Translate

Tuesday, April 25, 2017

Tidur

Setiap pertanyaan memerlukan jawapan. Tidak semua perkara emak dan ayah tahu.
    Kamus dan melayari internet serta bahan bacaan tertentu perlu dirujuk. Sekarang ini, apabila menyebut sesuatu perkataan, angah akan bertanya tentang sebutannya dalam bahasa Arab.
   Kuda dalam bahasa Arab disebut 'hisanun' dan ejaan dan sebutan yang lebih tepat tentulah dalam bahasa Arab.
    Jika sudah jemu menaiki kereta, di hujung  minggu bolehlah membawa keluarga menaiki kereta kuda di Pantai Kempadang. Yang penting,  pastikan kuda itu tidak tidur kerana kuda boleh tidur sambil berdiri.

Hijau Cendol

Hujung minggu kadang kala tidak tahu hendak ke mana-mana. Jadi, emak ajak pergi makan cendol durian. Pantai Kempadang, itulah tempat yang dituju.
     Banyak orang apabila hujung minggu. Mujur ada tempat kosong. Apabila perut terisi, along dan angah main kejar-kejar. Orang datang kian menyusut dan kian beransur. Abang bawa lari sebelah selipar angah. Giliran angah pula bawa lari selipar along.
      Angah baling selipar along. Syukur ( angah beritahu sebut 'syukur' bukannya 'nasib baik' - pesan muallimah), selipar tidak masuk  di dalam talam goreng pisang.  Orang-orang yang masih menjamu selesa terkejut ayah menjerit memanggil angah tatkala dia membaling selipar.
      Syukur, ayah tidak bertukar menjadi warna 'hijau' seperti cendol dan membesar seperti bota.

Saturday, April 22, 2017

Telur

Ada jemputan kenduri kahwin, itu bermakna pada hari cuti. Kalau dahulu, kenduri kahwin pada waktu cuti sekolah yang panjang sahaja tetapi sekarang, sabtu dan ahad pun ada.
       Ada yang suka buat kenduri di rumah dan ada yang buat di dewan. Anak-anaklah yang paling suka apabila di dewan, ayah dan emak jenuh nak mengawal.
       Sudah jarang ada bunga telur untuk tetamu.  Merujuk www.pesonapengantin.my, pemberian bunga telur pada majlis perkahwinan orang Melayu dikatakan sebagai simbol kesuburan.
      Tetamu yang menerima bunga telur, diharapkan akan bersama-sama mendoakan pasangan pengantin supaya dikurniakan zuriat, memandangkan kehidupan manusia bermula daripada persenyawaan benih telur.
        Apa-apa pun, selamat ke kenduri.
   
     

Thursday, April 20, 2017

Tutup

Apabila balik ke rumah pada waktu petang, masing-masing kalut  meluru masuk ke rumah. Bukan sahaja anak-anak emak dan ayah pun begitu.
    Pernah sekali, pintu kereta bahagian belakang terbuka, apabila lampu luar di buka, baru perasan pintu tidak ditutup. Satu hari, ayah lupa menutup tingkap kereta. Esok paginya apabila buka pintu kereta, nyamuk sudah berkampung di dalamnya.
    Petang semalam, turun daripada kereta, ayah menuang makanan kucing. Dengar sahaja bunyi plastik, ibu kucing beranak satu sudah sampai. Kemudian, dia pergi entah ke mana-mana, tidak ada pula.
      Sebelum masuk ke rumah, ayah tutup pintu kereta. Selepas maghrib, ayah, along dan angah  keluar dari rumah untuk ke kedai. Sebaik sahaja ayah membuka pintu pagar, ada sesuatu yang melompat di atas kerusi di dalam kereta.
     Alhamdulillah, akhir ayah temui juga ibu kucing beranak satu. Rupa-rupanya dia masuk bermain di dalam Alza. Ayah dan anak-anak mahu naik Myvi.
      Nampaknya, selepas ini wajib menjenguk ke dalam kereta untuk memastikan tiada makhluk bernyawa yang bermain atau menyorok di dalamnya.

Wednesday, April 19, 2017

360

Bahagian kepala serangga ini mampu berputar sehingga 360 darjah dan ini memberi banyak kelebihan dari segi penglihatan (Syazuani Mohd Shariff & Amira Md. Zaliati (UiTM), www.majalahsains.com).
       Serangga ini Allah jadikan begitu unik.  Ayah dulu waktu kecil sering mengejar dan menangkapnya. Getah nangka dilekatkan pada lidi dan perlahan-lahan lidi dihalakan kepada serangga  yang rajin hinggap pada dawai kawad pagar ini. Ada masa, getah  nangka juga dilekatkan pada dawai kawat untuk menjerat serangga yang mampu terbang ke depan dan juga ke belakang ini.
         Setakat ini,  belum lagi nampaknya anak-anak ayah mengejar serangga pelbagai warna yang dipanggil pepatung ini. Kadang-kadang,  nampak kumbang kecil  di lantai pun mereka sudah lari, apatah lagi mahu mengejar serangga lain.

Tuesday, April 18, 2017

Gunting

Sewaktu kami hendak ke klinik, kami melalui kedai gunting rambut. Hari itu ayah bawa adik lepas balik dari  tempat kerja, tiga  kedai gunting rambut tutup.
     Selepas hantar emak ke klinik, kami berempat ke kedai gunting rambut. Belum sempat ayah masuk ke kedai, adik yang didukung ayah sudah meronta. Ayah mengambil tempat duduk dan dia menarik tangan ayah berkali-kali mengajak keluar.
     Mula-mula ayah letak dia atas kerusi yang sudah ditambah kusyennya, dia bingkas tidak mahu duduk. Akhirnya, ayah duduk sambil peluk dia erat-erat supaya dia tidak meronta-ronta.
       Dia menangis. Penggunting rambut berbangsa India mengeluarkan bunyi daripada mulutnya untuk meredakan adik. Dalam keadaan menangis, rambut adik berjaya digunting.
         Tiba-tiba ayah teringat cerita Edward Scissorhands  (1990), lakonan Johnny Depp yang ditonton zaman sekolah dahulu.

Sunday, April 16, 2017

Gula & Kopi

Sebahagian daripada kerja anak-anak ialah bermain. Mereka tidah reti duduk diam.
     Menunggu satu penyeksaan bagi mereka. Apatah lagi apabila makan di luar. Keadaan boleh jadi tidak terkawal. Lagi bahaya emak dan ayah juga emosi tidak terkawal hendak mengawal ragam anak. Tambah-tambah lagi apabila anak-anak mula berlari di dalam kedai.
     Jadi, kedai yang dipilih mesti ada tempat bermain yang emak ayah boleh nampak anak-anak. Maka, lega sedikit emak dan ayah. Anak-anak boleh bermain.
     Air pun sampai, makanan pun sampai dan anak-anak pun sampai setelah bermain. Adik disuap emak. Angah menyuap sup ke mulut.
     Abang memasukkan gula ke dalam kopi. Itu satu perkara yang dia suka buat.

Saturday, April 15, 2017

Temucut

Dalam fikiran ayah, permainan ini mungkin sudah tidak wujud. Tiba-tiba pada hari semalam, along dan angah main permainan ini.
     Mereka duduk di kerusi di luar rumah. Pada tangan masing-masing ada kemuncup ( ayah memanggilnya 'temucut'). Mereka memulakan permainan itu.
     Masing-masing memusing ikut arah berlainan supaya temucut itu melekat antara satu dengan yang lain. Selepas itu, masing-masing menarik temucut. Temucut yang tercabut paling banyak atau putus akan dikira kalah.
       Itulah permainan dulu-dulu yang menggunakan apa-apa sahaja  yang ada di keliling rumah.

Pantas

Along dan angah pantas mengekori atuk untuk ke rumah kenduri dengan membonceng di belakang atuk.
    Anak-anak cukup pantas dan tidak perlu disuruh jika perkara itu dapat menyeronokkan mereka. Ayah pun jarang membawa mereka menaiki motosikal.
      Bercerita tentang 'pantas', dalam Sinar Harian hari ini, ada cerita Kereta Api Terpantas Dunia yang ditulis wartawan Salwani Md Zain.
       Shanghai Maglev  yang bermula pada 1 Januari 2004 terpantas di dunia dengan kelajuan maksimum 431 kmph. Kereta api ini terapung di atas medan magnet di antara kereta api dan landasan serta tidak mempunyai roda.
        

Friday, April 14, 2017

Orang Roket

Pagi hari cuti memang menyeronokkan. Opah dan nenek memasak di dapur. Along menonton Nasi Lemak Kopi O tentang orang asli.
      Ayah mencari idea untuk mengarang. Emak melukis gambar chef untuk angah. Angah menunjukkan gambar yang dilukisnya.
      "Orang roket," kata Angah.
      Kita perlu mencontohi 'orang roket'. Siapa lagi kalau bukan ‘The Pocket Rocketman’,  yang menggondol pingat emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong.
      “Saya sentiasa mencuba dan tidak pernah berputus asa. Hari ini ialah hari saya selepas 10 tahun,” kata  Azizulhasni Awang selepas kemenangan itu.
     

Koboi

Malam itu kami ke 'Cowboy'. Opah memerlukan bekas untuk mengisi karas, peneram dan bahulu.
     Koboi dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud gembala lembu yang menunggang kuda ( di Amerika Syarikat). Kekoboi-koboian  pula bermaksud berlaku seperti koboi ( seperti menyamun, menggunakan senjata api, dan lain-lain).
     Sekali sekala ada juga ayah berpakaian seperti koboi jika  diperlukan. Cuma tempatnya bukan di padang ragut.

Malam

                         Oh, malam !
               Hati resah rasa sunyi
             Jiwaku resah dan sepi
                   Waktu malam hari

Tu, dia! Sudah lama  ayah tidak dengar lagu Shades. Anak-anak dan emak sudah belayar ke lautan mimpi.
      Ayah bertemankan kacang,kopi dan radio memandu di malam hari. Kenderaan tidak banyak. Sesekali kereta memintas dan sesekali ayah memintas lori-lori yang sarat.
       Perjalanan hidup kita menempuh siang ke malam dan malam ke siang. Kata orang tua-tua, jauh perjalanan luas pemandangan  dan kata bijak pandai perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah.
        Malam atau siang, inilah perjalanan hidup kita selagi rezeki kita belum habis.
        Selamat malam.
      

Thursday, April 13, 2017

Patuh

Malam tadi angah cakap dia mahu mandi sendiri pagi esok. Dia juga   beritahu bahawa dia mahu makan sebelum pergi sekolah.
     Maka, pagi tadi benarlah kata-katanya. Dia buat perkara yang diberitahunya. Dia mandi sendiri dan tidak mahu ayah memandikannya. Mula-mula dia tidak mahu makan, kemudian dia minta emak sapukan coklat pada roti sebelum masuk ke dalam kereta.
     Benarlah, anak-anak kecil lebih percaya, patuh dan mendengar cakap cikgu-cikgunya  berbanding emak ayahnya. Padahal  kadangkala, emak atau ayahnya juga seorang guru.
      Terima kasih cikgu.
   

Wednesday, April 12, 2017

Suka

Angah sudah sampai  peringkat suka melukis dan mewarna.
     Kerusi meja makan ditolak dekat dengan peti ais.Dia tahu di  atas peti ais ada pen papan putih. Jika tidak, dia suruh ayah melukis ultraman atau apa-apa sahaja. Dia akan mewarna. Ralit sungguh dia  melukis dan mewarna. Sekarang,  dia paling lambat tidur. Dia akan buat sampai siap.
    Apabila ayah sedar, dia sudah tertiarap tidur di atas lantai di samping pensel warna atau pen dan kertas.
    Ayah terjumpa kata-kata ini di instagram Visionwall:
 
"If you are not doing what you love, you are wasting your time"

Berkelah

Waktu kecil, kami rajin berkelah. Bukan di tepi pantai atau di tepi tasik, tetapi di bawah pokok durian atau di bawah pokok rambutan di hadapan rumah.
     Ayah dan adik-adik mengusung pinggan yang dipenuhi lauk dan nasi.Kemudian, surat khabar pengganti tikar sebagai tempat duduk. Berkelah selalunya waktu makan tengah hari.
Kadang-kadang bertambah meriah dengan anak-anak jiran yang tumpang sekaki.
      Anak-anak ayah pun dah lama tak berkelah. Malam tadi siap pasang khemah ( khemah budak-budak)di tengah rumah, kemudian anak-anak ayah makan roti disapu coklat. Masing-masing duduk di luar khemah.
     Yang suka berkhemah sambil berkelah bolehlah ke Air Terjun Berkelah ( sebutannya tidak sama dengan 'berkelah') sempena Tahun Melawat Pahang.
    
    

Tuesday, April 11, 2017

Merah Jambu

Pernah sekali ayah memberi pensel kepada along. Along mati-mati tidak mahu pensel itu.
     "Kenapa ?," tanya ayah.
      "Itu untuk budak perempuan," balasnya. Pensel itu kulitnya berwarna merah jambu. Sudah menjadi kebiasaan dan menjadi kepercayaan kebanyakan orang  bahawa warna itu pemiliknya kaum Hawa.
       Jika anda ke Pulau Pangkor,  anda akan menaiki kereta sewa (van) jika tidak menyewa kereta atau kenderaan lain untuk dipandu.
       Kereta sewa ini bukanlah untuk perempuan sahaja, lelaki pun boleh naik. Jom ke Pangkor!

Monday, April 10, 2017

Cepat

Setiap hari along berpesan, "Ayah jangan lambat."
   Itu gara-gara ayah pernah ambil dia lambat di sekolah. Kata lain bagi jangan lambat ialah cepat.
    Dalam dunia hari ini, banyak perkara dinilai dari sudut kecepatan. Cepat atau lambat bergantung kepada situasi atau perkara yang kita hadapi. Ada perkara yang memerlukan keputusan segera dan ada yang memakan masa.
    Teringat ayah lagu Ekspres Rakyat, Kembara:
  
                       Ekspres Rakyat
       Cepat-cepat jangan Terlambat
                        Ekspres  Rakyat
         Jam delapan akan berangkat

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...