Skip to main content

Posts

Showing posts from November, 2016

Biar

Ayah tidur di atas sofa. Sedar-sedar, semua anak ayah sudah bangun. Tadi sebelum ayah tidur, hanya dua orang sudah jaga.
     Untuk memahami anak-anak, bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Yang paling senang ialah marah. Kadang-kadang yang dimarahi itu pun tidak mempedulikan kita kerana belum sampai peringkat 'reti bahasa'.
     Hari ini abang berseronok dengan membina robot dan membaca komik Satria Junior (Lantzen). Kemudian, dia memainkan gitar yang tidak bertali sambil menyanyi lagu 'Hang Pi Mana'. Dia menari dan adik mengikutinya.
     Keseronokan angah pula lain. Angah pula memakai jubah yang akan dipakai pada tahun hadapan pada setiap hari jumaat. Dia menjatuhkan segala kertas yang ditampal pada peti ais menggunakan magnet. Dia duduk di sebelah abang mendengar cerita daripada komik yang abang baca.
      Keseronokan adik pula mengutip permainan dan dimasukkan ke dalam bakul. Dia mengutip plastik roti jagung Gardenia lalu meletakkan di atas meja. Yang paling dia s…

Koala

Abang berbaring di atas tempat sandar sofa. Dia menyatakan bahawa berasa bosan seperti seekor koala.
    Dia menyatakan begitu kerana dia baharu membaca buku yang menyatakan bahawa koala menghabiskan masa untuk berehat selama 20 jam dan masa selebihnya untuk makan. Ibu koala juga menggendong anaknya di atas bahu selama 6 bulan.
    Angah juga tidak ketinggalannya untuk berbaring seperti abang. Jadi, dia berbaring di atas abangnya.

Jeng, Jeng, Jeng

"Semua ini 'poyo'"Itu kata-kata Awie dalam cerita ini. Adik bertepuk tangan dan  ada kalanya mengerakkan badannya ke kiri dan ke kanan. Malam ini anak-anak seronok. Seronok dapat menonton Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng.                     Bersatu kita teguh
             kalau bercerai kita roboh
                    yakinkan dirimu
                semua pasti kan terjadi

       Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, yakin dimaknakan sebagai betul-betul percaya. Keyakinan itu akan membuatkan kita bertindak. Untuk kita bertindak, kita perlukan keyakinan.    
      Keyakinan itu seharusnya menjadi kawan sejati dalam melakukan sesuatu perkara, tidak kira siapa-siapa pun kita. Keyakinan yang akan membezakan kita.

Gajah

Apabila berada di rumah atuk dan wan, selepas makan, abang akan pergi menimbang beratnya di atas penimbang berat.
     Kadang-kadang dia makan tidak habis dan ayah menyuruhnya menghabiskan supaya beratnya bertambah dan dapat mengalahkan berat ayah. Jadi,  dia pun menghabiskannya dan bangun cepat-cepat ke penimbang berat.
        Bercerita pasal berat, berat lidah ikan paus seberat seekor gajah. Ayah menontonnya dalam Chichi dan Chacha bersama dengan anak-anak.

Paruh

Alhamdulillah, adik sudah keluar dari wad petang semalam.
       Sebelum adik keluar dari hospital, sempat adik bermain-main dan barulah adik menunjukkan keaktifannya apabila dia semakin sihat. Adik memang tidak duduk diam.
       Siang tadi, abang pertama kali naik ke atas pentas  dan jalannya terlalu laju. Tidak sempat ayah menangkap gambarnya. Malam ini pula, emak dan anak-anak mengikut ayah. Malam ini adik begitu aktif. Dia berlari-hari mengikuti kedua-dua abangnya. Apabila jatuh, dia bangun kembali. Lihatlah kepada mana-mana anak, mereka pantang menyerah kalah.
        Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa patah sayap bertongkat paruh. Maksudnya ialah terus berusaha dengan tiada putus harap. Sebelum dewasa, kita juga anak-anak dan seharusnya semangat sewaktu menjadi anak-anak itu tidak hilang dalam diri kita.
        Ayuh, teruskan berjuang dan jangan mengalah walau apa-apa pun yang berlaku!

Nafas

Dua tiga hari sebelumnya ayah banyak berada di Taman Budaya. Semalam ayah dan emak  berada di klinik dan hospital.
    Pagi, ayah membawa emak ke klinik. Emak diserang migrain. Lepas Zuhur ayah dan emak ke klinik kerana adik sukar  bernafas. Jelas nampak dia memang tidak selesa seperti ada kahak yang tidak keluar dan nafasnya berbunyi. Setelah ke Klinik 1Malaysia, adik dirujuk ke HTAA. Di Jabatan Kecemasan dan Trauma, adik ditempatkan sementara di wad pemerhatian. Kemudian, adik kena tahan di wad dan emaklah yang menjaganya.
       Petang tadi adik sudah mula boleh bermain dengan kakak di sebelah katilnya. Semoga adik cepat sembuh.

Proses

Keputusannya ialah seri, iaitu 1-1. Yang dicari ialah kemenangan. Gol pada minit-minit terakhir Giroud menukarkan suasana.
     Proses untuk menjayakan sesuatu itu seharusnya yang dinilai dan bukan keputusan akhir semata-mata. Anak-anak juga tidak boleh dinilai hanya berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata kerana itu satu penilaian kurang adil dan  hakikatnya memanglah benar pada hari ini  keputusan peperiksaan itu penting untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
     Anak-anak seperti abang dan sepupunya gemar bermain robot. Ada masanya robot itu dicerai-ceraikan dan kemudian dicantumkan semula. Semasa proses pembinaan, kreativiti mereka berkembang dan mereka belajar memilih komponen-komponen yang sesuai untuk digabungkan menjadi robot yang baharu. Ada masanya pilihan itu betul dan ada masanya pilihan itu kurang sesuai.
      Kita sedar atau tidak, anak-anak setiap hari melalui proses untuk mematangkan diri mereka walaupun dilihat mereka hanya bermain-main. …

Bangku

Sudah lama tidak bermain bola dengan along. Petang ini sempat ayah bermain bola dengan along dan malam ini Arsenal bertandang ke Old Trafford. Pertembungan Mourinho dan Wenger yang ditunggu-tunggu peminat.
     Akhirnya kami berhenti setelah abang berlari menonton Pokemon di televisyen. Ayah pun masuk ke rumah dan sambil duduk ayah bermain dengan jari kaki ayah. Tatkala menyentuh jari sebelah ibu kaki, rasanya begitu sakit dan diikuti berdenyut-denyut. Ayah menunjukkan jari ayah kepada emak dan jari itu rupa-rupanya lebam. Emak mengambil ais dan jari kaki dituam.
     Itulah hasilnya si kaki bangku bermain bola dan bermainnya dengan memakai selipar Jepun.

Kereta api

Malam ini angah menemani  ayah ke Taman Budaya. Setelah sepupu-sepupunya balik, ayah mengajak abang dan angah. Hanya angah yang mahu mengikut ayah.
     Hujan renyai-renyai turun. Kereta meredah hujan dan kenderaan kian perlahan. Ada tempat tertentu di tepi jalan menakung air. Angah cakap dia seronok bermain kereta api dengan sepupunya. Satu rumah mereka tolak kerusi plastik berwarna merah.
      Sampai di Taman Budaya, latihan telah bermula. Anak-anak yang menguasai pelbagai kemahiran disatukan dalam satu persembahan. Ada yang berlakon, ada yang bermain gasing, ada yang berpantun, ada yang menari, ada yang bermain alat musik, ada yang bersyair dan ada yang bersilat bergilir di atas pentas.
       Angah akhirnya terlentok  di atas kerusi empuk merah di sisi ayah kepenatan.

Memotong

Hari ini keputusan UPSR keluar. Empat tahun dahulu juga angah keluar dari alam rahim.
     Dia duduk di atas meja. Tangannya memegang pisau pemotong kek. Tidak ada 'kek kasut' untuk hari lahirnya kali ini. Adik juga ke hulu dan ke hilir membawa sudu plastik berwarna hijau.
Belum sempat angah memotong kek, adik terlebih dahulu meraikan hari lahir abangnya dengan menuang air ke atas meja.
     Kelam-kabut seketika. Nasib baik kek tidak dibanjiri air, jika tidak mungkin angah pula dibanjiri air mata. Angah memotong kek. Emak memegang tangannya kerana dia mahu emak memotong kek bersama dengannya.
     Selamat hari lahir angah. Terima kasih emak yang melahirkan angah.

Kek

Anak-anak tak pernah duduk diam. Sebahagian daripada hidup mereka ialah bermain.
       Apa-apa sahaja boleh dijadikan permainan. Selipar dan kasut juga sebahagian permainan mereka. Imaginasi mereka tinggi. Mereka boleh 'menukarkan' kasut atau selipar menjadi kek.
       Angah mengatakan kepada adik bahawa dia sedang  makan kek sambil berpura-pura makan kasut dan selipar di depan pintu. Adik duduk mencangkung di tepinya.
         Ayah hanya melihat gelagat mereka. Ayah pun tidak tahu adik faham atau tidak tentang apa-apa yang dikata angah.

Sikap

"Nak pergi tempat lain," hampir setiap pagi angah menyebutnya sekarang ini. Ayah pun naik risau mendengarnya.
       Dia tidak mahu ke sekolahnya walaupun ayah telah bertemu dengan cikgunya tempoh hari. Pagi-pagi dia enggan memakai baju dan seluar sekolah walaupun dipaksa. Dia akan menanggalkannya semula.
      Dalam bab ini, emak mengikut anginnya. Emak memakaikan baju dan seluar lain terlebih dahulu. Sampai di sekolah,  cikgunya pun mengikut anginnya atau memujuknya. Itulah kepakaran cikgu-cikgu yang mengajar anak-anak di bawah umur enam tahun.
Pagi ini, ayah juga mengikut anginnya yang enggan memakai baju dan seluar sekolah. Ayah memakaikan baju dan seluar lain terlebih dahulu.
      Ayah terjumpa kata-kata Jack Sparrow, "The problem is your attitude about the problem." Dalam menyelesaikan satu-satu masalah, sebenarnya kecil atau besar masalah itu bergantung kepada sikap kita.Sikap kita pula dipengaruhi  ilmu, pengalaman dan kepercayaan terhadap sesuatu masalah…

Samar

Hari ini abang sudah masuk kelas baharu untuk darjah dua. Malam  ini juga berlakunya fenomena 'Supermoon' yang dikatakan hanya akan berlaku 18 tahun lagi.
        Ayah sudah minum dua cawan kopi malam ini. Musim hujan begini, langit pun gelap. Cahaya bulan pun nampak samar-samar sahaja. Sudah dua kali ayah menjenguk ke luar rumah. Langit tetap sama dalam kesamaran cahaya bulan.
        Angah dan adik pun sudah melelapkan mata. Along di samping emak melihat emak menyambung kerja menggunakan komputer ribanya. Kemudian, dia bermain dengan permainan robot Batman.
       Kelawar aktif pada waktu malam dan abang-abang di rumah sewa ayah dulu memanggil kami (ayah dan kawan ayah) 'kelawaq' (loghat Utara)kerana suka keluar pada waktu malam.

Nyenyak

Semalam angah kata, "Memang banyak haiwan."
     Hampir pukul dua sampai di rumah hari ini, ayah membuka pintu pagar lalu memandu masuk kereta. Mata ayah memandang ke arah pintu pagar besi. Ya, ada 'tetamu' menanti kami. Ayah menunjuk kepada emak. Angah  dan abang  ke hadapan.
      Hari ini ada seekor haiwan yang tidak dijangka kedatangan. Kebiasaannya, kami disambut kucing-kucing jiran sebelah. Seekor anak sawa batik nyenyak tidur di atas palang besi pintu. Langsung tidak bergerak dan kami terus memerhatikannya.
      Peribahasa Melayu ada menyatakan ular menyusur akar tiada akan hilang bisanya. Maksudnya orang besar dan mulia itu, tidak hilang martabatnya jika dia merendahkan diri sekalipun. Ular sawa batik ini tidak berbisa tetapi ular tidak boleh dijangka  menurut cerita penangkap ular dalam Majalah 3.
        Emak menelefon Angkatan Pertahanan Awam Kuantan. Nombor telefonnya ialah  09-517 1991.Terima kasih kepada Tuan Syam dan Tuan Zul yang datang menangkap …

Banyak

Kata angah pagi ini, "Memang banyak haiwan."
       Di rumah nenek, pagi-pagi lagi ayam sudah berkokok dan berketak. Burung-burung tiada henti berkicau. Angsa di dalam pagar tidak diam melihat ayah yang mendukung adik menghampiri.    
      Ruak-ruak di  dalam longkang terkejut berlari dan terbang rendah ke paya. Kera pula meniti di tali elektrik, kemudian melompat dari dahan nangka ke dahan mempelam dan melompat dari pelepah sawit ke pelepah sawit.
    Ayah membawa lari adik setelah dihurung Aedes.

Anti

Masuk sahaja ke dalam kereta, abang memberitahu ayah bahawa dia melukis komik.
       Sampai di rumah, dia menunjukkan komik mini yang dibuatnya. Ada dua watak, iaitu Pahlawan Naga dan Pahlawan Jerung. Kata abang, Pahlawan Naga ada pedang yang berkuasa. Antara kedua-duanya, yang mana satu hero dan yang mana satu antihero? Ayah pula tidak bertanya tentang perkara itu.
       Dia membawa bekas pensel dan kertas ke dalam kereta. Dia mahu membuat komik yang baharu. Agak lama dia berfikir tentang tajuk baharu komiknya. Mahu diciptanya watak hero yang baharu dan sudah tentu akan ada watak antihero yang baharu juga.
     Malam ini juga nampaknya kecoh dengan cerita anti-Trump dan ada analisis tentang bahasa badan Donald Trump dan Barack Obama sewaktu pertemuan mereka berdua.
     Akhirnya, abang terlena berselimut di sebelah ayah di dalam kereta tanpa sempat mendapat tajuk komik baharu selepas makan makanan yang dibeli di 'kedai hijau'.

Emas

Sewaktu ayah kecil dahulu, ayah tertunggu-tunggu telatah Donald Duck.
       Suatu ketika pula, ayah tertunggu-tunggu promosi burger terbaharu McDonald dan kini ayah dan mungkin orang lain juga tertunggu-tunggu perkara yang akan dilakukan oleh Donald Trump yang berusia 'emas', 70 tahun, Presiden Amerika ke-45.
    Kata orang penantian itu satu penyeksaan. Apa kata, ayah meneruskan sahaja melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh ayah dan anak-anak ayah meneruskan menuntut ilmu dan belajar perkara-perkara baharu kerana masa tidak pernah menunggu kita.
     Kata Benjamin Franklin, 'time is money' dan kata orang Melayu, masa itu emas.

Tidak Sama

Abang jarang sekali bercakap secara terus terang. Apabila dia mahu makan, dia akan mengatakan dia lapar.
Laparnya bertambah setelah nampak 'kedai hijau'.
     "Ayah tahu tak? Abang main 'game' dah sampai 'Level 4'. Seorang lagi abang belum dapat kalahkan," katanya di dalam mobil sewaktu balik dari sekolah. Itu tandanya dia hendak bermain permainan video.
     Waktu dia sebaya angah, apabila dia mahukan sesuatu di kedai, ayah perlu memerhatikan gerak matanya.  Selalunya dia berhenti berhampiran dengan sesuatu yang dihajatkannya dan matanya merenung ke arah sesuatu yang dimahukannya.
    Cara seseorang mungkin tidak sama, tetapi adanya masanya tujuan atau matlamat adalah sama.

Memahami

Ayah dan emak cuba sedang memahami sebab angah enggan ke sekolah. Nampaknya ayah perlu bertanya tentang keadaan dia sewaktu di kelas kepada cikgunya.
    Pagi tadi dia tidak mahu ayah atau emak memandikannya. Sebelum ayah sempat mengundur kereta, dia keluar dari kereta. Selepas itu, ayah menutup pintu pagar dan mencempungnya semula masuk ke dalam kereta.
    Sebelum sampai ke sekolahnya, dia terjaga dan meminta ayah berpatah semula kerana katanya mahu ke tempat lain. Ayah membuka pintu kereta dan mengatakan kepada abang bahawa dia turun di situ dan angah akan ke sekolah abang kerana dia enggan turun dari kereta. Abang terpinga-pinga dan mengatakan itu bukan sekolahnya.
     Kemudian, ayah membuka pintu depan sebelah kiri dan mengatakan bahawa ada anak kucing sesat ada di situ untuk menarik perhatian angah. Abang yang di  belakang pula yang lebih tertarik kepada ayah. Dia menjenguk mencari kucing di tempat duduk hadapan.
    Langkah yang terakhir ialah menangkap angah dan membawanya  …

Hijau

Pagi tadi ayah dengar ada orang bangun pergi ke tandas. Emak mengatakan bahawa angah bangun pergi ke tandas.
     Sejak dua tiga menjak ini, dia tidur tanpa memakai lampin pakai buang pada waktu malam sebab dia menanggalkannya. Pada waktu siang dia tidak memakai lampin.
      Hari ini dia mengikut ayah ke tempat kerja. Dua tiga minggu dia asyik mengulang kata bahawa dia tidak suka ke sekolah. Dari malam tadi cakap perkara yang sama. Ayah sudah memaklumkan perkara itu kepada cikgunya. Ayah dan emak masih mencari jalan supaya pagi-pagi angah suka ke sekolah.
      Selesai sahaja kerja ayah, ayah kembali ke tempat ayah. Angah duduk di atas meja. Ayah teringat Hulk yang terkenal dengan kata-katanya, "You wouldn’t like me when I’m angry."
        Kaki abang sudah bertukar warna hijau. Dia menggunakan  pen 'highlighter' berwarna hijau untuk mewarnakan kakinya.
        Nasib baik  ayah hanya ketawa melihatnya, jika tidak ayah juga bertukar 'hijau'.

Mudah

Along datang dekat ayah. Dia menyuruh ayah membuat cerita tentang dia yang mendapat markah seratus dalam penulisan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris katanya sangat mudah dibaca.
      Ternyata kepercayaannya tidak sama dengan kepercayaan ayah. Mungkin kepercayaan ayah tidak begitu kuat. Bahasa Inggeris salah satu sebab  ayah masuk tingkatan 6. Ayah cukup gembira sewaktu percubaan SPM kerana ayah mendapat C6 dah sudah tentu 'kredit'. Keputusan itu jika keputusan SPM sebenar membolehkan ayah memohon ITM untuk mengambil jurusan Komunikasi Massa. Waktu itu ayah mahu jadi 'deejay' dan cukup suka mendengar Best 104.
    Waktu SPM sebenar ayah mendapat P7 dan sudah tentu 'tidak kredit'. Sekarang ayah masih belum menjadi deejay tetapi kerap kali menjadi pengacara bidan terjun. Ayah hanya perlu masuk kelas vokal kerana keberanian ayah sudah ada, Insya-Allah.
      Bahasa Inggeris? Ayah perlu ada kepercayaan yang baharu.

Pinggan

Makan bersama-sama sesuatu yang menyeronokkan. Zaman ayah budak-budak dahulu, ada masanya kami berkelah makan tengah hari di bawah pokok durian atau rambutan.
    Sambil mengunyah, mata mereka memandang cerita Robocar Poli. Sejak makan ikan selayang bakar di Singgang Budu, dia hendak makan ikan bakar. Jadi juadah makan malam dua tiga hari ini ialah ikan kembung bakar pemanggang ajaib.
     Adik turun naik keretanya setelah pinggannya dilimpahi air masak. Abang ke dapur membasuh pinggan dan angah masih di meja makan.

Susu

"Ayah, nak susu," kata angah.
"Pergi ambil botol," balas ayah.
"Ayah ni, angah dah nak lima tahun, tak kan minum dalam botol lagi," sambungnya.
     Sebenarnya, bulan ini umurnya baru mencecah empat tahun.Kata emak, sejak semalam dia minta susu di dalam cawan.
      Kemudian, dia membawa susunya perlahan-lahan ke hadapan televisyen menonton Upin dan Ipin.

Doa

Musim hujan bermula. Hujan datang tidak diduga. Apabila hujan turun, automatik perut mulai berkeroncong atau itu sudah lama menjadi satu kepercayaan.
    Kopi 'o' 888 cicah biskut Lexus Munchy's cukup sedap. Emak begitu berselera. Anak-anak makan ayam goreng Ayamas Lemon Grass Crispy dengan Kicap Melaka. Ditambah pula sambil menonton video klip Hang  Pi Mana, Khalifah, anak-anak menggelekek menontonnya.
    Ingatlah bahawa antara waktu yang baik untuk berdoa  ialah ketika hujan turun.

Mendikai

Siapakah yang tidak mahu berat badan berkurangan? Cara ini ayah jumpa dalam vitdaily.com yang merujuk 'medical news today'.
       Menurut vitdaily.com, buah ini jika dimakan dalam kuanti berkala, buah ini boleh menjadi pengganti makanan harian kerana tidak berminyak dan tiada mengandungi kolestrol. Buah ini juga dapat mengurangkan kesakitan otot dan meningkatkan masa pemulihan selepas latihan atlet.
       Ada yang memanggilnya mendelikai. Ada yang menyebutnya mendikai. Ada yang menggelarnya semangka. Banyak juga yang mengenalinya dengan nama timun cina. Anak-anak mungkin ada yang panggil temikai. Kebiasaannya disebut tembikai.
     Untuk anak-anak ayah juga bagus bagi membantu penghadaman. Dalam masa yang sama, pastikan tembikai untuk mereka sama besar kerana mereka cukup berkira dengan saiz kerana jika tidak sama saiz, itu satu masalah besar bagi mereka.

Atasi

The Karate Kid alaf baru tidak pernah menjemukan-"Kenapakah kamu mahu meneruskan?" - "Kerana saya masih berasa takut."
   Ketakutan hanya boleh diatasi dengan ilmu. Jadi, anak-anak ayah perlu belajar banyak perkara untuk mengatasi ketakutan.

Dadu

Sejak balik tadi, abang ajak ayah main dam ular.
    Ayah menyuruh along main dam ular dengan angah sementara ayah mengutip permainan  dan buku yang bertabur di atas lantai. Dia mahu main dengan ayah juga dan tidak mahu main dengan angah.
    Emak pula hari ini ke hospital untuk dipakaikan'holter' dan terpaksa memakainya selama 24 jam. Usai makan biskut cicah teh 'o', dilihatnya ayah duduk di sofa dan pada tangan ayah ada telefon pintar.
     "Tadi ayah janji nak main dam ular," kata abang. Abang pun bermain dam ular dengan ayah. Baru sahaja memulakan permainan, adik datang.Kecoh seketika.
      Permainan terhenti di situ setelah buah dadu hilang entah ke mana-mana.

89

Gigi baharu abang baru tumbuh. Tumbuh di hadapan bahagian bawah di belakang gigi susu.
    Angah secara sukarela menawarkan dirinya untuk berjumpa dengan doktor. Maka, semalam, berangkatlah kami ke klinik gigi di UTC Kuantan.
     Adik mengantuk. Dia menangis. Satu klinik dipenuhi tangisannya dan emak memujuk dengan mendukung adik ke tempat lain. Setelah nombor 89 dipanggil, ayah membawa masuk mereka berdua.
     Angah dahulu menghadap doktor.  "Tadi makan ayam ke? Ni ada ayam dalam lubang gigi," tanya doktor yang sebelum itu bertanya tentang sekolahnya. Ada empat lubang dan yang ditampal hanya satu gigi angah terlebih dahulu.
     Selesai angah, giliran abang pula. Gigi abang masih kuat dan belum longgar sepenuhnya. Jadi, terpaksa dicucuk terlebih dahulu. Sebelum itu, doktor juga berbual dengannya.
     Alhamdulillah, segalanya berakhir dengan baik. Sewaktu singgah di Taman Teruntum, angah tidak mahu makan ayam kerana katanya doktor tidak membenarkan makan ayam dan mungkin …

Lapar

"Nak mandi kolam cepat, tak payah singgah kat mana-mana, dua jam setengah sampailah ke Kuala Terengganu," kata emak.
  "Ayah tak payah berhenti, nanti cepat sampai boleh mandi kolam," kata abang kepada ayah.
    Ya, abang begitu fokus kepada matlamatnya. Emak pula dapat 'membaca' matlamat angah. Anak-anak pantang nampak 'kedai  hijau'. Asal nampak 'kedai hijau' perut yang kenyang menjadi lapar. Macam-macam makanan ada di situ.
    Jadi, hari itu, ayah tidak berhenti di mana-mana kedai dan hanya berhenti setelah tangki minyak memberikan isyarat lapar. Pada masa itu, minyak belum naik harga menjadi seringgit sembilan puluh lima sen.
    'Kedai hijau' itu Petronas.