Translate

Monday, October 31, 2016

Bakar

Emak meminta ayah berhenti di mana-mana sahaja kedai makan di tepi jalan.     
       Ayah pula meminta emak membuka TripAdvisor atau apa-apa sahaja yang boleh membantu untuk mencari kedai makan dalam perjalanan balik ke Kuantan dari Noor Arfa.
      Anak-anak pula ada yang mengantuk dan mula banyak ragam. Beberapa kedai makan telah dilalui. Ayah tidak rasa mahu berhenti dan masih menyuruh emak mencari kedai makan dalam internet.
      Akhirnya, emak dan ayah mencapai kata sepakat. Ayah memarkir kereta di tepi jalan setelah melihat keadaan sebuah kedai yang agak menarik dengan anyaman buluh di beberapa bahagian, ditambah pula dengan pelanggan yang agak banyak.
     Juadahnya ringkas sahaja tetapi menarik selera. Satu hidangan berharga enam ringgit. Ada nasi putih, kuah singgang, ikan selayang bakar dua ekor dan ulam-ulaman serta sambal seperti budu dan tempoyak yang perlu diambil sendiri.
    Emak begitu berselera menikmati nasi dengan sambal tempoyak dan abang yang gemar makan ayam telah meminta ayah memesan lagi ikan selayang bakar untuk diratah.
     Singgahlah  makan di kedai Singgang Budu - Citarasa Anok Tranung  di Jalan Abdul Rahman Limbong, Kampung Gong Tok Nasek.
    

Sunday, October 30, 2016

Cahaya

Yang membuatkan anak-anak seronok di Sumai Hotel & Apartment ini ialah kolamnya di dalam bangunan. Hujan atau panas, anak-anak tetap boleh main air.
      Ada lagi yang menyeronokkan angah. Pagi-pagi lagi dia bangun dan dia sudah main petik-petik suis lampu. Lampu sudah cukup membuatkan anak-anak menjadi seronok dengan memulas suis atau memetiknya.Sebab itu apabila di rumah, lampu suluh berada di tempat yang paling tinggi.
     Anak-anak suka lampu atau cahaya yang sebenarnya?

Terbang

Dalam kereta semalam, abang tanya ayah tentang burung yang paling besar dan  boleh terbang. Mula-mula ayah jawab burung unta sebab ayah tidak fokus mendengar soalannya.
    Kemudian, dia menjawab sendiri dengan menyatakan bahawa burung helang ialah burung yang paling besar yang boleh terbang. Ayah tidak pasti tentang jawapannya itu atau dia mendapat jawapan itu sewaktu menonton ZooMoo. Pagi ini ayah mencari maklumat tersebut. Yang ayah jumpa ialah   Rajawali Andes (Andean Condor) ialah burung pemangsa terbesar yang boleh terbang
(http:www.apakabardunia.com).
      Yang ayah pasti, pasukan Helang Merah terbang tinggi malam tadi menjulang Piala Malaysia.

Lahir

Sekarang tengah hujan lebat. Emak memandu Alza. Ayah di belakang bersama dengan anak-anak.
        Apabila kereta berhenti di stesen minyak Shell Bukit Besi setelah meter minyak berkedip-kedip menunjukkan minyak semakin sedikit, abang mula menyanyi. Dia menyanyi setelah mendengar emak meminta duit  daripada ayah.
  
             Kenapa ayah ada duit
              Umi tak ada duit
               Sebab ayah lahir dulu

        Jadi, beruntunglah ayah-ayah yang lahir lebih awal kerana jika isteri atau anak-anak meminta, itu menunjukkan ayah lahir terlebih dahulu dan mungkin duit ayah lebih banyak sebab lahir lebih awal.

Saturday, October 29, 2016

Belajar

Adik fokus dengan tujuannya. Keseronokannya hanya tercapai apabila menyepahkan permainan yang dibina oleh abang atau meruntuhkannya. Itu keseronokan atau tahap pemikirannya dalam umur sebegini.
     Dia meruntuhkan apa-apa yang telah dibina dan menyepahkan apa-apa yang telah dikemas. Dia sedang belajar sebenarnya dan segelintir orang dewasa hanya nampak anak-anak suka menyepahkan barang. Ada masanya juga itu satu taktik yang baik untuk menarik perhatian ayah yang ralit dengan telefon pintar.
     Sewaktu abang bermain menyusun permainan di atas meja, berkali-kali dia naik ke atas meja dan berkali-kali emak mengangkatnya ke bawah kerana tujuan untuk bermain mereka berbeza. Abang tidak seronok adik berada di situ kerana tangannya menarik-narik permainan yang disusun abang.
    Apabila abang tidur, adik datang semula ke meja untuk memunggah permainan yang telah disusun oleh abang mengikut imaginasinya. Dia menumbangkan askar-askar dan mencabut kipas helikopter. Kemudian, dia mencuba memasang kembali kipas helikopter. Selepas tidak berjaya, barulah dia menyuruh ayah memasang kembali kipas helikopter. Banyak perkara yang sedang dipelajarinya.
     Anak-anak memang begitu. Mereka tidak mudah hilang fokus atau lebih tepat -fokus dengan matlamat. Walaupun emak memasang siaran kartun untuknya, itu tidak mengganggu fokusnya.
     Tujuannya tercapai setelah abang yang keletihan tertidur di atas sofa.

Tujuan

Apabila hari cuti, banyak aktiviti dilakukan anak-anak. Adik mahu bermain dengan abang tetapi abang tidak mahu bermain dengan adik.
   Kenapakah abang tidak mahu bermain dengan adik? Keseronokan abang adalah dengan menyusun permainan satu demi satu untuk menempatkan helikopter, kereta kebal dan lain-lain lagi. Keseronokan adik buat masa ini memunggah permainan yang telah disusun dan menyepahkan permainan itulah keseronokannya.
    Berbeza  tujuan itu ada masanya memisahkan kita dan ada masanya
menyatukan kita. Itulah sebahagian perjalanan dalam kehidupan.

Friday, October 28, 2016

Melekat

Apa-apa sahaja boleh  jadi permainan. Abang bermain dengan satu bekas bulat yang kecil.
      Dia meletakkan bekas itu pada mulutnya dan menyedutnya. Bekas itu melekat pada mulutnya. Ke hulu ke hilir dia berjalan di ruang tamu dalam keadaan yang begitu. Sekejap-sekejap dia datang menunjukkannya kepada ayah.
      Nanti ayah boleh ajar dia pula memuncungkan mulut dan mengepit pen atau pensel di tengah-tengah di antara mulut dan hidung. Sekarang agak sukar untuk ayah mengulangi perkara itu kerana misai ayah yang melebat.
     Cubalah mengulangi kenangan zaman sekolah dengan membuatnya sekarang. "Jangan tunggu sampai esok," kata Court Mammoth satu ketika dahulu.

Sepenuh Hati

Sudah agak lama ayah tidak menonton filem Tamil. Malam ini ayah menonton filem Lingaa.
    Kata Raja yang pernah tinggal di istana dan akhirnya dijumpai di sebuah kampung dan sedang memasak di dapur, "Kegembiraan terletak di hati. Tinggal di mana-mana pun tidak apa,  asalkan kita bahagia dan membantu orang lain, kita ialah Raja. Buat kerja apa-apa pun tidak penting, yang penting membuatnya dengan sepenuh hati."
    Malam ini, angah mengeluarkan satu demi satu buku yang tersusun rapi di rak. Kebiasaannya, ayahlah yang bakal menyusunnya kembali. Kebiasaannya juga, dia tidak akan menyusun kembali buku-buku walaupun disuruh.
    Malam ini nampaknya dia menyusun semula buku di rak dengan sepenuh hatinya.

Thursday, October 27, 2016

Merah

Ayah sedang menyiapkan kerja ayah. Di atas meja, dipenuhi kertas dan pen merah. Adik menghampiri ayah. Dia menunjukkan jarinya ke arah tempat meletak pensel dan pen.
     Ayah mengambil pensel berwarna biru dan menghulurkan kepadanya berserta dengan sehelai kertas putih. Dia melukis garisan yang banyak. Mungkin kita memanggilnya contengan tetapi itulah karya seni bagi anak kecil yang belum pun mencecah angka dua tahun.
      Dia bangun dan menunjukkan jarinya lagi ke arah bekas menyimpan pen dan pensel. Ayah mengambil pen merah yang sudah kehabisan dakwat yang memberi kepadanya. Dia duduk meniarap dan mula melukis. Walaupun tidak berdakwat, dia masih mahu pen yang sama seperti ayah, padahal pensel biru tadi masih boleh digunakan.
     Adik suka akan warna merah. Begitu juga ayah.

Biasakan

Menghasilkan robot dengan mencantum-cantumkan blok yang kecil merupakan keseronokan bagi abang. Itulah kepercayaannya. Sebab itulah apabila ke kedai, permainan itu menjadi pilihannya.
     Kepercayaan ayah pula berbeza. Ayah kurang berseronok dengan permainan seperti itu. Ayah terpaksa mencantumkan blok-blok kecil yang banyak dan biasanya ayah tidak cuba untuk memahami panduan mencantumkan blok-blok kecil itu  menjadi robot atau sebaliknya.
     Abang berkongsi kepercayaan dan keseronokan yang sama dengan emak dalam membina blok-blok kecil ini  menjadi robot. Mengikut kursus NLP yang ayah sertai, kepercayaan inilah yang akan menentukan tindakan kita.
    Kepercayaan kita tidak semestinya betul dan tidak semestinya salah. Sebab itu kata bijaksana, biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Kita perlu membiasakan membuat perkara yang betul dan membetulkan kepercayaan yang salah atau membuang kebiasaan yang telah menjadi rutin dalam hidup seharian kita.
     Berita baiknya, kepercayaan boleh diubah dan kepercayaan yang salah boleh dibuang dan perlu dibuang. Kita boleh membina atau memasukkan kepercayaan baru untuk jadi lebih baik dari semalam.
     Percaya atau tidak? Terpulanglah.

Sunday, October 23, 2016

Rambang

Rambang mata itu peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan keadaan di sini. Terlalu banyak pilihan dan terlalu ramai orang. Mungkin sebab hari ini hari minggu. Kereta pun diparkir di tingkat paling atas, atas bumbung.
     Kawalan ketat diperlukan dan anak-anak pun rambang mata kerana terlalu banyak permainan. Ayah sendiri pun lebih teruja melihat permainan apatah lagi melihat patung-patung kecil Dragon Ball. Ayah membesar pada zaman mutiara naga.
     Emak dan opah tak menang tangan membelek-belek dan mencuba pelbagai jenis tudung kecuali tudung saji. Corak yang pelbagai dan jenama yang pelbagai cukup mengujakan sesiapa sahaja yang bernama perempuan. Inilah GM Klang.
     Ayah dan atuk menjaga anak-anak yang berlari dan adik seperti biasa dia akan masih sempat untuk berbaring dalam keadaan orang ramai yang lalu-lalang dan ada kalanya berlaga bahu.
      Adiknya yang berbaring sambil minum susu di atas riba terjun untuk bergambar apabila ayah menghalakan telefon pintar kepada along dan ayah. Semuanya keletihan tetapi cukup gembira.

'Telorong'

Saat yang ditunggu-tunggu tatkala ke Kuala Lumpur ialah  melepasi Genting Sempah atau sewaktu balik dari Kuala Lumpur melalui terowong yang panjangnya 900 meter.
     Terowong ini ialah terowong lebuh raya pertama di Malaysia dan dibuka secara rasmi pada 1979( Wikipedia). Opah suka singgah makan di tempat rehat dan rawat Genting Sempah.Di sini banyak dijual buah berangan yang digoreng dengan kopi dan harumannya cukup mengasyikkan.
     Anak-anak menunggu detik melalui terowong ini dan angah dengan penuh keyakinan menyebut terowong sebagai 'telorong'.
    

Saturday, October 22, 2016

Selimut

Dalam kereta mesti ada selimut. Apabila waktu pagi, along dan angah akan mengerekot di dalam selimut.
   Apabila bercerita tentang selimut atau kain gebar, ayah teringat sewaktu datuk saudara yang berada di Pulau Pinang menelefon bapa saudara menggunakan loghat Utara.
             Kain selimut, kain gebar,
              Hang apa khabar?
     Dia menggunakan pantun dua kerat seperti mana Imuda dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
     Dalam kereta, apabila emak memandu, ayah dan anak- anak main khemah-khemah dengan menyangkutkan kain gebar pada kerusi belakang dan kerusi di hadapan. Ayah dan anak-anak berada di bawah kain gebar yang menjadi bumbung.
     Salah satu peribahasa selimut ialah malam selimut embun, siang bertudung awan yang bermaksud orang yang terlalu miskin ( tidak mempunyai apa-apa pun).

Tuesday, October 18, 2016

Kunyah

Malam tadi abang tidur awal. Pagi ini, dia memeluk sebekas baulu opah masuk ke dalam kereta. Dia tidur sebelum sempat makan.
    Selalunya waktu pagi jarang dia hendak makan. Apabila turun dari kereta, dia menggalas beg. Kemudian, separuh badannya masuk ke dalam kereta kembali dan tangannya membuka bekas kuih baulu serta mengambil  satu biji baulu lagi.
     Pagi ini juga ayah membaca tentang makan, tentang kunyahan secara sihat (Radhiah Syukri,Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia) dalam Dewan Masyarakat bulan Oktober.
    Dalam artikel ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw menyarankan makanan dikunyah sebanyak 40 kali bagi setiap suapan. Mengunyah secara perlahan-lahan dapat membantu usaha untuk mengekalkan berat badan yang seimbang. Apabila dikunyah dengan kadar yang lama, kita akan terdorong untuk mengurangkan jumlah makanan yang dimakan.
     Kajian membuktikan bahawa makanan yang dikunyah dua kali ganda daripada biasa mampu membuatkan kita berasa kenyang dengan lebih cepat. Kebiasaannya, otak mengambil masa 20 minit untuk memberikan isyarat kepada perut bahawa kita sudah kenyang.
      Bayangkan jika kita mengunyah dan menelan dengan laju, sudah pasti lebih banyak makanan yang diambil atau dimakan sebelum otak memberikan isyarat kenyang kepada perut.
Kesannya, risiko untuk kita menjadi gemuk dan mendapat penyakit kronik lebih tinggi kerana kalori yang diambil jauh lebih tinggi.
       Sebelum keluar kereta tadi, ayah juga sempat mencapai sebiji baulu air tangan opah tetapi ayah kunyah cepat-cepat kerana mahu cepat.
        

Monday, October 17, 2016

Beratur

Dari minggu lepas lagi, dia menyuruh ayah dan emak ke sekolahnya pada 'hari tua' ayah. Hari itu Hari Usahawan di sekolahnya.
    Kesungguhannya itu jelas kelihatan sehinggakan dia  mengajar emak membina dialog untuk memohon kebenaran ke sekolahnya pada hari tersebut.
    Pada hari kejadian, ayah ke sekolahnya. Ayah mencari dia dalam keriuhan dan kesesakan aktiviti yang pelbagai. Ada yang ralit bermain buih sabun yang begitu besar, ada yang mengusap-ngusap arnab dan yang makan serta mengusung makanan ada di mana-mana.
     Dia yang menemukan ayah terlebih dahulu. Kupon digunakan untuk membeli makanan. Selesai makan burger dan aiskrim, dia mahu bermain di dalam taman permainan pelampung yang besar seperti istana  dan yang beratur cukup ramai. Yang menunggu giliran juga ramai.
    Ayah meninggalkannya sewaktu dia beratur dan waktu balik di dalam kereta dia menyatakannya dia bahawa dia hanya mahu menceritakannya kepada emak setelah ayah menyoalnya tentang pagi tadi.
   Rupa-rupanya dia tidak larat menunggu terlalu lama dan berlalu meninggalkan tempat permainan pelambung yang besar seperti istana itu.
Tidak suka menunggu terlalu lama itu seperti 'mewarisi'perangai ayah.


Kapit

    Buah zaiton jeruk, timun jeruk ditambah dengan lada benggala, sayur-sayuran dan beberapa jenis sos serta daging nipis menyebabkan rasa roti yang mengapit bahan-bahan  tadi lebih unik. Ada rasa pedas, rasa masam dan manis yang bergaul di dalam mulut.
    Emak belanja ayah makan di 'Subway' ECM sempena 'hari tua' ayah. Apabila dibawa balik, abang dan angah berebut untuk makan. Angah mahu makan terlebih dahulu dan angah mengusik abang dengan menyatakan bahawa dia akan menghabiskannya jika abang terlalu lama mandi.
     Akhirnya, ayah yang menghabiskan roti yang ada isi ketam dan  buah zaiton hitam itu setelah ditinggalkan mereka berdua di atas meja. Hari ini memang 'hari makan' ayah.
    
    

Saturday, October 15, 2016

Beroga

Pagi ini ayah bangun dan mendengar ayam jantan berkokok sahut-menyahut. Itu salah satu keseronokan pagi di kampung.
      Pagi-pagi di kampung beginilah, kokokan ayam itu bagaikan loceng jam atau lagu pengejut mimpi yang telah ditetapkan dalam telefon pintar untuk bangun pagi-pagi.
      Dalam masyarakat Melayu, banyak peribahasa berkaitan ayam. Ayam beroga itu jika di pinggan emas sekalipun diberi makan, ke hutan juga perginya maksudnya orang dagang itu bagaimanapun senang di negeri orang, ingat juga akan negerinya sendiri (Kamus Dewan Edisi Keempat). Ayam beroga atau ayam burga itu ialah ayam hutan.
       Baru-baru ini pula ayah ke 'Box Depot' di sebelah kedai buku MBS dan Pasar Raya Giant, Kuantan. Di sini juga ayah jumpa 'ayam'. Sepuluh ringgit sehelai untuk baju tanpa kolar yang terpilih jenama 'Cap Ayam'.

Thursday, October 13, 2016

Kera

Kelihatan buah mempelam di atas rumput dan di atas jalan tar. Ini sudah tentu kerja monyet atau kera yang datang mencari makanan.
      Peribahasa kera dapat bunga atau bagai kera diberi kaca bermaksud mendapat (diberi) sesuatu yang tidak tahu (tidak dapat) dipergunakannya (Kamus Dewan Edisi Keempat).
     Ayah cakap kepada angah kita tak boleh jadi macam monyet dalam animasi Upin dan Ipin. Dia tamak dan menipu kura-kura.
    "Haah," jawabnya. "Macam cerita kera dengan penyu," sambungnya lagi.
      "Tengok  di mana?," tanya ayah. "Mualimah pasang," katanya.
Kera tu makan makanan orang lain, tak baik," terangnya lagi.
        Pagi ini angah segar. Kebiasaannya, dia mengerekot di dalam gebar.

Tuesday, October 11, 2016

Rabuk

Anak-anak ada masanya seperti rabuk dengan api yang bermaksud tidak boleh dekat, tentu bergaduh (Koleksi Terindah Peribahasa Melayu, Ainon Mohd. & Abdullah Hassan).
      Rabuk pula dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud bulu halus-halus yang terdapat pada pokok kabung (untuk menghidupkan api dengan pemantik).
     Abang, angah dan adik sedang melalui peringkat ini kerana ada-ada sahaja ketegangan yang berlaku apabila bermain.  
    Abang membina robot dengan mencantumkan permainan seperti Lego dan angah serta adik membawa lari robot. Secara tidak sengaja insiden itu menjadi lucu apabila ayah mencabut kaki robot dan memberikan bahagian lain kepada abang.
      Angah menyatakan bahawa robot abang tidak ada kaki. Abang pula membalas dengan menyatakan bahawa banyak lagi kaki robot di dalam bilik.
       Pada masa yang lain, tolak-menolak berlaku apabila angah dan abang berebut untuk bergambar di hadapan arnab yang besar yang berada di sebalik cermin.

Kepak

         Dari mana punai melayang,
               Dari sawah turun ke kali;
        Dari mana datangnya sayang,
               Dari mata turun ke hati.

Mata itu satu anugerah yang cukup berharga.  Tanpa cermin mata atau kaca mata, ayah masih boleh melihat dan yang sedikit jauh agak kabur. Silau juga mengganggu ayah jika tidak berkaca mata.
     Dua hari ayah kehilangan kaca mata. Sama ada ayah salah letak atau tidak ingat tempat letaknya, atau adik yang cukup berminat dengan kaca mata ayah bermain dengan kaca mata itu.
    Semalam ayah menjumpai dan ternyata ayah yang salah letak. Malam tadi pula ketika bermain dengan adik, adik merabut kaca mata dari muka ayah. Ada ketikanya dia tersenyum mengenakan kaca mata di mukanya.
     Dia memulangkan semula kaca mata kepada ayah. Ternyata sudah berbeza bingkainya. Tempat sangkut telinga sebelah kanan hampir putus dikepaknya.
      Dia  juga seperti abang-abang sewaktu sebayanya, cukup suka kaca mata dan ini bukanlah kali pertama kaca mata ayah jadi begini.

Sunday, October 9, 2016

Poket Ajaib

Zaman sekolah dahulu, antara cerita kartun kegemaran ayah ialah Doraemon.
Poket ajaib yang terletak di bahagian perutnya mempunyai pelbagai peralatan yang di luar jangkaan.
     Setiap kali ayah membasuh atau sewaktu menyidai seluar sekolah abang, selalunya ada sesuatu di dalam poket seluarnya. Duit lebihan belanja selalu ditemui, sama ada syiling atau duit kertas. Kadang-kadang ada pemadam yang mempunyai pelbagai gambar dan ada masanya tanah liat yang pelbagai warna.
    Semalam ayah menemui 'lampu isyarat' di dalam poket seluarnya. Rantai kunci berbentuk lampu isyarat itu berkedip-kedip menyala apabila ditarik suis kecil padanya.
    Adik sengih tak habis-habis memegang rantai kunci yang berlampu itu.

Saturday, October 8, 2016

Tenaga

Sebelum sampai ke rumah, ayah berhenti di gerai buahan-buahan di tepi jalan  sebelum Kuipsas.
   Ayah membeli sesisir pisang berangan dan air kelapa. Kemudian, kami singgah di stesen minyak Shell. Ayah membeli surat khabar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian, Koko Krunch dan Honey Star serta susu strawberi HL Marigold.
   Sampai di rumah, anak-anak mandi kolam. Ayah makan pisang sambil membaca surat khabar di luar rumah. Adik pun mendekati ayah dan meminta pisang. Mula-mula ayah mengoyak kulit pisang tetapi kemudian  mahu dilakukannya sendiri.
    Main air menggunakan banyak tenaga dan sudah tentu perut pun lapar. Menurut pembacaan ayah,  sebab itu pemain bola tidak dibenarkan berenang ketika perlawanan bola semakin hampir kerana prestasi mereka akan terganggu.
     Pisang dapat membekalkan tenaga dan mudah dimakan oleh anak-anak. Pisang yang sesisir hanya tinggal tiga biji setelah kami berempat 'kerjakan'.

Ketuk

Ayah ambil adik pukul enam setengah petang. Waktu maghrib, abang dan angah masuk bilik air.
     Ayah tidak membenarkan adik menyertai mereka dengan menutup pintu. Adik sudah mandi di rumah pengasuhnya. Adik menangis semakin kuat sambil mengetuk-ngetuk pintu.
     Ayah ke dapur membuat susu. Dicampaknya botol susu. Abang dan angah mengelap-ngelap badan mereka dengan tuala. Mereka sudah siap mandi. Adik masih menangis dan wan cakap biarlah dia mandi untuk melepaskan 'wap' adik.
    Ayah membawanya mandi. Secara automatik dia berhenti menangis. Baru ayah sedar itulah keseronokan anak-anak. Mandi bersama-sama dan bermain air itu satu keseronokan dan itulah kerjasama yang menyeronokkan. Itulah didikan awal untuk ditunjukkan kepada anak-anak bahawa kerjasama itu sebenarnya amat menyeronokkan .
    Ayah dikejutkan lagi sekali dengan ketukan yang bertalu pada pintu bilik air. Ayah membuka pintu dan adik mengekek keseronokan apabila air paip terpercik mengenai mukanya.
    Main air itu seronok dan dapat bermain air bersama-sama lagi seronok.

Friday, October 7, 2016

Sabtu

Hari ini hari Sabtu. Hari ini Hari Sukan Negara. Pagi-pagi lagi emak sudah bergerak mengiringi para pelajar ke Melaka. Pagi ini juga ayah ada program solat hajat, majlis Titian Siswa dan ayah akan mengiringi para pelajar untuk membuat pementasan teater di Taman Budaya, Jalan Teluk Sisek menghala ke Teluk Cempedak.
    Adik menangis pagi ini tercegat di hadapan pintu bilik air. Lampu bilik air menyala dan pintu bertutup. Dia menyangka bahawa emak di dalam bilik air. Dia tidak tahu emak sudah keluar awal pagi.
     Ayah menghantarnya ke rumah pengasuh yang juga dipanggilnya 'umi'. Pagi tadi juga dia menyebut 'umi' diselangi tangis. Selalunya emak dipanggilnya 'ayah'. Emak tidak ada di rumah baru mahu dipanggilnya 'umi'.
Along dan angah dihantar ayah ke rumah wan dan atuk. Jikalau ke rumah atuk dan wan, adik suka sangat main tangga dan tidak hairanlah dahinya berparut kerana jatuh tangga.
    Sampai di tempat kerja, kereta kawan ayah, Encik S pancit tanpa disedarinya. Sewaktu di dewan pula, ayah membuka telefon pintar dan emak pula menyatakan bahawa tayar bas yang dinaiki pancit sebelum sampai Muadzam. Alhamdulillah, semuanya selamat.
     Emak sudah sampai Melaka,  ayah bersama dengan pelajar-pelajar kelab teater sudah di pentas utama Taman Budaya. Pementasan bermula pukul 2 petang.

Pegang

   Setelah abang makan nasi putih dan telur masin bercampur toyu, dia menyedut air jagung susu.
    Macam biasa, ayah yang perlu menghabiskan airnya. Kemudian, kami ke bilik kerja. Ayah menyarungkan selipar selepas mencabut kasut dan stoking. Ayah ke tandas untuk berwuduk dan menyuruh abang menukar kasut yang dipakai dengan selipar supaya mudah untuk membasuh kaki. Minggu sebelumnya kasutnya habis basah.
    Abang mencapai kunci kereta. Sebentar kemudian, abang muncul dengan memegang selipar dan masih berkasut. Ayah pun tersengih. Sama ada dia tidak faham cakap ayah atau ayah salah bagi arahan.
    Sepatutnya abang terus mencabut kasut dan meninggalkan kasut di dalam kereta dan berselipar. Selesai dia berwuduk, ayah dan dia melangkah ke kereta semula.

Thursday, October 6, 2016

Lampu

Mualimah menyuruh angah dan kawan - kawannya membawa berus gigi dan kole. Malam itu emak sudah memasukkan barang-barang itu ke dalam begnya.
    Keesokannya, waktu balik dari sekolah dia mengadu tiada kole di dalam begnya. Abang menyelongkar beg dan menunjukkan kole itu. Kemudian, dia cakap kole kawan-kawannya lebih besar daripada kole dia. Ayah pun lupa untuk bertanya cerita yang sebenarnya.
    Pagi tadi pun, dia tidak mahu memberus gigi. Apabila dia balik dengan emak, dia cakap gigi emak macam gigi Transformers dan ada lampu. Sebenarnya, emak memakai pendakap gigi. Pendakap gigi yang bersinar itu kelihatan bercahaya seperti lampu baginya.
    Esok pagi, sesi pujuk-memujuk perlu diteruskan supaya dia memberus gigi rongaknya.

Lampu

Mualimah menyuruh angah dan kawan - kawannya membawa berus gigi dan kole. Malam itu emak sudah memasukkan barang-barang itu ke dalam begnya.
    Keesokannya, waktu balik dari sekolah dia mengadu tiada kole di dalam begnya. Abang menyelongkar beg dan menunjukkan kole itu. Kemudian, dia cakap kole kawan-kawannya lebih besar daripada kole dia. Ayah pun lupa untuk bertanya cerita yang sebenarnya.
    Pagi tadi pun, dia tidak mahu memberus gigi. Apabila dia balik dengan emak, dia cakap gigi emak macam gigi Transformers dan ada lampu. Sebenarnya, emak memakai pendakap gigi. Pendakap gigi yang bersinar itu kelihatan bercahaya seperti lampu baginya.
    Esok pagi, sesi pujuk-memujuk perlu diteruskan supaya dia memberus gigi rongaknya.

Wednesday, October 5, 2016

Topi

Hujan mulai turun lebat. Angah cakap dia mahu buang air kecil. Ayah cakap tunggu sampai rumah terlebih dahulu.      
      Hujan semakin lebat, kenderaan semakin perlahan. Jalan semakin licin.  Angah semakin tidak dapat bertahan. Ayah cakap cuba bertahan tetapi dia cakap dia sudah tidak tahan.
       Ayah memperlahankan kereta dalam hujan yang semakin melebat dan akhirnya berhenti di pinggiran jalan. Angah  yang berkopiah melepaskan hajatnya dalam kehujanan. Ayah sedikit kebasahan menemaninya dan mujur ada topi emak menutup kepala ayah.
        Sampai di rumah, ayah  yang masih memakai topi emak bergegas membuka pintu pagar luar. Awan masih lebat menangis.

Tuesday, October 4, 2016

Daun

Sudah agak lama ayah tidak membeli makanan kucing. Jadi, sewaktu ke kedai runcit, ayah teringat dan terus membeli makanan kucing.
    Sampai sahaja di rumah, ayah pun mengambil bekas makanan kucing. Belum sempat ayah  menuang penuh makanan di dalam bekas, empat ekor kucing berlari mendekati ayah. Kucing-kucing ini bagaikan mempunyai deria keenam. Teringat ayah filem The Secret Life of  Pets yang ditonton ayah, emak dan anak-anak. Binatang juga seperti manusia perlu disayangi.
    Dalam peribahasa Melayu, terdapat satu peribahasa yang berbunyi bagai kucing main daun. Perihal kehebatan rupa dll seseorang pahlawan itulah maksudnya di dalam kamus. Sememangnya mencuit hati apabila melihat kelincahan kucing bermain dengan daun.
      Mahu mengurangkan tekanan? Cubalah bermain dengan kucing. Mahu bermain dengan daun? Silakan.

Lampin

Untuk memakaikan lampin pakai buang ada kalanya cukup mudah, ada kalanya adik melarikan diri atau menendang-nendang kakinya di atas angin sewaktu dibaringkan.
    Ayah menyanyikan lagu 'satu labah-labah cuba panjat perigi' yang selalu dinyanyikan emak dan adik pun mengayun-ayunkan tangan. Lampin  pun berjaya dipakaikan. Ada masanya lagu tidak berkesan.
    Emak menghulurkan patung 'Gopal' dalam cerita Boboiboy dan menyuruh ayah menggigitnya. Ayah terpinga-pinga. Tangan ayah masih cuba memegang adik yang meronta-ronta. Ayah mencapai 'Gopal' dan menggigitnya. 'Gopal' tergantung pada mulut ayah dan adik berhenti meronta-ronta dan memandang ayah. Ayah lekas-lekas memakaikannya lampin.
     Esok entah apa-apa pula yang perlu digigit ayah untuk menarik perhatian adik.
    

Monday, October 3, 2016

Terjun

Ayah duduk di kerusi sambil menikmati secangkir kopi. Anak-anak ayah ralit bermain air. Bola, cawan plastik, topeng ultraman dan itik-itik kecil di bawa ke dalam kolam.
    Abang-abangnya naik ke atas kerusi kayu dan terjun ke dalam kolam. Air terpercik keluar dari kolam. Mujur adik tidak ikut serta. Abang berbaring di dalam kolam dan adik pun buat perkara yang sama. Along dan angah main lawan-lawan di dalam air. Adik hanya memerhati. Adik mencampak itik-itik yang di bawanya ke bawah pokok kelapa. Ada masanya dia mengutip kembali bola yang dicampaknya ke luar.
     Sejurus selepas itu, adik keluar dari kolam dan datang dekat ayah. Tidak semena-mena dia memancutkan air seninya. Nasib baik tidak kena seluar ayah. Setelah ayah membasuh adik dan membersihkan lantai, adik masuk ke  dalam rumah bersama dengan  ayah. Adik berbaring di atas sofa sambil menyedut masuk susu daripada botolnya.
    Tidak lama kemudian, dia meninggalkan botolnya yang nol dan kembali ke kolam.Tiba-tiba, abang meninggikan suara memanggil ayah. Ayah meluru ke luar. Abang berdiri di atas kerusi. Adik dan angah di dalam kolam. Abang cakap adik telah melepaskan air seninya ke dalam kolam. Air di dalam kolam terpaksa dikosongkan dan diisi dengan air yang baharu.
     Masing-masing  masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti main air. Selesai bermain air, kolam dikosongkan dan disangkut pada ampaian supaya kering.

Saturday, October 1, 2016

Acuan

Hari ini 1 Muharam1438H. Hijrah dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermakna perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Orang-orang yang berhijrah dipanggil pehijrah.
    Hijrah untuk menjadi lebih baik antara perkara penting yang perlu ada dalam diri kita. Tambah-tambah orang yang berumur macam ayah. Segala perlakuan dan percakapan ayah diperhati oleh anak-anak dan sebahagian besar akan mempengaruhi mereka.
    Sebab itu dalam peribahasa Melayu ada peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya yang bermaksud anak itu mengikut baka ayahnya. Begitu juga peribahasa bapa borek anak rintik.    
     Mengikut pembacaan ayah,  peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya lebih kepada mengikut perangai yang baik dan peribahasa bapa borek anak rintik lebih kepada mengikut perangai yang kurang baik.

      Satu Muharam detik permulaan
       Perkiraan tahun Islam hijrah
    

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...