Translate

Wednesday, May 31, 2017

Kurung

Sementara menunggu berbuka puasa, angah along dan sepupu-sepupunya bermain di luar rumah.
     Mereka mengejar dan menangkap kucing atuk. Apabila letih, mereka masuk ke dalam rumah. Apabila ayah ke luar rumah, ayah dapati kucing yang bertompok-tompok oren dan hitam mengiau-ngiau kerana terkurung di dalam sangkar.
      Ayah masuk semula ke dalam rumah. Ayah bertanya kepada opah tentang kucing tersebut.
"Hang pa kurung buat apa kucing tu? Nanti kalau dia berak kat situ, hang pa la pi buang tahi dan cuci sangkar tu!," kata opah.
       Cucu-cucu opah bergegas ke luar rumah untuk melepaskan kucing kerana takut kucing itu berak di dalam sangkar.

Tuesday, May 30, 2017

Lanchang

Maksud lancang (1) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah kapal layar yang laju (1).
        Ayah ke pekan Lanchang bersama dengan angah setelah dua tiga kali dia berdiri dalam hujan rintik-rintik mahu mengikuti ayah. Akhirnya ayah mengalah kerana sebelumnya ayah tidak mahu sesiapa mengikuti ayah kerana hujan mulai turun.
          Bagi ayah, pekan Lanchang tidak banyak berubah. Keunikan yang harus dipelihara dan dipulihara ialah deretan kedai kayu yang menempatkan beberapa buah kedai. Walaupun bangunannya tidak seunik Kampung Morten di tepi Sungai Melaka, sekurang-kurangnya inilah yang menjadi tarikan pengunjung untuk berhenti sebelum ke Kuala Gandah jika melalui jalan lama untuk ke Temerloh dan Kuala Lumpur.
         Jika di Kuantan kita boleh ke Sungai Lembing untuk melihat deretan kedai kayu lama, jika ke Temerloh, kita boleh singgah di pekan Lanchang untuk mendapat sedikit kenangan jika deretan kedai kayu lama ini masih dikekalkan. Jika musim buah pula, pekan ini semakin meriah.

Di manakah dia?


                   Ini kisah tentang bulan
                  Bulan bintang jadi kawan
                   Begitulah persahabatan
                  Yang cuba kami eratkan
                 Moga berkekalan selamanya

Kebiasaannya dipanggil kawan, ada yang memanggilnya teman, ada juga yang menggelarnya rodong, ada yang menyebutnya saing dan ramai juga  yang memberi namanya sahabat.
     Apa-apa pun panggilannya, hubungan ini didasari dengan satu titik persamaan. Jika titik persamaan tidak diketemukan, maka hubungan ini sekadar biasa-biasa sahaja dan keakraban tidak akan terjalin.
      Siapakah kawan baik atau sahabat sejati kita hari ini? Di manakah dia? Di alam maya atau di alam nyata?

Empat

Puasa keempat, kami turun bandar Temerloh Ikan Patin. Wow! Banyaknya kereta. Pusing-pusing terminal bas, tidak ada parkir yang kosong.
      Akhirnya, ayah turunkan opah, umi, anak-anak dan sepupu-sepupunya terlebih dahulu. Ayah berpusing-pusing lagi beberapa kali,  ayah jumpa satu parkir kosong di tepi Happy Fried Chicken berhampiran Semantan Walk. Dari situ juga boleh nampak Sushi King.
        Ayah pergi beli tiket parkir di tepi The Store terminal bas. Untuk tempoh sejam bagi sekeping tiket berjumlah 43 sen manakala di Kuantan berjumlah 65 sen. Sempat ayah singgah sekejap di Happy Home Semantan Walk dan kemudian menangkap gambar 
zirafah.
         Taman ayah duduk pun bukan bahasa Melayu namanya.

Monday, May 29, 2017

Martabak Nanas

Sudah tentu agak sukar bagi kita yang telah terbiasa dengan sebutan tertentu sejak sekian lama untuk mengubah cara sebutannya.
       Apabila bulan Ramadan akan muncullah murtabak di bazar-bazar Ramadan. Di satu sudut rumah opah pula, banyak pokok nenas yang bercambah.
       Apakah kaitannya murtabak dan nenas? Adakah anda pernah makan murtabak nenas? Ini bukanlah persoalannya.
       Ayah sendiri menyebut 'murtabak', sedangkan perkataan ini tidak ada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Ejaan yang sebenarnya ialah 'martabak'. Ejaan 'nenas' pula dirujuk kepada perkataan 'nanas'.
      Oleh itu, kita kena ingat, tidak semestinya apa-apa yang selalu kita sebut, cara ejaan sama seperti yang kita sebut.

Umrah

Ayah suka mengikuti perkembangan bola sepak dan bahagian paling belakang surat khabar akan dibaca ayah sejak dulu lagi. Sekarang,  jika tidak membaca  surat khabar, ayah membaca secara talian sahaja.
      Sebanyak £290,000 (RM1.6j) pendapatannya diperoleh dalam seminggu (Harian Metro). Dia menjulang  trofi Liga Europa bersama dengan pasukannya, Manchester United yang menewaskan Ajax 2-0.
       Beliau mendedikasikan kemenangan itu kepada mangsa serangan pengganas di Manchester.  Selepas tiga hari kemenangan, dia berada di Makkah (Ismaweb.net). Dia menyambut Ramadan dengan mengerjakan  umrah.
        Itulah Paul Pogba. Pemain MU yang paling diingati ayah  pula tentulah  pada zaman ayah sekolah, iaitu Eric Cantona yang bermain dari tahun 1992  hingga 1997 ( Wikipedia).
          

Ceplos

Mandi masih menjadi isu besar bagi sesetengah anak-anak, tambahan pula cuti sekolah.
      Seperti biasa,  ada masanya ada menangkap dan mencempung terus ke bilik air. Ada masanya ayah membiarkan sahaja.
       Petang ini, apabila ayah ke ruang tamu, televisyen sedang menayangkan drama Ceplos. Tiba-tiba, muncul hantu hitam di atas tangga di sebelah seorang wanita yang berpakaian baju tidur.
      Ayah pun cakap, "Hantu ni suka dekat orang yang busuk sebab tak mandi. Mulut busuk tak gosok gigi pun hantu suka. Tengok hantu tu datang sebab perempuan  tu  busuk tak mandi lagi."
        Serta-merta angah meminta ayah memandikannya. Dia juga menggosok gigi tanpa dipaksa.

Isi


     Tidak ada apa-apa  yang kekal dalam hidup ini. Sebentar tadi hujan lebat, sekarang cerah kembali tetapi hujan masih bersisa.
      Setiap saat dan detik ada sahaja perkara yang berlaku, gembira atau pun sedih. Yang pasti, masa perlu diisi dengan perkara yang baik. Sesuatu yang dilakukan juga bakal menjadi sesuatu yang akan dikenang suatu masa nanti.
      Francesco Totti bersara pada umur 40 tahun setelah mewakili Roma  selama 25 tahun . Arsenal  pula memenangi Piala FA setelah menewaskan Chelsea 2-1.
       Apa pula yang sedang kita lakukan sementara menanti berbuka?
      
     
       

Sunday, May 28, 2017

Bukit

Bermain dengan rakan-rakan ialah satu proses untuk membentuk kesepakatan dan belajar bertolak ansur.
      Jika kesepakatan dan tolak ansur tidak berlaku, hal ini akan mencetuskan krisis atau masalah. Oleh itu, anak-anak dapat belajar tentang sesuatu pada setiap hari melalui apa-apa sahaja permainan yang dimainkan secara bersama-sama.
      Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa yang boleh dikaitkan dengan sepakat ialah bukit sama didaki, lurah sama dituruni yang bermaksud sepakat (seia sekata). Inilah salah satu proses yang  dialami  anak-anak, sering mencari kata sepakat dan bertolak ansur, sama ada sedar atau tidak sedar.
      Jarang sekali anak-anak bergaduh begitu lama kerana mereka akan kembali bermain bersama kerana keseronokan bermain ialah keutamaan.

Kepala

Antara peribahasa tentang kepala ialah diberi bahu hendak kepala (Kamus Dewan Edisi Keempat).  Maksudnya, diturutkan sekali sahaja kemahuannya, ia terus meminta lagi (berkenaan seseorang yang dimanjakan).
        Banyak ibu bapa hari ini termasuk ayah sekepala atau sependapat mahu mengawal penggunaan telefon pintar atau tablet  dalam kalangan anak.
         Anak-anak pula  cukup 'sekepala' apabila bermain telefon pintar. Mereka boleh duduk bersama dan berhimpit-himpit. Yang  nampak dari jauh, kepala mereka.
         

Saturday, May 27, 2017

Pejam

Waktu bersahur ialah satu cabaran bagi yang berpuasa, terutamanya kanak-kanak.
     Sewaktu ayah di Kolej Kediaman O.T Dussek ( kali terakhir ayah melawat O.T Dussek, tempat ini sudah menjadi Fakulti Bahasa), cukup liat untuk bersahur dan melangkah kaki ke kafe dan ada masanya membeli roti Sweetie sebagai bekalan sahur di bilik.
     Untuk membangunkan anak-anak yang sedang dibuai mimpi juga satu cabaran. Jika mereka tidak mahu bangun, sudah tentu perlu didukung dan kadang-kadang mereka berlari semula masuk ke dalam selimut.
     Adegan mengunyah sambil mata terpejam setelah disuap juga dapat dilihat.

Tukar

Puasa bermula maka bermulalah juga pesta makanan. Banyak jenis makanan yang muncul di bulan Ramadan.
     Waktu ayah kecil, makanan jadi banyak bukan sebab dibeli di bazar Ramadan tetapi bertukar-tukar juadah dengan jiran. Budaya ini sampai sekarang masih ada dan ada masanya kami bergaduh kerana berebut-rebut untuk hantar ke rumah jiran. Kadang-kadang sampai ke sahur pun makanan berbuka masih ada.
      Opah pula buat kuih kole kacang petang ini. Di atasnya ditabur tahi minyak. Selamat berbuka kepada semua.

Friday, May 26, 2017

Setengah

Alhamdulillah. Masih dapat menemui Ramadan buat setakat ini. Ada yang sudah lama berpuasa dan ada juga yang baru kali berpuasa hari ini.
      Seminggu sebelum berpuasa, ayah sudah lihat kelapa-kelapa dijual di tepi-tepi jalan. Opah cakap harga kelapa pun sudah naik. Ada juga sesetengah barang harganya sudah naik  seperti agar-agar yang selalu muncul di bulan puasa.
      Apa-apa pun, anak-anak gembira kerana berpuasa di rumah sepanjang hari lebih kurang dua minggu. Bagi anak-anak kecil pula ibu bapa mesti kerap kali mendengar perkataan 'lapar' daripada mulut mereka. Angah pun disarankan berpuasa setengah hari oleh muallimah di sekolahnya.
        Selamat berpuasa untuk semua.
      
       

Sunday, May 21, 2017

46

Hari Guru tahun ini sudah mencapai umur 46. Guru Pembina Negara Bangsa sangat relevan untuk guru.
     Guru cukup dekat di hati kita semua. Banyak atau sedikit, sebahagian daripada diri kita dibentuk oleh guru-guru. Guru membawa pelbagai karakter.  Walau bagaimanapun, tujuannya adalah sama.
      Selamat Hari Guru bagi yang majlisnya diadakan minggu ini.

Saturday, May 20, 2017

Sokong

Kedudukan 2-1 masih boleh berubah selagi wisel penamat belum berbunyi. Memang amat menyakitkan bermain dengan sepuluh orang pemain tetapi perjuangan masih belum berakhir.
      Sepanjang perjalanan di Lebuh Raya Pantai Timur tadi, penuh dengan penyokong Pahang yang berkonvoi menaiki kereta, pacuan empat roda dan bas ke Shah Alam. Masing-masing mengibarkan bendera Pahang.
      Apa-apa pun, pemain terus bermain, penyokong teruskan menyokong sampai habis. Adik juga menyokong di hadapan televisyen.
   

Roti

“Kita juga perlu tahu perbezaan antara roti putih dan roti gandum penuh. Sekiranya mahukan tenaga cepat, roti putih lebih baik.
        “Karbohidratnya lebih ringkas dan mudah dihadam, kita pula cepat mendapat kandungan glukosnya. Roti gandum penuh lebih susah dihadam kerana ia karbohidrat kompleks dan mengandungi serat, sesuai untuk mereka yang mahukan tenaga berterusan."
         Petikan tentang roti ini diambil ayah daripada http://kevinzahri.com. Ayah sendiri pun suka makan roti putih disapu marjerin dan ditabur sedikit gula sejak kecil lagi.
         Sewaktu kami memberi makan rusa tempoh hari, selain lobak merah dan kacang panjang, rupa-rupanya rusa juga diberi makan roti.

Baca

Membaca perkara yang menyeronokkan bagi ayah. Angah pula sekarang ini selalu mengambil buku dan membaca untuk ayah. Sebenarnya, dia tidak boleh membaca pun. Baru sahaja belajar tentang suku kata.
       Dia mereka cerita dan bercerita berdasarkan gambar yang dilihatnya dalam satu-satu muka surat. Sebelum dia bercerita, dia akan kata, "Ayah tak marah kan kalau salah." Ayah menggelengkan kepala dan dia pun mula mengarang cerita.
      Hujung tahun lalu ayah banyak membaca buku yang ditulis oleh Profesor Dr. MKI. Semalam, Alhamdulillah dapat mendengar motivasinya untuk pelajar dan sesuai juga untuk orang dewasa.

Thursday, May 18, 2017

Cermin

Adik cukup bertenaga malam ini. Walaupun along sudah tidur, adik pula 'khusyuk' melukis. "Pandai adik lukis," kata angah.
       Dia meninggalkan kertas dan 'marker pen' mengekori ayah ke ruang tamu. Dia melihat cermin dan menjelirkan lidah. Ada sisa-sisa biskut yang melekat pada lidahnya. Dia terus mengunyah di hadapan cermin.
       Ayah pula cukup gemar mendengar lagu Di Balik Cermin Mimpi, nyanyian M. Nasir.
         
                         Di balik cermin mimpi
                         Aku melihat engkau
                          Di dalam engkau
                          Aku melihat aku
                Ternyata kita adalah sama
       Di arena mimpi yang penuh bermakna

       Adik datang menunjukkan tapak tangannya yang merah dan menyuruh ayah meniup, kononnya dia sakit. Nampaknya, belum boleh bermimpi.
         

Monday, May 15, 2017

Benang

Kali terakhir sebagai pelajar sekolah menengah, ayah dan kawan-kawan  menyambut Hari Guru di padang bandar Temerloh yang sering digunakan untuk  aktiviti memanah pada waktu itu.
    Waktu itu, Hari Guru dikendalikan oleh pelajar tingkatan 6. Hari Ahad baru-baru ini, ayah berjumpa kembali dengan kawan ayah yang merupakan ketua kami pada waktu itu di Bukit Gambang Resort City. Dia juga kini seorang guru.
    Yang ayah masih ingat, kami diberikan sehelai benang setiap orang dan setiap pelajar boleh memberikan kepada mana-mana guru dan guru  yang mendapat banyak benang akan masuk dalam carta guru popular ( ayah tak ingat sama ada carta 10, 20 atau 40).
     Terima kasih  kepada guru-guru yang cukup sabar mengajar ilmu kehidupan dunia akhirat. Selamat Hari Guru.

Saturday, May 13, 2017

Ibu

Emak ialah cahaya. Emak bagaikan matahari. Emak bagaikan bulan. Emak bagaikan pelangi.
     Ayah,  umi serta orang lain yang masih mempunyai emak cukup beruntung. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw sabda :"Ada tiga doa yang diterima Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya."(Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Daud)
     Selamat Hari Ibu untuk nenek, emak, umi dan semua yang dipanggil emak, bonda, mama atau apa-apa sahaja.

Kelawar

                       Rindu itu adalah
                      Anugerah dari Allah
                Insan yang berhati nurani
                       Punyai rasa rindu

Siapa-siapa pun kenal kumpulan Hijjaz. Ini sebahagian lirik tentang rindu. Terlalu banyak lagu yang mengandungi kata sifat perasaan ini.
          Adik bangun pagi, umi sudah ke tempat bertugas. Balik dari Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan pun wajah umi masih belum kelihatan.
         Dia berbaring sambil minum susu; sambil 'melayan' mata.  Ayah ambil baju kelawar umi yang ada dekat dia.  Dia ambil  baju itu semula daripada ayah. Ayah pun tidak perasan dia  ambil  baju itu di mana dan pada bila masa.    
         Rindu umi rupanya. Mungkin baju itu ada bau umi. Dia pun tidur.

Friday, May 12, 2017

Belanda

Masing-masing pakai topi sebab cuaca panas.  Macam-macam ada di sini.  Pokok-pokok, produk haiwan  ternakan dan hasil pertanian boleh didapati di sini. Ayah membeli pokok durian belanda kerana pokok durian belanda di rumah dipotong pemotong rumput warga asing yang tidak kenal akan pokok ini.
       Umi ada program yang melibatkan Adibah Noor. Jadi, ayah bawa anak-anak pergi Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2017 di Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Kuantan di jalan menghala ke Pekan.
      Yang berkelapangan bolehlah ke sini bersama dengan keluarga kerana sambutan ini sampai hari esok (14 Mei 2017). Anak-anak boleh bermain dengan arnab dan tengok rakun.
   
     
  
    

Ukir

Di hospital atau klinik itulah tempat kerjanya. Kerja yang mulia dan dipenuhi kesabaran.
     Jika ke klinik atau hospital, pasti kita berjumpa dengan mereka. Wajah yang letih masih terukir senyuman dalam melayan kerenah manusia yang sakit.
      Ayah pernah masuk ke hospital. Diuruskan oleh jururawat dan ayah belajar bermain tali skip pun dengan jurupulih. Baik untuk jantung kata mereka.
       Masih belum terlambat rasanya untuk ucapan Selamat Hari Jururawat.

Thursday, May 11, 2017

Sudut

Ada hari along akan singgah di tempat kerja ayah sebelum ayah menghantarnya ke kelas petang.
    Jika tidak menyiapkan kerja sekolah, banyak alatan yang ada di atas meja ayah menarik perhatian anak-anak. Kertas, pen dan pensel sudah tentu ada, ditambah pula dengan gunting dan gam.
     Jadi, ayah abadikan karya along pada satu sudut kenangan. Sebelum ke kelas petang, sudah pasti singgah di kafe mini untuk mendapatkan bekalan kunyahan di dalam kereta.
    
    

Monday, May 8, 2017

Tinggi

Dalam Kosmo (www.kosmo.com.my), bangunan tertinggi di Arab Saudi, menara jam di Masjidilharam, Makkah yang dibina pada 2012 merupakan menara berjam terbesar di dunia dan ketiga tertinggi di dunia pada ketinggian 601 meter.
       Membina sesuatu yang tinggi bukan sahaja kegemaran orang dewasa, malah anak-anak cukup gembira dan teruja dapat membina sesuatu yang tinggi.
        Along, angah dan adik meraikannya dengan pelbagai aksi setelah berjaya membina binaan yang tinggi pada petang ini.

Sunday, May 7, 2017

Debu

Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya ialah maksud ayat 8, Surah An-Nahl.
      Dalam buku 12 Kisah Haiwan Berpandukan Al-Quran Allah Al-Khalik (Ustaz Drs. Zainuddin MM) ada menceritakan kisah kuda belang. Menurut buku ini, kuda belang sangat suka mandi debu. Apabila mandi debu, segala penyakit dan kutu-kutu kecil yang berada pada badannya akan hilang atau mati.
        Ayah dan anak-anak pun tengok di 'Youtube'  cara kuda belang mandi debu. Jelas bahawa bukan anak-anak ayah sahaja yang ada masalah kutu.

Limau

Hari cuti, anak-anak sibuk bermain. Ada masa terdengar mereka bertelagah dan menangis. Emak dan ayah ada-ada sahaja yang hendak dibuat.
      Duduk di luar rumah, ayah menyelak-nyelak Sinar Harian. Ada berita tentang PIBG Sk Limau Purut, Jerantut memerlukan RM 30, 000 untuk menyiapkan surau baharu.
      Ayah teringat akan filem Cikgu Limau Kasturi yang cukup menarik bagi ayah, lakonan allahyarham Harun Salim Bachik. Dia menaiki kereta api sambil memeluk gitar ke Kampung Limau Kasturi, Gua Musang untuk memulakan tugas sebagai guru.
       Along pula sejak minggu lepas bertanya tentang hadiah sempena Hari Guru untuk cikgu-cikgunya.

Rumah Kutu

Dalam Wikipedia Bahasa Melayu menyatakan bahawa kutu betina mampu bertelur enam biji sehari. Telur ini selalunya melekat dengan kuat pada rambut. Telur-telur ini akan menetas selepas lebih kurang 8 hari.
      Masalah kutu kepala kembali nampaknya apabila anak-anak mula bersekolah. Dulu-dulu,  opah yang berhadapan dengan masalah begini. Sekarang umi ada kerja tambahan dan umi yang paling risau. Tambah-tambah lagi, anak-anak suka tidur dekat umi. Kutu kepala boleh melompat.
     Pagi ini,  ayah pergi membeli syampu kutu. Harap-harap,  kepala ayah tak jadi rumah kutu.
     

Masa

Ayah sedikit peduli tatkala mendengar lagu zaman ayah sekolah berkumandang, Memori Berkasih. Emak dan wan di dapur.
      Anak-anak di depan menonton Ninja Boy Rantaro. Sesekali ayah tekan punat 834. Minit-minit terakhir Liverpool dengan Southampton dan keputusan masih seri. Akhirnya, wisel berbunyi, seri 0-0.
        Sementara itu,  ayah membelek Metro Ahad dan membaca tentang seorang doktor perubatan iniversiti tempatan tanah air. Dr. Ahmad Shahid Mohd Fadzil  telah mengasaskan jenama jam tangan eksklusif Swiss buatan tempatan, MASA Horlogerie Kuala Lumpur (MASA Horlogerie) yang menampilkan ciri artistik warisan Malaysia.
           Masa terus berjalan, perlawanan antara Arsenal dengan Manchester United semakin hampir.
         
         

Saturday, May 6, 2017

Mengkudu

Sebelum ini ayah akan memangkas dahan-dahan pokok mengkudu yang tumbuh di depan bilik.
   Kemudian, ayah membiarkannya merimbun dan memangkas serta memotong ranting-rantingnya supaya pokoknya tidak terlalu besar. Dapat juga berlindung daripada matahari petang.
    Ayah terjumpa peribahasa tentang mengkudu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Mata orang dulu-dulu cukup tajam dalam memerhatikan alam.
     Peribahasa 'seperti batang mengkudu,  dahulu buah daripada bunga'  bermaksud menganggap sudah menguasai atau memiliki sesuatu barang atau perkara yang belum tentu dikuasai atau diperoleh.
     Petang tadi, ayah mengajar anak-anak bergayut pada dahan mengkudu. Angah dan adik ayah kena  angkat untuk memegang dahan. Adik dipegang  ayah sambil dia memegang dahan. Abang melompat lantas memegang dahan untuk bergayut.
     Emak sampai di rumah, abang menunjukkan kemahirannya melompat dan bergayut pada dahan. Dua tiga kali melompat dan bergayut, akhirnya dahan patah. Ayah cakap, along semakin berat.

Friday, May 5, 2017

Gamat

Pagi-pagi lagi, dia sudah melompat  masuk ke dalam kereta. Mungkin mahu mengikuti emak. Warnanya hitam putih. Ayah duduk di kerusi, dia datang gesel-gesel pada kaki ayah.
     Putih kelabu beranak satu entah ke mana-mana. Kali terakhir dia datang, ada luka merah pada badannya. Entah-entah bergaduh, tapi ayah pun tak pasti.
      Ayah membubuh minyak gamat pada lukanya dan apabila ayah menuang sedikit minyak gamat pada lukanya, dia terus lari lintang-pukang. Sampai hari ini ayah tidak nampak dia.
     Ayah meletak makanan ke dalam bekas, hitam putih yang ada tompok hitam pada hidung berhenti menggesel.

Daruma

Sudah lama ayah tidak menonton Doraemon. Pagi ini ayah menonton bersama dengan angah.
     Nobita teringat akan neneknya yang begitu mengambil berat terhadapnya sewaktu masih kecil. Nenek memberinya patung Daruma. Ayah mencari dalam wikipedia tentang patung Daruma.
       Menurut Wikipedia Bahasa Melayu, Daruma (だるま atau 達磨?) ialah boneka dan merupakan mainan asal Jepun. Bentuknya hampir bulat, bahagian dalam yang kosong serta tidak memiliki kaki dan tangan. Model boneka ini ialah Bodhidharma, pengasas aliran Zen agama Buddha.
      Nenek menyuruh Nobita bermain salji yang baru turun. Sewaktu berlari keseronokan, Nobita jatuh kerana tersepak batu lalu menangis. Nenek mencampakkan patung Daruma yang berat di bahagian bawahnya. Patung Daruma tumbang dan serta-merta bangun semula.
      Kata neneknya, "Nobita perlu kuat dan setiap kali jatuh, perlu bangun semula seperti patung Daruma. Tidak boleh putus asa."

Thursday, May 4, 2017

Selimut

Main  di dalam selimut adik cukup suka. Abang-abang pun masih suka juga dan kadang-kadang ketiga-tiganya berada di dalam selimut walaupun waktu itu tengah hari.
     'Musuh dalam selimut' salah satu peribahasa tersohor tentang selimut. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, musuh dalam selimut bermaksud musuh yang sangat dekat atau yang ada dalam lingkungan sendiri.
       Waktu ayah kecil dahulu pula, antara lagu nasyid yang memang kami ingati ialah 'Selimut Putih'.
    
                Datang masanya insaflah diri
               Selimut putih pembalut badan
                 Tinggal semua yang dikasihi
             Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Mi

Apabila letih bermain, masing-masing pakat duduk depan televisyen. Mula-mula seorang sahaja yang makan mi sup.
    Kemudian, seorang demi seorang meminta mi sup. Makan sama-sama cukup menyeronokkan apatah lagi sambil menonton kartun. Mi kuning ditarik satu-persatu masuk ke mulut. Jari menggantikan garfu. Sup dihirup.
     Tiba giliran abang meminta. Mi sudah habis. Syukur masih ada bihun. Kena tunggu dicelur terlebih dahulu.  Lambat sedikit tak apa, janji bihun ada. Jika tidak, ayahlah kena  ke kedai.
      Ayah pula bertambah suka kalau bihun sup dicampur lobak masin. Nak beli dan makan lobak masin sekarang ini pun kena berfikir  banyak kali.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...