tak ada selera sedikit bermasalah.
     Ada orang pantang nampak makanan, ada orang memang betul-betul berpantang makan kerana jaga badan atau faktor kesihatan. Nak cari tempat makan juga satu hal, tambah-tambah jika ke tempat baharu. Apa-apa pun sekarang ini, orang 'Google' sahaja.
    Jika di Kuantan,  untuk makan masakan kampung  atau selera kampung pada waktu tengah hari boleh ke restoran Mabiq yang berada di seberang jalan Hospital KPJ selepas melalui Jambatan Tanjung Lumpur jika dari arah bandar.
    Mahu mencari keropok lekor untuk digoreng di rumah pula boleh ke belakang  bangunan Yayasan Pahang tetapi tempatnya sedikit tersorok.

Kecemasan

"Naufal guna ayah masa ada kecemasan je," kata angah kepada ayah.
      Itulah kehidupan, kita ternyata saling melengkapi. Dalam berkawan atau keluarga yang besar, ada yang sangat rapat dengan kita dan ada yang biasa-biasa sahaja. Namun begitu, kita saling memerlukan.
       Setiap kali kita memerlukan bantuan, otak kita akan berfikir,  pertolongan yang kita perlukan itu mampu diselesaikan oleh siapa? Tidak semestinya kawan rapat, adik-beradik atau saudara rapat, boleh jadi orang itu hanya pernah berinteraksi dengan kita melalui bertukar senyuman sahaja.  Kadang-kadang orang itu langsung tidak kita kenal tetapi Allah menggerakkannya untuk membantu kita.
        Angah meneruskan permainannya, jika musuh sukar untuk ditewaskan, barulah dia mencari ayah. Hari Sabtu ialah hari bermainnya. Terima kasih kepada Cikgu Amir yang memberi idea.

1996

Kumpulan Linkin Park yang ditubuhkan pada tahun 1996 menghasilkan album yang terjual lebih 70 juta seluruh dunia dan memenangi dua anugerah Grammy (Sinar Harian).
      Vokalis kumpulan Linkin Park, Chester Bennigton ditemui mati tergantung dipercayai bunuh diri semalam, lapor BBC. Mayat Chester,42,  ditemui di sebuah rumah di LA County pada pukul 9.00am (waktu tempatan) pada Khamis (Sinar Harian).
      Tahun 1996 tahun ayah menduduki peperiksaan SPM. Waktu itu, hanya ada  gred A1 dan A2. Sekarang ada ada gred A+, A dan A-. Sewaktu belajar, masalah yang dihadapi tentulah berkaitan dengan pelajaran. Apabila semakin dewasa tentulah masalah lain yang dihadapi. Chester dilaporkan bergelut dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah sejak beberapa tahun lalu (Sinar Harian).
      Kata Kapten Jack Sparrow,  "The problem is not the problem; the problem is your attitude about the problem."

Idola

Angah suka menurut apa-apa yang  dibuat along. Cara berpakaian pun ada kalanya serupa seperti abangnya. Cara percakapan pun ditirunya cuma dia tidak selaju abangnya bercakap dan cakapnya bernada. Adik pula akan sama mengikut abang bermain dan ketiga-tiganya akan bergumpal bersama. Cuma hari ini adik demam dan umi telah membawanya ke klinik. Dia tidaklah seaktif biasa.
       Ayah memetik sebahagian berita Dalam Sinar Harian (24 Mac 2017)tentang Usain Bolt.
"Ikut contoh terbaik idola anda.”
Itu nasihat Manusia Terpantas Dunia, Usain Bolt yang turut mempunyai idolanya yang menguatkan semangatnya untuk berjaya kepada atlet muda. Beliau mengagumi bekas jaguh pecut Amerika Syarikat, Michael Johnson yang meraih empat kejuaraan Olimpik.
       Ternyata kita perlu ada tokoh rujukan dalam setiap bidang yang kita ceburi supaya kita lebih bersemangat dan tidak mengalah dalam mengejar impian.
       "Impian ayah telah runtuh," teringat ayah akan kata-kata angah apabila bl…

Gembira

Khairul Hafiz Jantan memecahkan rekod kebangsaan  acara 200 meter dengan catatan masa 20.90s di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94.                          Khairul tidak hanya berjaya memecahkan rekod 20.92s milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dicatatkan pada Oktober 1968 di Sukan Olimpik Mexico, malah mengatasi rekod kejohanan 20.94s milik Kento Terada dari Jepun yang dicatatkan pada edisi 1996 di Kangar (Athirah Huda Zalhe, Ismaweb.net).                                            Apabila kita gembira melakukan sesuatu, Insya-Allah kejayaan akan kita kecap. Begitulah  sedikit kandungan buku yang ayah baca iaitu  'Screw Work Let's Play' Edisi Bahasa Melayu (2015), karya John Williams terbitan PTS. Apabila kita melakukan sesuatu yang menggembirakan, masa dirasakan berlalu dengan pantas. Jika sebaliknya, kita tidak habis-habis menengok jam atau merenung jam dan merasa begitu sengsara menunggu waktu itu berlalu.                                    Along gembira kerana …

Rapi

Sinar Harian melaporkan bahawa seekor monyet 'nakal' yang dipercayai bermain dengan pengubah arus elektrik di bandar Livingstone, Zambia telah menyebabkan bekalan elektrik di kawasan tumpuan pelancongan itu terputus dan memaksa lebih 50,000 penduduknya bergelap (agensi berita Xinhua).
       Di Taiping (dalam akhbar yang sama),  orang ramai dinasihati supaya tidak memandang ringan sekiranya mereka digigit atau dicakar kucing kerana mempunyai risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.
      Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata bahawa  risiko jangkitan penyakit itu bukan hanya melibatkan anjing.
      Di sini pula sekumpulan monyet atau kera ( ayah pun tidak pasti kera atau monyet) sering datang mencari makanan. Habis bakul sampah hijau diselongkar dan pandai pula dibuka bakul sampah yang bertutup. Pagi-pagi lagi sudah kelihatan monyet atau kera ini meniti di atas tali elektrik.
      Nampaknya anak-anak yang suka bermain denga…

Naik

Seperti biasa, Angah akan meminta roti disapu coklat sebelum tidur.
     Roti Gardenia sudah naik harga sepuluh sen menjadi RM 2.50. Harga minyak petrol pun tidak menentu, adakalanya turun dan adakalanya naik.
      Ada juga perkara lain  yang tidak menentu seperti perangai kita dan perangai anak-anak. Banyak perkara yang mempengaruhi sikap kita. Jika tidak sabar, nyamuk seekor pun boleh membuatkan 'mood' kita 'lari'.  Maka wujudlah peribahasa seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar yang berkaitan dengan tingkah laku.
      Supaya pagi esok perasaan tidak terganggu, buatlah sesuatu yang menyenangkan atau fikirkan sesuatu yang baik sebelum tidur, Insya-Allah moga perasaan kita tidak naik turun atau tidak menentu.

Senyum

Masih beraya? Ya, masih banyak rumah terbuka.
     Anak-anaklah tersenyum riang walaupun cuti hanya dua. Berpakaian hari raya kerana sekolah buat rumah terbuka.
        Petang bertambah lebar senyuman dapat bermain di Laman Teruntum setelah sekian lama tidak ke sini. Mereka ralit memanjat tali dan bermain buih sabun.
          Senja menghampiri, adik pula tidak mahu memulangkan  batang kayu kecil yang digunakan untuk menghasilkan belon buih yang besar. Along  terpaksa merampas dan memulangkan kayu serta besen kecil itu kepada penjual buih sabun.
              Rajuk adik pergi dan senyumannya kembali setelah memanjat kembali.

Belayar

Luas pandangan jauh perjalanan
      Bertambah pengetahuan pengalaman
           Namun bahagia belum kutemui
             Kiranya yang ku cari ada di siniLagu Persada Cinta nyanyian Spring cukup mengasyikkan.
       "Bahagia itu ada dalam diri kita," begitulah lebih kurang sebahagian daripada dialog dalam filem Trolls.
      Anak-anak pula cukup bahagia apabila dapat bermain. Angah meminta ayah membina kapal lanun daripada kotak seperti dalam buku Box!, karya Noel MacNeal terbitan Lyons Press.
      Setelah menjumpai kotak yang sesuai, kami pun membina kapal lanun dan mengubah suai menggunakan bahan-bahan  yang ada sahaja. Pagi tadi pula, Angah membawa kapal kotaknya ke dalam bilik air.
     "Nanti basah," kata  ayah.
     Dia menyatakan  bahawa kapal kotak itu boleh bertahan kerana ayah telah menampal dengan 'selotep'. Akhirnya, ayah melihat kapalnya yang basah di atas lantai bilik.
     Ternyata Angah mendapat sedikit pengalaman belayar de…

Bosan

Apakah yang boleh mendiamkan ayah? Salah satunya ialah membaca.
     Salah satu buku kegemaran ayah ialah karya John Williams terbitan PTS, 'Screw Work Let's Play' Edisi Bahasa Melayu (2015).
     Antara kandungan buku ini ialah 'scanner' seorang individu yang suka belajar dan mencuba perkara baharu tetapi dia mudah bosan. 'Scanner' hanya mahu tahu apa yang perlu, dalam memahami apa yang paling menarik daripada satu-satu hal itu.
      Ada sesiapa yang mudah bosan? Salah seorangnya tentulah ayah.

Batuk

Sebut sahaja coklat, ramai yang mula membayangkan coklat kegemaran mereka.
    Merujuk laman sesawang Jelita, artikel tulisan Nur Sofea  yang bertajuk 10 Kebaikan Coklat yang Ramai Tidak Tahu (31 Oktober 2O16), salah satu kebaikannya ialah mengelakkan daripada penyakit batuk.
     Menurut artikel ini, coklat mengandungi 'theobromine' yang  berfungsi membantu mengurangkan aktiviti saraf vagus. Pada tahun 2010, para saintis telah membuat kajian untuk menghasilkan sejenis ubat batuk yang mengandungi 'theobromine' bagi menggantikan ubat batuk yang mengandungi 'kodein'. 'Kodein' boleh mendatangkan kesan sampingan yang mungkin berisiko untuk tubuh kita.
      Ayah  pun tidak tahu sama ada ubat batuk yang kita minum hari ini  mengandungi 'theobromine' atau sebaliknya.

Mutiara Naga

Sejak kecil kita membaca buku. Pelbagai jenis buku yang ada di pasaran.
      Pemilihan buku penting untuk menambah kosa kata kita. Banyak perkataan baharu yang akan kita temui, daripada bahasa daerah atau dialek sehinggalah istilah-istilah dalam bidang tertentu.
      Perkataan-perkataan yang kita temui bukan sahaja mempengaruhi penulisan kita bagi yang gemar menulis bahkan mempengaruhi juga percakapan kita.
       Along pula pada satu ketika menggunakan perkataan bahasa Melayu  terjemahan yang didengarnya daripada kartun 'Dragon Ball' sewaktu dia masih belum pandai membaca.
         Jom membaca!

Setahun

Hari ini genaplah setahun ayah menulis cerita-cerita pendek. Harinya sama dengan hari lahir adik ayah.
     Apabila disebut setahun, akan keluarlah frasa 'setahun tahun'. Setahun jagung atau seumur jagung mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mempunyai dua maksud. Maksud yang pertama ialah lebih kurang 100 hari ( tiga bulan). Maksud yang kedua ialah terlalu muda.
     Setiap hari yang kita lalui memberi makna kepada hidup kita. Banyak perkara yang dapat kita pelajari dan lakukan dalam masa setahun. Sebab itulah peribahasa Melayu ada berbunyi sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit yang bermaksud sabar dan tekun melakukan sesuatu, akhirnya berjaya juga.
      Akhir kata, teruskan perjuangan!

Terbuka

Apakah yang menariknya Syawal? Rumah terbuka salah satunya.
     Zaman ayah kecil dahulu tidak pernah dengan pun istilah rumah terbuka. Raya pertama dan kedua yang paling meriah. Raya ketiga kadang-kadang ada juga budak-budak datang.
      Zaman sekarang 'raya kan sebulan'. Banyak rumah terbuka diadakan. Selain mengeratkan silaturahim, juadah juga pelbagai. Akan muncullah tapai ubi dan pelbagai juadah selera kampung.
     Anak-anak gembira melihat satu demi satu makanan yang terhidang. Ayah paling 'takut' apabila melihat anak-anak membawa air yang memenuhi cawan atau cendol yang memenuhi mangkuk.
     Bertambah lebar senyuman mereka apabila dihulur duit oleh tuan rumah.

Bertahan

Berapa lamakah kita boleh bertahan tanpa air?
     Merujuk buku 'Oh, Semua A! Alam Bahan' yang ditulis Shin Seung Hee, terbitan PTS, manusia hanya mampu bertahan tidak lebih daripada tiga hari tanpa air, namun berbeza juga mengikut ketahanan setiap individu.
     Kita mungkin pernah mendengar ada manusia yang boleh hidup selama 10 hari tanpa air tetapi manusia normal tidak boleh hidup tanpa air tidak melebihi tiga hari.
     Anak-anak ayah pula tidak dapat bertahan sampai ke rumah apabila mahu ke tandas dan terpaksa berhenti di tepi jalan atau di Petronas supaya mereka dapat melepaskan hajat mereka.

Kari

Ada apa pada roti? Roti wajib ada di rumah ini. Angah suka sangat makan roti.
      Baru selesai makan,  diminta roti disapu coklat pula. Ayah tengah sedap bermimpi, tengok jam pukul 12 lebih, digeraknya ayah kerana mahu roti disapu coklat. Itu makanan tengah malamnya dan susu di dalam cawan minumannya.
      Roti sedap juga dimakan dengan kari, tidak kiralah kari ayam atau kambing. Bagi ayah, lebih sedap dimakan dengan kari kambing. Umi pula suka makan roti dengan sup ayam di Kedai Mamak Ceri berhampiran bangunan 'Court' Kuantan.
      Roti pilihan kami? Tentulah Gardenia.

Sebiji Epal

Merujuk laman sesawang Kosmo, artikel bertajuk Sebiji Epal Sehari yang ditulis Noor Hasliza Nusi, terdapat pelbagai sebab perlu  kita  makan sekurang-kurangnya sebiji epal setiap hari.     
     Satu kajian mendapati bahawa mereka yang makan lebih lima biji epal seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak makan epal.
     Para saintis mengesahkan bahawa epal merupakan penyumbang kepada kesihatan jantung. Pengambilan dua hingga tiga biji epal sehari dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam badan.
       Memang ayah suka makan epal dan anak-anak suka makan epal tanpa kulit. Ayahlah yang mengunyah dan menghabiskan kulit-kulit epal tersebut.

Talang

Satu perkara yang disukai ayah  ialah kewujudan UTC.
      Merujuk UTC Pahang, UTC ialah singkatan daripada 'Urban Transformation Centre' atau Pusat Transformasi Bandar. Hal ini adalah salah satu usaha dan inisiatif kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan, sektor swasta dan NGO kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan.
     Apabila ke UTC Kuantan yang dulunya perhentian bas ekspres, anak-anak paling suka kerana mereka mungkin nampak tempat itu seperti trek perlumbaan. Ada juga perkara lain yang disukai ayah. Ayah biasa singgah di satu gerai (bukan gerai makan pagi atau tengah hari) kerana ada masanya terdapat menu masakan kampung seperti ikan talang yang dimasak dengan cabai kering  (telah dibungkus dalam bekas plastik).
     Raya keenam pula kami ke situ membeli kuih raya kerana kami tidak jumpa di tempat lain.

Laju

Banyak orang suka kelajuan. Usain Bolt mencipta rekod 9.58 saat dalam 100 meter pada 16 Ogos 2009 di Berlin, Jerman (Wikipedia).
      Manusia berlumba-lumba untuk menjadi lebih laju dalam banyak perkara. Yang paling bahaya, terlalu laju di jalan raya. Yang paling bagus, laju menolong orang dalam kesusahan.  Talian internet paling laju juga pada hari ini menjadi pilihan ramai untuk pelbagai urusan seperti membeli-belah.
      Dahulu pejabat pos sibuk menguruskan surat, sekarang pos laju menjadi pilihan untuk urusan perniagaan terutamanya pengeposan barang-barang.

Goreng Tepung

Merujuk Wikipedia Bahasa Melayu, paus hidup di lautan tetapi tidak tergolong dalam keluarga ikan. Paus ialah mamalia dalam kelompok cetacea.
        Sebagaimana haiwan mamalia yang lain, paus mempunyai ciri seperti bernafas melalui paru-paru, mempunyai bulu (kurang berbanding haiwan darat, hampir tiada bagi paus dewasa), berdarah panas,mempunyai organ penyusuan dan menyusukan anak serta mempunyai empat ruang jantung.
          Kawan ayah, Cikgu Baha pernah memberi teka-teki tentang binatang yang paling besar. Sudah tentu ayah menyatakan ikan paus dan jawapannya ternyata salah. Jawapannya ialah paus goreng tepung.
          Sukar untuk dibayangkan kerana udang kecil pun menjadi besar apabila digoreng tepung, inikan pula si ikan paus.

Singki

Masih ingat suatu ketika di hari raya, air paip tidak ada dan kami semua mandi di telaga.
     Dalam Sinar Harian pula, penduduk di Taman Gemas Indah kecewa apabila masalah tangki air tidak berfungsi berlanjutan sehingga lebih 20 tahun.                  Anak-anak kecil pula, pantang nampak air. Kalau adik tidak berbunyi atau senyap di luar rumah, itu tandanya dia sedang asyik bermain air. Habis semua benda disiramnya termasuk kerusi kayu.                             Jika ke kedai yang ada singki rendah untuk kanak-kanak, diulangnya ke tempat itu dan jenuhlah ayah cuba untuk menarik perhatiannya kepada aktiviti-aktiviti yang lain.

Raya

Bunga raya sentiasa dekat di hati kita.
       Menurut Wikipedia, bunga raya yang  dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu (Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.
         Bagi datuk dan nenek atau moyang kita yang telah lama menunaikan haji, mereka pasti  ingat  akan kapal Bunga Raya yang merupakan antara kapal jemaah haji Malaysia ke Jeddah pada era 60-an dan 70-an.
         Anak-anak ayah pula memetik sekuntum bunga raya merah yang berlapis kelopaknya di rumah jiran opah (Pak Long Lee dan Mak Long Pah)setelah beraya di rumah mereka.

Puding

Dalam Wikipedia  menyatakan bahawa pokok bunga puding dipercayai berasal dari Malaysia, Fiji, Australia dan Maluku.
     Pokok bunga yang daunnya berwarna-warni ini banyak di tanam di felda-felda. Di rumah opah, pokok puding kuning bertompok hijau ini usianya lebih kurang 36 tahun. Petang tadi, hujan  lebat dan angin begitu kuat. Pokok puding ini sudah mencecah ke tanah tetapi masih ada akarnya yang memaut tanah.
     Masih ada dua pokok yang sebaya dengannya.

Kambing

Salah satu aktiviti sewaktu di kampung ialah mencari kambing tanduk tiga ( sejenis serangga bertanduk tiga yang ayah tidak tahu nama sebenarnya) yang selalu hinggap pada pokok senduduk.
      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula, terdapat beberapa peribahasa tentang kambing. Antaranya, seperti kambing dikuliti hidup-hidup yang bermaksud kesakitan yang amat sangat. Takut air sering dikaitkan dengan kambing. Bagai kambing diseret ke air bermakna perihal orang yang malas dan enggan kalau disuruh melakukan sesuatu.
       Apabila menyebut kambing, kambing golek yang ayah suka tentulah kambing golek Hot Catering.