Translate

Wednesday, August 31, 2016

4 Pagi

Sudah banyak kali abang beritahu ayah. Dia minta ayah membelikan jam loceng untuknya.
    Akhirnya, jam loceng itu dibeli ayah sewaktu ke kedai DIY. Sampai di rumah, mula-mula dia memasang bateri 'double A' tetapi jarum jam tidak bergerak. Setelah bateri ditekan  sedikit oleh ayah supaya rapat, barulah jarumnya bergerak.
    Dia mengunci jam pada pukul 4 pagi. Dia kata dia mahu bangun pukul 4 pagi dan pergi ke sekolah pukul 6 pagi. Ayah cakap kalau mahu bangun pukul 4 pagi mesti tidur awal.
     Saat ini dia masih sibuk mengusung jam ke hulur ke hilir dan sudah beberapa kali dia mengubah tempat duduk jamnya itu.
     Dia dan adik cukup tidak sabar untuk mendengar jam loceng itu menjerit.

Baca

Hari ini hari Boboiboy. Pagi-pagi lagi abang dah tengok perarakan sempena merdeka ke-59. Boboiboy pun berarak juga. Selepas itu, ada pula Boboiboy The Movie di Astro.
  Selesai filem Boboiboy, kami pun ke bandar. Kami singgah di Popular. Abang sambar satu buku, Boboiboy Sfera Kuasa.
Beg  sekolah abang pun beg Boboiboy.
    Sampai di rumah, dia terus membaca buku Boboiboy. Sebelum ini, emak sedikit risau kerana abang kurang lancar membaca. Sekarang, papan tanda pun  dia baca sepanjang jalan apabila naik kereta.
     Jom membaca!

Tuesday, August 30, 2016

Tinggal

Waktu pagi, apabila hendak cepat, akan ada barang yang tertinggal. Jika ayah baru keluar simpang, ayah akan patah balik.
    Selipar, kasut sekolah, beg sekolah dan telefon pintar antara barang yang ayah selalu tertinggal.
    Pernah dua tiga ayah terlajak terus ke sekolah abang  dan terlupa menghantar angah. Sampai di sekolah, angah terpinga-pinga dan ayah pun sepertinya juga.
     Nampaknya ayah perlu lebih fokus pada waktu pagi dan semestinya kena bangun lebih awal.

Tiga

Dulu, apabila adik jumpa telefon pintar emak atau ayah, dia akan ambil dan campak. Sekarang dia tidak lagi membaling telefon itu.
   Dia akan datang kepada emak atau ayah dan menghulurkan telefon pintar.
Dia akan menyebut, "ka".Sebutan itu ringkasan daripada perkataan 'buka'. Disebutnya pula, "pin", ringkasan Upin dan Ipin.
    Nampaknya along dan angah sudah ada saingan. Perebutan tiga penjuru akan berlaku. Ayah dan emak perlu menyediakan lebih banyak aktiviti untuk mereka.

Detik 12 Malam

Malam ini ayah tunggu detik 12 tengah malam dengan  anak-anak di sekolah. Sempat ayah mereka satu sajak. 'Siapa Cakap' tajuknya.

Siapa cakap
kamu tidak cinta
kepada kepada negara
anak-anakku?
Kamu tidak perlu melangkah
ke medan perang
kerana tugas kamu
pada umur begini
belajar, belajar dan
terus belajar dengan tekun
serta bersungguh-sungguh.
Ini juga dipanggil
cinta negara
anak-anakku.

Misi

Sampai di New Zealand, rambutan merah   penuh di atas pokok. Ayah sudah lama tidak panjat pokok.
    Ayah memanjat pokok. Ayah memangkas dahan pokok rambutan yang agak banyak buah rambutan. Mujur tidak ada kerengga yang bersarang.
   Maka Alhamdulillah dan syukur diucapkan ayah kerana selamat naik dan selamat turun setelah berjaya menyelesaikan misi.

Sunday, August 28, 2016

Rintik


     Hujan tidak lebat sangat. Walaupun kami bertemu New Zealand terlebih dahulu, kami menuju terus ke Maran.  
      Sebelum ke New Zealand, tidak sah jika tidak singgah makan ayam kampung. Ayam kampung goreng yang baru keluar dari kuali cukup menyelerakan. Gerainya di bawah bukit. Di atas bukit, tersergam Masjid As-Syakirin.
    Di belakang bukit, ada Chalet  Daerah Maran yang terletak setentang dengan Tasik Maran. Di atas bukit seberang tasik tertulis huruf MHGR (Maran Hill Golf & Resort).
     Sementara menunggu emak, atuk dan wan bersolat, ayah membawa anak-anak pergi ke taman permainan di Taman Tasik Maran. Dalam hujan rintik-rintik, anak-anak tetap mahu bermain.
      Sewaktu naik kuda, tiba-tiba adik menangis sambil menggaruk-garuk. Ayah tengok tempat yang digaruk, rupa-rupanya adik digigit semut gatal.
    Selepas itu, adik sambung main.
  

SAM

               Saya anak Malaysia
               Saya anak Malaysia
    Lagu yang dinyanyikan Dr. Sam cukup tersohor sehingga kini. Apabila emak menyanyi lagu itu, " saya anak merdeka", abang membetulkan lirik lagu itu. Angah juga menyanyi.
                Sayang anak merdeka
                Sayang anak merdeka
    Kemudian, lirik itu ditukar angah lagi.
               Saya anak mak ayah
               Saya anak mak ayah
     Bab tukar-tukar lirik angah dapat daripada ayah. Jarang sekali ayah ingat lirik lagu.
    Sementara sampai ke New Zealand, itu salah satu aktivitinya. Ini salah satu keunikan Maran Bandar Ayam Kampung, ada New Zealand.
     

Saturday, August 27, 2016

Televisyen

Perkataan 'televisyen' terjadi daripada cantuman perkataan 'tele' ( jauh),iaitu bahasa Greek dan'visio' (penglihatan),iaitu bahasa Latin.
     Abang dan adik suka tengok Go Shop. Kadang-kadang mereka menonton Wow Shop. Jika ke rumah opah dan wan, selain menonton kartun, mereka asyik melihat rancangan itu. Atuk  mati kutu kerana tidak boleh tengok rancangan kesukaan mereka.
    Apabila nampak emak, abang mula bercerita tentang produk yang dijual Go Shop atau Wow Shop. Sangat mudah katanya untuk membuat kerja rumah atau sebagainya kalau membeli produk tersebut.
    Sebab itu banyak perkara yang perlu didedahkan kepada anak-anak ketika mereka masih rebung kerana mereka suka meneroka dan mudah menerima perkara baru.

   

Dukung

Dia mencampakkan beg sekolahnya ke luar. Dia mencampakkan kasut hitam abangnya ke luar. Dia mencampakkan seliparnya ke luar. Semua itu dicampakkannya ke luar mobil.
    Itu dibuatnya gara-gara ayah tidak mahu mendukungnya masuk ke kedai. Ayah mendukung adik. Dia juga mahu didukung seperti adik. Itu tandanya dia mengantuk. Mengantuk menimbulkan bermacam-macam ragam.
     Setelah ayah mendukung dan meninggalkannya di dalam kereta yang berada betul-betul di hadapan kedai, dia melemparkan segalanya ke luar kereta. Ayah membeli susu Dugro dan kembali ke mobil. Ayah meletakkan susu di atas kerusi. Ayah mengutip barang-barang di atas tanah. Ayah mendukung kedua-duanya sekali masuk ke kedai semula.
      Di dalam kedai setelah dia melihat-lihat, dia meminta ayah mengangkatnya untuk meninjau di dalam peti aiskrim. Setelah dia dapat aiskrim yang dimahukannya, ayah mendukung kedua-duanya masuk ke dalam mobil.
       Sampai di rumah, dia meminta ayah menyimpan aiskrim tadi ke dalam peti ais. Dia mencapai Mister Potato yang dibeli ayah lalu makan sambil menonton kartun di televisyen.
      Ragamnya sudah hilang dan ayah 'hilang' ke dapur membancuh susu.

Friday, August 26, 2016

Mungkin

Angah mengantuk. Masa keluar dari mobil tadi pun, dia didukung ayah. Ayah beratur untuk bayar bil makanan sambil mendukung dia.
     Seorang lelaki  yang hampir menghabiskan sebatang rokoknya di depan ayah. Selesai sedutan terakhir,  dia mencampakkan puntung ke atas lantai lalu memijaknya.
     Tiba-tiba, muncul seorang wanita di depan ayah. Dia berada di tengah, di antara ayah dengan lelaki tadi. Mungkin dia tidak nampak ayah yang sedang mendukung adik di belakang lelaki tadi.     
     Mungkin juga ruang kosong di tengah di antara ayah dengan lelaki tadi satu pembaziran dan patut dipenuhkan. Mungkin juga ruang kosong itu seperti teka silang kata dan harus diisi dengan perkataan 'A' yang bermaksud adab.
     Ayah masih berfikir segala kemungkinannya tatkala semua anak ayah telah tidur.
    

Lain

Ayah ambil angah lepas jumaat. Selalunya pada waktu ini waktu dia dan kawan-kawannya tidur.
   Setelah digerak daripada tidur, dia menyalami muallimah dan pergi mengambil beg ultramannya. Dia mencari pula selipar supermannya. Superman diterima ramai  peminat walaupun memakai pakaian dalam di luar.
    Mujur adik tidak seperti superman. Seluar yang dipakainya hanya  terbalik. Bahagian belakang berada di hadapan dan  bahagian depan berada di belakang.
     Ayah teringat tempoh hari, ayah pergi ke kedai makan memakai selipar yang bukan pasangannya. Ayah rasa orang tidak peduli kerana pemain bola sepak pun memakai kasut lain warna.  Yang bezanya, selipar ayah saiz tidak sama.
     Emak dan anak-anak hanya gelak tengok ayah.

Kongsi

"Burger satu," ayah membuat pesanan. Abang lapar burger. Adik mahu juga. Ayah cakap,"Kongsi."
     Abang  mundar-mandir. Sekejap-sekejap datang mengadu kelaparan. Kemudian, main kejar-kejar mereka di birai kedai. Burger sedikit lambat siap kerana orang lain pun sedang menunggu.
     Burger pun tiba. Selepas membasuh tangan, dia membaca doa. Dia terus memegang burger dengan sepuluh jari dan menggigit burger ayam dengan gigi kekal yang baru sebatang ( yang lain gigi susu).
     Adik meminta burger daripadanya. Masih belum kenyang, dia tidak mahu berkongsi. Ayah meminta dan mengambil burger pada tangannya.
  "Adik makan tak banyak," kata ayah.
Ayah menyuapkan ke mulut adik. Abang berlari ke dalam kedai untuk membasuh tangan. Dia merajuk.
    Dia tidak mahu makan. Adik pun makan tidak banyak. Mereka berlari-larian kembali. Kemudian, mereka datang. Adik makan burger. Abang meminta, adik memberi.
   Adik makan sebelah roti burger,abang  makan sebelah lagi. Akhirnya mereka berkongsi. Ayam dalam burger dihabiskan ayah.

Wednesday, August 24, 2016

Silaturahim

Silaturahim berasal daripada perkataan Arab. Hubungan silaturahim  atau tali silaturahim bermaksud bermaksud hubungan persaudaraan (kekeluargaan, persahabatan).
    Anak-anak yang sudah bersilaturahim suka untuk ke sekolah kerana mereka dapat bertemu rakan-rakan. Anak-anak juga mudah bersilaturahim tambah-tambah lagi di taman permainan.
     Ayah tengok anak ayah bermain dengan kawan baharu ditemuinya. Anak-anak mudah berkawan kerana mereka kurang syak wasangka.
     Dalam masa yang sama, ayah dan emak perlu memastikan anak-anak berada dalam pengawasan mereka.
     Selamat bermain!

Gelora

Selepas makan coklat, kami pergi  ke Taman Gelora. Anak-anak tidak sabar untuk memanjat kerana di rumah, yang mereka panjat hanyalah pagar pintu rumah.
   Sampai di sana, along dan angah terus memanjat. Adik pun seronok juga apabila ayah dan emak mengangkatnya ke atas tempat gelongsor. Kemudian, ayah dan emak membiarkan adik menggelongsor sendirian. Dia bangun semula dan meminta diangkat lagi.
   Kemudian, kami berhenti dan menuju ke gerai makanan. Selain makan, di sini juga ramai orang datang untuk berjoging.
     Emak suka nasi ayam di sini. Ada keropok lagi emak suka. Ayah meminta rojak dan air limau. Suara ayah masih belum keluar sepenuhnya.
     Yang pasti, anak-anak cukup gembira hari ini. Ayah? Rasa bersalah kerana lupa tarikh penting.
      Terima kasih sekali lagi sayang.

Bunga

Tiba-tiba muncul seorang lelaki membawa satu jambangan bunga. Semua orang pandang ayah. Ayah boleh agak, ini tentu daripada emak. Yang ayah tak boleh agak, 'sebab' apa ayah dapat bunga?
    "Ya Allah!," ayah tak ingat langsung. Hari ini hari ulang tahun perkahwinan kami berdua setelah ayah membaca kad di yang terselit di sebelah beruang kecil.
      Dalam kereta, angah tanya, "Ni bunga siapa?"
Ayah cakap," Umi bagi kepada ayah."
"Ayah nak bagi umi ke?,"dia tanya lagi.
"Umi yang bagi ayah, tahun ni ayah betul-betul lupa," balas ayah.
   "Coklat?," soalnya lagi.
"Kita makan ramai-ramai," kata ayah.
Itu yang sebenarnya. Dari awal lagi dia dah 'perati' coklat di celah-celah ros merah.
    Terima kasih sayang. Selamat Ulang Tahun Perkahwinan. Moga kekal ke Jannah.Insya-Allah.

Tuesday, August 23, 2016

Tabung

Di dalam beg  sekolah anak-anak ada macam-macam. Dalam beg angah ayah jumpa'Gopal' dan 'Captain America' yang sudah tinggal badan sahaja.
     Di dalam beg  along pun ada macam-macam. Kadang-kadang  ada biskut, ada kuih dan ada juga plastik makanan. Ada juga barang yang dibelinya di kedai buku sekolah. Ayah jumpa tabung kertas sempena bulan kemerdekaan di dalam beg merahnya.
     "Tabung masa depan," katanya kepada ayah yang sudah dua hari suara tidak berapa hendak keluar.
         Cerita pasal tabung, ayah teringat khamis minggu lepas, ayah dan emak ke Tabung Haji. Daftar haji untuk adik dan adik dijangka pergi haji pada tahun 2105. Sampai saat ini ayah tak dapat bayangkan tarikh itu.
         Jom menabung!
     

Galak

Anak-anak kecil jarang sekali dilihat berputus asa. Ayah juga seharusnya mendorong anak-anak agar tidak berputus asa. Ayah perlu menggalakkan anak mencuba sekali lagi dan mencuba sekali lagi jika tidak berjaya melakukan sesuatu.
     Anak-anak tidak seharusnya ditakutkan-takutkan dengan sesuatu untuk mencuba sesuatu. Sesuatu yang mungkin kurang bahaya bagi dewasa seperti memanjat sememangnya amat bahaya bagi si anak kecil yang baru bermula.
    Seharusnya ayah yang bersedia dengan segala kemungkinan untuk memastikan anak-anak mencuba sesuatu yang harus dicubanya seperti memanjat bagi menguatkan dan membina otot-ototnya melalui aktiviti lasak.        
       Ayah perlu berada di samping mereka buat permulaan untuk menimbulkan keyakinan anak-anak melakukan sesuatu yang baharu. Keberadaan ayah akan mengurangkan rasa cemas dan menambahkan semangat dan rasa selamat mereka. Kemudian, barulah ayah boleh melepaskan  mereka 'terbang'.
    Ayuh, teruskan!

Monday, August 22, 2016

Bendera

Ketika ini ayah dan emak sedang menonton Majalah 3. Leftenan Komander (B)TLDM Mohd Sharif Kalam merupakan insan yang menaikkan bendera Malaysia buat kali pertama pada tanggal 31 Ogos 1957.
    Along sudah tidur. Angah memakai topeng ultraman. Adik sedang menghisap botol sambil melihat abang. Masuk sahaja bulan Ogos, ayah akan teringat atuk. Atuk selalu menyuruh ayah memasang bendera kecil pada kereta. Ayah selalu cakap, tidak memasang bendera, tidak semestinya tidak mempunyai semangat patriotik.
     Sebenarnya, cakap atuk memang betul. Kita patut bangga dengan bendera kita. Itu menunjukkan kita sayang kepada negara kita. Dalam mana-mana filem Hollywood, mesti ada ditunjukkan bendera USA berkibar. Bangganya mereka dengan bendera USA. Akhirnya, ayah melekatkan bendera Malaysia pada bahagian atas cermin hadapan kereta.
    Marilah bersama-sama kita kibarkan atau lekatkan bendera pada kereta sebagai tanda sayang kita kepada tanah tumpah negara, Malaysia.

Mentor

Adik bukan boleh tengok emak menyusun buku. Buku-buku berwarna-warni yang tersusun cantik di rak buku sangat menarik perhatian adik.
    Semua orang tengah tengok cerita Zootopia. Apabila semua orang tidak menumpukan perhatian kepada adik, adik tidak kisah. Banyak aktiviti yang boleh dibuat adik.
    Apabila emak pusing ke belakang. Adik sudah selesai buat kerja. Adik tahu, emak akan mengemas semula. Kemudian, adik boleh beraktiviti semula kerana sekarang ini adik berada di peringkat suka 'menyepahkan' barang. Itu satu keseronokannya baginya dan dia tidak akan melepaskan peluang ini.
     Abang-abangnya dulu pun  begitu tetapi dia lebih hebat kerana belajar daripada dua orang mentor.

Bakul

Peribahasa masuk bakul angkat sendiri bermakna membangga-banggakan kejayaan, kelebihan diri dan sebagainya atau memuji-muji diri sendiri.
     Selain digunakan dalam peribahasa, bakul juga boleh menjadi alat permainan yang menyeronokkan. Apabila adik masuk ke dalam bakul, ayah menarik dan menolak bakul.
     Ayah menolak ke kanan, menolak ke kiri dan  memusingkan bakul. Adik yang berada di dalam bakul tidak diam akibat daripada tolakan dan tarikan yang dilakukan ayah.
     Adik seolah-seolah menaiki kereta laga di 'funfair'. Abang-abangnya tumpang sekaki apabila melihat adik mengekek-ngekek di dalam bakul kerana seronok.
     Tolakan dan tarikan ayah semakin perlahan kerana berat semakin bertambah. Masing-masing menunggu giliran. Ada masanya mereka berebut-rebut kerana hanya dua orang muat di dalam satu bakul.
    Ayah berhenti, mereka pun berbunyi. Tak apalah, walaupun tangan ayah lenguh, sekurang-kurangnya peluh ayah keluar dari liang roma.

Saturday, August 20, 2016

Cari

Sampai di Giant,  masing-masing cukup gembira. Masing-masing tidak sabar untuk memanjat  dan bermain gelongsor yang berada di tengah-tengah medan selera (food court).
    Emak sudah beratur untuk membeli mi 'sizzling'. Sepinggan berharga lima ringgit dua puluh sen. Jika mi mahu ditambah dengan telur, jumlah sepinggan menjadi enam ringgit sepuluh sen.
     Ayah masih ingat sewaktu angah belum bersekolah. Ayah duduk di hadapan muka pintu tempat bermain kerana menunggu along dan angah bermain. Tiba-tiba rak kasut plastik di sebelah kiri pintu runtuh. Ayah cuba memasang kembali rak kasut dan tiba-tiba along muncul untuk menolong ayah.
      Apabila siap memasang, ayah menyuruh along mencari angah yang tidak kelihatan. Tambahan pula, anak-anak kecil yang bermain bertambah banyak. Along mencari, ayah pun mencari tetapi angah tiada di situ.
      Melilau ayah dan along mencari angah. Emak muncul setelah bersolat dan emak pun turut mencari angah. Cemas tak dapat dihitung pada waktu ini.
    Syukur Alhamdulillah, akhirnya, ayah dan along menjumpai angah. Dia sedang bergembira melompat-lompat di depan muka pintu pasar raya Giant. Tentu dia keluar dari tempat bermain sewaktu ayah dan along  membetulkan kembali rak kasut yang roboh.
     Peristiwa ini membuatkan ayah dan emak bertambah berhati-hati setiap kali ke mana-mana kerana tidak mahu peristiwa yang sama berulang lagi.

Menang

Saat ayah menulis ini, Chelsea  menyumbat gol kedua walaupun pada mulanya Watford menyumbat gol pendahuluan.  Kedudukan menjadi dua satu. Liverpool tewas di tangan Burnley, dua gol tidak berbalas.
     Malam ini, ayah bermain bola dengan anak ayah di dalam rumah. Petang tadi hujan. Apabila ayah bermain bola dengan dia, ayah kena pastikan dia menang kerana dia masih tidak dapat menerima kekalahan dalam umur yang sebegini.
     Apabila ayah mendahului, dia mula berbunyi. Dia merungut dengan mengatakan bahawa ayah 'main kasar' tetapi dia 'main lembut'. Dengan 'membenarkan' dia menang, permainan akan berakhir dengan suasana tenang.
       Insya-Allah, satu hari dia akan faham bahawa kalah dan menang itu permainan dalam kehidupan. Dia akan belajar menerimanya. Dia akan banyak belajar daripada kekalahan dan kemenangan.

Friday, August 19, 2016

"Cak aaaa!"

"Cak aaaa!," perkatan itu keluar daripada bibir adik tiap kali main 'cak-cak'.
   Kali ini dia mengambil tudung emak. Dia menyelubungkan dirinya dengan tudung Kemudian, dia menyelak tudung untuk menampakkan mukanya lalu menyebut,  "cak  aaaa!"
   Anak-anak akan ada sahaja perkara yang dibuat untuk menggembirakan dirinya dan orang lain. Senyuman anak-anak pun sudah mencuit hati ayah dan emak, apatah lagi telatah mereka.
   Ayah terbaca satu kiriman kata-kata daripada @mrleonardkim dalam 'instagram'nya - you don't have to stop having fun because you get old. You get old because you stop having fun.

Kereta 'Garang'

Ayah memberitahu emak bahawa ayah masih memikirkan tajuk cerita untuk hari ini.           
    Kebiasaannya, untuk menulis, ayah akan memikirkan satu tajuk dan terus jari-jemari ayah bergerak menaip. Idea-idea akan datang kembali(Insya-Allah)berdasarkan ilmu-ilmu yang telah pernah dibaca sebelumnya.
     Kereta 'garang' tajuknya kata emak. Ya, itulah tajuknya. Anak-anak berborak di dalam kereta sambil melihat kereta yang bergerak. Kata mereka ada kereta yang 'garang'. Kereta yang 'garang' itu seperti kereta yang ada sirip ikan jerung di atas bumbungnya.
     Itu tafsiran anak-anak ayah. Mungkin nanti kita boleh cari kereta yang 'penyayang' pula.

Zon Selesa

Ayah mendukung adik. Debaran kian debaran. Mata demi mata dipungut oleh pemain. Akhirnya, Lee Chong Wei membuktikan sekali lagi kehebatannya.
    Kehebatan bukan sesuatu senang untuk dicapai. Seorang pejuang tidak pernah berada dalam zon selesa. Zon selesa hanya membuatkan seseorang tidak mahu berubah menjadi lebih baik atau tidak mahu memaksimumkan kebolehannya.
    Sebab itu ayah membiarkan sahaja anak-anak mencuba sesuatu yang baharu untuk mengembangkan bakat mereka.

Wednesday, August 17, 2016

Salam

Waktu pagi sebelum sampai ke sekolah, masa itu digunakan untuk melelapkan mata. 
   Apabila sampai, angah akan didukung ayah sampai ke muka kelasnya. Kemudian, ayah akan meletakkan begnya di  atas rak beg dan seliparnya di atas rak kasut.
     Along pula akan diiringi ayah sampai di muka pintu pagar sekolah. Seterusnya, ayah akan menciumnya dan dia pun akan mencium ayah. Dia akan menyalami ayah dan ayah  menggosok kepalanya.
      Ayah mula melangkah dan dia memanggil ayah. Ayah berpaling ke arahnya.  Ayah melangkah ke arahnya dan dia menghulurkan tangannya untuk bersalam sekali lagi.
     Pernah sekali, ayah memberhentikan kereta di tepi jalan setelah mendengar suara seperti menjerit memanggil ayah. Ayah berpaling ke belakang dari tempat duduk hadapan dan melihat along melambai-lambaikan tangannya.
      Ayah keluar dari kereta dan menuju ke arahnya. Dia menghulurkan tangan dan mencium ayah. Sebenarnya sebentar tadi, dia telah melakukan perkara yang sama.
     

Roti

Roti planta sekeping berharga dua ringgit tiga puluh sen sekeping. Sementara menunggu roti planta sampai, anak-anak pergi basuh tangan. Along menekan punat dan membiarkan sabun cecair jatuh di atas tapak tangannya.
    Di televisyen, Lin Dan sedang bertarung dengan K. Srikanth  untuk merebut tempat ke separuh akhir badminton di Olimpik Rio. Lee Chong Wei sudah menunggunya. Masing-masing menumpukan perhatian. Ada yang rancak berborak. Ada yang sedang mengunyah. Ada yang sedang bermain Pokemon Go sambil merehatkan perut setelah kenyang.
    Adik mula memanjat ke atas meja. Begitu juga di rumah. Mata perlu sentiasa berjaga-jaga kerana pantang lepa, adik akan berada di atas meja.
      Roti canai sampai, tangan adik pun cepat 'sampai'. Dia memang tidak sabar kalau pasal makanan.
   

Main Air

Anak-anak suka bermain air. Paling seronok dapat bermain air di luar rumah. Aktiviti ini juga aktiviti yang menarik pada waktu petang.
    Memancutkan air, menyiram air, menyimbah air dan menyembur air membuatkan mereka leka bermain air sehingga 'kecut' kesejukan. Ayah dan emak hanya membiarkan mereka bermain air dan sekali-sekala kedengaran suara ayah dan emak.
     Adik yang selesema pun bermain bersama-sama. Setelah dipanggil berkali-kali untuk masuk ke rumah, mereka masih galak bermain air.
   "Cepat masuk, kita nak pergi ke Megamall," kata emak.
       Anak-anak pun bergegas masuk ke rumah dalam keadaan yang basah kuyup setelah mendengar kata-kata emak.

'Selfie'

Zaman dahulu, kalau nak bergambar, hanya pada hari tertentu seperti hari raya. Itu pun  kalau ada kamera dan 'kodak'. Apabila nak bergambar, perlu berhati-hati kerana gambar tidak boleh dipadam seperti teknolologi pada hari ini. Setiap satu gambar cukup berharga.
    Pada hari ini, setiap masa gambar boleh diambil dan banyak yang suka mengambil gambar sendiri. Istilah yang digunakan ialah 'selfie'.
    Bagi sesetengah orang, tidak lengkap harinya tanpa 'selfie'. Anak- anak ayah juga jika ada peluang, mereka akan 'selfie' menggunakan telefon ayah. Bermacam-macam memek muka yang dirakam anak ayah.

Tuesday, August 16, 2016

Menang

Dua abangnya telah berada di bilik air. Permainan juga dibawa bersama-sama. Walaupun adik telah  mandi, dia masuk ke bilik air juga.
     Selesai mandi, memakai pakaian juga saat yang penting dan genting bagi anak-anak.
"Siapa siap pakai baju dan seluar dia menang," kata abang.
    Masing-masing cuba menyarungkan baju dan seluar sepantas yang mungkin. Yang pasti akan ada yang tidak berpuas hati.
    Emak akan menenangkan mereka supaya mereka kembali berdamai.

Aur

Tolong-menolong amalan yang mulia. Ada masanya yang tua menolong yang muda. Ada ketikanya yang muda menolong yang tua.
    Banyak peribahasa Melayu yang menunjukkan amalan tolong-menolong ini. Salah satunya bagai aur dengan tebing yang mengambarkan orang yang suka bertolong-tolongan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Aur itu nama lain bagi buluh atau bambu.
     Petang ini, adik menolak kereta kecil yang dinaiki abang. Semalam pun begitu. Adik begitu seronok menolak kereta.

Monday, August 15, 2016

Petang

Main waktu petang selepas balik dari sekolah bagus untuk anak-anak. Selain menyihatkan badan, malam mereka akan tidur awal kerana keletihan.
   Malam ini nampaknya, bukan mereka yang tidur awal tetapi ayah. Mujur ada emak yang cukup sabar melayan mereka.Tenaga anak-anak cukup banyak bak bateri 'Energizer'.
   Setelah ayah terjaga dek kerana dikejutkan nyamuk, mereka masih belum tidur. Ayah baru terbaca di Sinar Harian tentang kota Berezniki di Rusia mengadakan Festival Nyamuk Rusia. Mereka membiarkan diri mereka digigit nyamuk sewaktu festival ini. Mungkin ayah boleh tanya Harith yang belajar di Rusia tentang festival ini.                                                              Setelah permintaan anak-anak dipenuhi, sekarang sudah sunyi sepi.       Yang kedengaran hanyalah bunyi jam dinding   dan bunyi pendingin  hawa.

Permintaan

Sebelum tidur ada beberapa permintaan yang perlu dipenuhi dan terdapat juga permintaan yang dipenuhi jika munasabah untuk dipenuhi.
    Abang kebiasaannya mahu minum teh 'o' cicah biskut (ayah sebut roti-kebiasaan orang Utara sebut biskut sebagai roti).
      Adik pula secara tiba-tiba mahu makan nasi dengan kicap. Ayah baru sahaja menghabiskan nasi. Sebelumnya ayah mempelawanya makan tetapi dia menolak.
    Akhirnya adik meminta ayah membuat aiskrim Malaysia. Setelah permintaannya dipenuhi, barulah reda rengekannya dan dia mahu susu.
    Ketika ini ayah sedang 'melayan' teh  'o' strawberi Cameron Valley.

Sunday, August 14, 2016

Rumah tangga

Tangga kesukaan anak-anak kecil yang baharu 'dapat kaki'. Waktu pandai merangkak pun mereka sudah suka tangga.
   Apabila sampai di tangga, dia akan memandang ayah. Dia mahu tengok ayah mahu 'menangkapnya'terus atau membiarkan sahaja dia menimba ilmu memanjat tangga.
    Jika dia memanjat tangga sampai habis tidak apa, tetapi belum habis anak tangga, dia duduk di atas anak tangga atau berhenti dan berdiri di atas anak tangga .
     Kemungkinan yang paling besar ialah dia akan jatuh terlentang ke belakang kerana berjalan pun dia masih belum seimbang atau terlentang ke belakang sewaktu duduk kerana tangga tidaklah begitu lebar.
    Jadi ayah ada alasan kukuh sebab ayah tidak besar-besar (gurau aje) kerana ayah sentiasa perlu bersedia dan berlari jika anak ayah memanjat tangga kerana anak-anak yang 'sudah ada kaki' boleh berada di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
       Bagi ayah-ayah yang ada rumah dan tangga,bersedialah!

Gembira

Apabila balik kampung, anak-anak banyak berada di luar rumah, tambah-tambah lagi musim buah-buahan.
    Mereka cukup seronok melihat buah rambutan dikait menggunakan galah. Mereka berebut-rebut mengutip buah rambutan yang jatuh. Mereka ke hulu ke hilir kerana kawasan halaman yang luas.
   "Dua seringgit, dua seringgit, dua seringgit!"Mereka meniru ayat Mail dalam cerita Upin dan Ipin. Mereka sunggguh gembira dapat makan buah rambutan.
    Dahulu, waktu ayah kecil, ayah akan lebih banyak berada di atas pokok rambutan berbanding di dalam rumah sewaktu musim rambutan pada waktu siang.

Saturday, August 13, 2016

Riuh

Apabila ada kenduri,semua balik ke kampung. Waktu ini ialah waktu anak-anak bergembira kerana dapat berjumpa dengan sepupu-sepupunya.
     Main lawan-lawan adalah antara permainan yang tidak dilepaskan oleh anak-anak.Yang penting mereka perlu pandai berlakon, tidak pukul terlalu kuat ( yang sudah bersekolah biasanya lebih memahami) dan pandai berpura-pura jatuh.  Kejar-mengejar di dalam rumah menambah keriuhan.
     Suasana riuh ini menjadi sepi setelah disuruh diam kerana adik-adik sedang tidur dan waktu sudah hampir tengah malam.
     Mereka beralih pula bermainan permainan video. Anak-anak zaman sekarang itulah cabaran terbesar bagi mereka. Mereka dikelilingi teknologi.
     

Kedok

Topeng atau nama lainnya kedok cukup disukai kanak-kanak. Yang berlindung di sebalik topeng kebiasaannya adiwira dalam filem atau kartun.
    Di rumah, topeng 'Star Wars', topeng 'Ultraman', topeng 'Hulk' dan topeng 'Captain America' digantung ayah di tingkap bilik anak-anak.
    Zaman ayah dulu, antara topeng yang paling popular ialah topeng yang dibuat daripada kain pelikat. Yang nampak hanyalah mata. Pada masa itu watak yang popular ialah ninja. Ayah masih ingat namanya, Sasuka.
   Jika sudah pakai topeng, bersedialah! Mungkin sekejap lagi akan ada yang minta pertolongan daripada ayah sebab kalah main lawan-lawan.

Friday, August 12, 2016

"Comel tak saya?"

Adik datang dekat ayah. Ayah menghulurkan botol susu kepadanya. Susunya sudah tinggal separuh. Ayah mendukung adik lalu membaringkannya di atas sofa.
     Ayah melangkah dan duduk menyambung kerja. Abang-abangnya ralit menonton televisyen. Emak dengan wan berada di dapur.
      Ayah menjenguk adik. Adik sudah tidak ada di sofa. Kebiasaannya, diam itu menunjukkan bahawa ada sesuatu yang sedang dilakukannya.
       Ayah bangun. Memang betul dia sedang melakukan sesuatu yang baharu.
Adik perlu tahu bahawa sikap ingin mencuba sesuatu yang baharu amat baik kerana adik akan mendapat pengalaman yang baharu.
     Pengalaman yang ini tidak sepatutnya dilalui adik. Sampai masanya adik akan faham bahawa  adik tidak memerlukan benda itu kerana adik seorang lelaki.
      "Comel tak saya?". Habis gincu emak.

Pilih Kata

Busuk. Anak ayah tahu makna busuk. Dia tahu mulutnya akan berbau jika tidak menggosok gigi. Ayah menggunakan perkataan 'busuk' untuk menyuruhnya menggosok gigi. Tetap tidak berjaya.
   Ayah tanya emak. Emak memujuknya dengan menggunakan perkataan lain.
"Gigi geraham tu ada lubang. Apabila makan, nanti makanan masuk ke dalam lubang pada gigi tu. Sebab tu kena gosok gigi supaya makanan tu nanti boleh keluar," kata emak padanya.
   Hari berikutnya,apabila ayah menghulurkan berus gigi, dia mengambil berus gigi tanpa sebarang alasan.
    'Busuk' ialah unsur abstrak. Hanya deria bau kita yang dapat mengenal pasti bau busuk itu.
   'Lubang' pula unsur konkrit. Anak ayah boleh nampak lubang pada gigi melalui cermin. Dia boleh menyentuh lubang pada gigi menggunakan lidahnya.
    Dalam hal ini, dia lebih percaya bukti yang ditunjukkan oleh emak. Ayah tidak dapat menunjukkan bukti yang jelas. Dia boleh nampak 'lubang' pada gigi tetapi dia tidak nampak 'busuk'. Dia dapat rasa jika ada sisa makanan terlekat di  dalam 'lubang' giginya. Adakah dia dapat rasa kehadiran 'busuk'  di dalam mulutnya?
     Kesimpulannya, pemilihan kata itu sebenarnya memberi kesan yang besar dalam diri kita atau orang sekeliling. Marilah bersama-sama ayah belajar memilih kata dan mengatur kata.

Thursday, August 11, 2016

Ingat

Pagi tadi ayah agak awal. Kami menunggu sekolah angah dibuka. Ayah menggerakkan-gerakkan badan Angah. Angah yang masih berselimut merengek. Katanya mahu tidur lagi.
    Dia menyuruh ayah menghantar abang terlebih dahulu.  Ayah menyatakan bahawa ayah perlu memandu ke sekolah angah semula jika mahu menghantar along lebih awal ke sekolahnya.
    Dia mula menangis. Ayah cuba memujuk. Dia terus menangis dan meronta-ronta.
  "Balik nanti kita pergi kedai dua ringgit," kata ayah.
    Dia terus menangis. Ayah menangkap dan mencempungnya masuk ke sekolah kerana dia lari ke kerusi belakang kereta.
     "Ayah kata tadi nak pergi kedai dua ringgit?," kata angah di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan balik ke rumah.
      "Ye ke?," balas ayah.
      "Ye, ayah," cakap angah bersungguh dan mula merengek-rengek.
       Ayah pun memulas stereng. Kereta berpatah balik menuju ke kedai dua ringgit.
       "Ingat dia tak dengar. Rupa-rupanya, janji nak pergi ke kedai, dia boleh dengar dan ingat walaupun tengah menangis ," cerita ayah kepada emak.

Gebar

Memang seronok kalau ayah dapat bawa anak-anak dan emak melancong naik karavan. Perkara itu pasti suatu pengalaman yang menarik.
        Kereta ayah pun sekarang sudah seperti karavan. Kereta ayah tidak ada katil tetapi pagi-pagi anak  ayah  mesti diselimuti kain gebar. Kadang-kadang pergaduhan tercetus kerana berebut kain selimut. Walaupun ada dua tiga helai kain gebar, yang satu itulah direbutkan.

Wednesday, August 10, 2016

Kunyah

Angah sekarang berada dalam fasa suka mewarna lukisan. Apabila dia mewarna, adik pun akan duduk di sebelah dia.
      Antara perkara yang dibuat adik, sama ada dia akan cuba mengambil pensel warna pada tangan abang atau dia akan mengambil pensel warna lain tanpa disedari abang.
       Apabila adik tersengih, akan nampak giginya yang berwarna. Dia gigit mata pensel warna. Sebab itu pensel warna tidak boleh ada di tempat yang boleh dicapai adik, apabila dia dapat pensel warna, bukan setakat menggigit,dia akan kunyah mata pensel warna.
    

Goyang

Adik sudah pandai menggoyangkan kaki dan tangannya apabila mendengar muzik.
     Apabila berada di dalam kereta,  abang memasang radio. Dia pun menggoyangkan tangannya. Tiba-tiba dia menarik tangan ayah. Ayah tengah memegang stereng. Dia tersengih dan menggoyang-goyang tangannya. Oh, dia ajak ayah buat macam dia!                    "Kemahiran psikomotornya makin berkembang. Dia memberi respon apabila mendengar muzik," kata emak.                                Ayah tengok dalam Kamus Dewan,  psikomotor maknanya pergerakan tubuh yang berkaitan aktiviti mental.                      


Tuesday, August 9, 2016

Ketam

Ayah, angah dan adik di halaman rumah. Kami main gasing. Along di dapur.
    Along tidak boleh nampak ketam. Dia suka makan ketam. Jadi dia berada di dapur. Dia tengok emak menyediakan  ketam untuk dimasak. Kerusi meja makan ditolaknya ke dapur. Dia berdiri di atas kerusi untuk tengok emak menggoreng ketam.
    Dalam peribahasa Melayu, ayah dapati ada beberapa peribahasa berkaitan ketam. Ayah merujuk dalam web prpm.dbp.gov.my.
    Antara peribahasa tentang ketam ialah kuat ikan kerana radai, kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit. Maksudnya ialah merasa kuat(berkuasa) kerana ada kelebihannya; tiap-tiap orang sedikit banyak ada kuasanya.
    Bagi ayah, kuasa perlu digunakan dengan betul dan digunakan di tempat yang betul.

Monday, August 8, 2016

Lama

Angah yang paling lama di sekolah. Perginya waktu pagi yang masih belum betul-betul cerah dan baliknya waktu hampir gelap. Waktu pagi, ayah hantar dia dulu. Kemudian, baru ayah hantar  abang.
    Apabila balik, ayah ambil abang dahulu, kemudian barulah ambil dia. Abang pun suka apabila pergi ambil adik. Dia boleh ikut pergi beli aiskrim. Jika peniaga aiskrim tidak datang, muka anak-anak ayah nampak hampa.

Gasing

Ayah bawa anak-anak pergi kedai RM 2. Dahulu RM 2, kini RM 2.12 setelah dikenakan GST.
    Setelah ulang-alik di bahagian permainan, abang memilih gasing. Tiga gasing plastik dalam satu paket.
    Apabila sampai di rumah. Ayah mengajar abang cara memegang gasing, cara memegang tali, cara melilit tali dan cara melemparkan gasing. Tali perlu ditekan kuat pada badan gasing supaya tali yang dililit kemas  tidak terlucut daripada badan gasing.
    Kemudian, gasing boleh dilempar dengan cara memegang kepalanya di atas dan paksinya di bawah atau boleh dilempar dengan cara paksi di atas dan kepalanya di bawah.
     Hampir sepuluh kali abang melontar, barulah dia berjaya melempar gasing dan gasing berpusing setelah terkena pagar. Balingan selepas itu masih tidak menjadi dan gasing berpusing menggunakan kepala, bukan paksinya (paku).
   Kejayaan itu semakin hampir dengan kita selagi kita mencuba dan tidak berhenti mencuba.

Balik


    Apabila ambil along,biasanya anak-anak berlari keluar dari pintu kelas. Jarang ayah tengok dia berlari apabila keluar dari kelas.
   Kadang-kadang dia berhenti tengok kawan-kawan yang lain main dahulu. Kawan-kawannya itu emak dan ayah mereka belum datang. Kawan-kawan  dia yang lain sudah berlari masuk kereta ayah dan emak masing-masing.
    Itulah along. Dia tetap mahu menggalas beg besar beroda walaupun ada beg yang lebih kecil di rumah.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...