Translate

Sunday, July 31, 2016

Penghujung

Meriah. Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan di rumah terbuka raya Aidilfitri. Aidilfitri sudah berada di penghujung.
    Sewaktu Aidilfitri, kita pergi dari satu rumah ke satu beraya. Kita dapat berjumpa saudara mara dan rakan taulan. Pelbagai cerita terkini atau kenangan lampau kembali dikisahkan semula. Kemeriahan itulah yang kita nanti-nantikan di samping pelbagai juadah tradisional dan juadah moden.
    Apabila ke rumah terbuka anak-anak ayah cukup suka merasa pelbagai makanan. Ayah dan emak pula bergilir makan kerana menjaga adik dan dalam masa yang sama, berborak-borak dengan teman lama atau yang baharu ditemui. Apa-apa pun, ayah dan emak berterima kasih kepada rakan-rakan yang menjemput kami.
       Emak pasti mengingati penghujung Syawal ini kerana dia beraya dengan tangan yang masih ada 'drip' ( ayah tidak tahu istilah sebenar -jarum yang disuntik berhampiran  pergelangan tangan untuk memasukkan air) dan ayah perlu menghantarnya ke hospital kembali.
      Anak-anak pula apabila balik dari rumah terbuka, mereka cukup-cukup keletihan.

Saturday, July 30, 2016

'Babai'

Adik belajar perkara baharu setiap hari. Itulah yang seharusnya berlaku kepada diri ayah dan diri semua orang, iaitu berkembang dari sehari ke sehari dengan belajar perkara-perkara baharu dan menjadi lebih baik.
    Dia mula pandai menyebut 'babai'. Sebelum ini 'boboi'. Kenal pula gambar 'boboiboy'. 'Ayah' dan 'abang' selalu keluar daripada mulut mungilnya.
     Emak tertunggu-tunggu dia menyebut 'umi' dengan kerap kali kerana hanya sesekali perkataan itu keluar daripada bibirnya.
     Sekarang ini banyak perkara yang dipelajari  dia  dan waktu ini dia menunjukkan botol susu yang sudah nol. Ayah harus membancuh susu sekali lagi.

'Sizzling'

Jumaat dan Sabtu katanya agak sibuk kerana banyak kenderaan yang dihantar untuk diservis. Orang Kemaman pun datang ke sini. Sementara menunggu kereta untuk diservis, mereka boleh berjalan  di sekitar Kuantan. Jumaat Terengganu cuti.
   Ayah pernah berjumpa satu keluarga dari Terengganu. Mereka   datang ke sini semata-mata  untuk menikmati  mi 'sizzling'. Katanya mi 'sizzling' di Giant Kuantan sangat lazat. Ayah sendiri suka makan mi 'sizzling'. Sekarang along dan angah pun suka mi 'sizzling'. Sementara emak menjaga adik, kedua-duanya bermain di tempat permainan kanak-kanak yang disediakan. Ayah pula beratur panjang untuk membeli  mi 'sizzling'.
    Makan bersama dengan keluarga atau rakan-rakan satu aktiviti yang menarik. Aktiviti ini bertambah menarik jika kita dapat melupakan seketika telefon pintar kita sewaktu bersama-sama. Perkara ini juga yang ayah cuba untuk buat dan banyak kali juga tertewas. Pada pendapat ayah, inilah antara cabaran terbesar pada zaman sekarang yang menghalang komunikasi dua hala berjalan dengan lancar.
     Apa-apapun, diulang  sekali lagi, makan bersama-sama satu aktiviti yang menarik bagi ayah, apatah lagi sewaktu mi 'sizzling' masih berasap dan bertepatanlah dengan namanya itu.

Friday, July 29, 2016

Terima kasih

Lega. Lega ayah apabila semua anak tidur. Ayah sambung menulis.Banyak pula idea malam ini. Siap mengarang ayah pun tidur. Lebih kurang pukul tiga pagi adik menangis. Ayah tepuk-tepuk dia tetap menangis. Kemudian, adik diangkat ayah ke dalam buaian. Juga tetap menangis. Adik dibaringkan ke atas tilam kembali dan masih menangis.         Dia bangun lalu ke bilik mencari emak. Tangisannya masih kedengaran.  Ayah membiarkannya di situ. Tangisannya masih berpanjangan.   Ayah melangkah ke bilik dan menggendongnya ke ruang tamu.
      Ayah mula mati kutu. Ayah pun mencapai minyak gamat. Ayah menyapu di perut, di belakang dan di belakang kakinya. Masih tidak berjaya mendiamkannya. Ayah mendukungnya dan bergerak ke kiri dan bergerak kanan. Tangan ayah mula berasa lenguh. Ayah duduk di atas sofa. Tangisannya kuat semula. Ayah berdiri lagi dan bergoyang ke kiri ke kanan.       Akhirnya, tangisan semakin lemah. Ayah duduk dan kemudian baring. Adik pusing ke kiri dan ke kanan. Dia mengambil  botol susu dan menghisap susu kembali. Dia pun tidur.
Begitulah emak setiap malam ditemani tangisan anak dan dengkuran ayah sebelum ini.
Hanya satu malam, ayah hampir mengangkat bendera putih.

Terima kasih opah yang menjaga ayah.
Terima kasih emak yang menjaga anak-anak.

Thursday, July 28, 2016

Cinta

Cinta yang paling agung cinta kepada Allah swt. Kerana cinta Shah Jahan terhadap Mumtaz Mahal terciptanya Taj Mahal yang mengambil masa 22 tahun untuk disiapkan.
    Kerana cinta Tuan F terhadap inovasi terciptanya papan simen daripada pelepah sawit dan banyak lagi. Bayangkan bangunan yang bagaimanakah yang akan terbina melalui produk-produk mesra alam ciptaan Tuan F dan anak-anak didiknya jika produk-produk ini dikomersialkan?
     Ayah belum dapat membayangkan lagi bentuk bangunan itu. Ayah tidak berjaya membayangkan walaupun berkali-kali ayah merenung gambar yang dihantar Tuan F (gambar di bawah). Akhirnya, ayah bangun dari tempat duduk lalu membuka radio. Suci Dalam Debu memang digemari ayah.

       "kerana cinta lautan berapi
            pasti akan kurenang jua"

Hospital

Emak pengsan. Emak dihantar kawan-kawannya ke hospital. Ayah cukup menghargai pertolongan mereka. Ayah bergegas ke hospital. Sebelum itu, ayah mengambil along dan angah.Alhamdulillah, sampai di sana emak sudah sedar.
    Kemudian, ayah mengambil adik dan kami berempat pulang ke rumah. Dalam perjalanan, ada yang buat perangai, ayah mula hilang sabar.
     Sampai di rumah, angah dimandikan ayah. Selepas itu, ayah perhatikan satu persatu anak ayah. Along khusyuk membuat kerja matematik; angah sudah pakai seluar dan baju. Angah menyarungkan badannya dengan baju sejuk setelah memakai baju. Baju sejuk itu sentiasa dipakainya tanpa mengira cuaca.
    Adik di mana? Ayah jumpa adik di atas katil di dalam bilik sedang menghisap botol. Mungkin ayah yang kurang memahami mereka dan nampaknya mereka yang lebih memahami ayah.
    Malamnya,  mereka bersiap sedia untuk melawat emak di hospital. Bersiap sedia dengan memakai topeng sampai ke hospital.

Semoga sayang cepat sembuh.

Wednesday, July 27, 2016

Pantas

Tuan F ke tempat kerja naik motor sahaja. Namun begitu, kawan ayah yang seorang  ini kerap naik kenderaan bersayap kerana itu sebahagian daripada kerjanya. Kata orang tua-tua, jauh berjalan, luas pengalaman.
      Ada masanya, ayah akan singgah di tempat duduknya melihat kejayaan-kejayaan beliau  (keratan akhbar) yang ditampal pada papan di hadapan tempat duduknya.
   Minat mendorong seseorang itu membuat kerja  dengan pantas  atau secepat yang mungkin. Minat akan mempempengaruhi kerja yang kita kerjakan dan kerja dilakukan tanpa rasa jemu.
     Ayah terjumpa kata-kata ini- Apabila kerja itu menyeronokkan, hidup ini gembira! Jika kerja itu tugas, hidup ini ialah perhambaan!-Maxim Qorky.

    
    

Sejuk

Hujan. Di dalam kereta ayah tiada payung. Ayah memarkir agak jauh. Hujan tidaklah lebat sangat. Ayah berjalan meredah hujan mengambil anak ayah dari sekolah.
   Rasanya tidak salah ayah membiarkan ayah dan anak ayah dibasahi hujan. Biarlah anak ayah rasa ditimpa air hujan. Biarlah anak ayah rasa sejuknya air hujan.
Rupanya-rupanya,  anak ayah tidak kisah langsung  walaupun hujan. Dia tetap menarik tangan ke arah penjual aiskrim bermotor. Tetap mahu ditambah kesejukannya dengan menikmati aiskrim.
Ayah menikmati sejuk hujan.
Anak ayah menikmati sejuk aiskrim dalam sejuk hujan.

Tuesday, July 26, 2016

Matlamat

Ayah jumpa kata-kata ini dalam 'Instagram' - ' if the plan doesn't work, change the plan not the goal'.
   Berurusan dengan anak-anak ayah memang perlu mempraktikkan kata-kata ini. Matlamat atau sasaran apabila menguruskan anak -anak setiap hari kebanyakannya matlamat jangka pendek.
     Untuk menyuruh angah menggosok gigi pun ayah kerap kali gagal. Untuk memakaikan baju pun ada masanya ayah tidak berjaya. Sudah tentu ayah kena belajar dengan pakar memujuk, iaitu emak. Jadi, setiap hari ayah perlu belajar pelbagai kaedah  atau teknik baharu  untuk memastikan matlamat dalam menguruskan anak-anak tercapai.

Belajar,terus belajar dan jangan putus asa!

Sebelah Kek

  Kedua-duanya menjilat aiskrim seperti biasa apabila balik dari sekolah. Masing-masing bertukar cerita.
    Along suka nombor. Sama macam emaknya. Abangnya bercerita bahawa jika dia tidak hadir ke sekolah selama 50 hari, dia akan dibuang sekolah ( ayah pun tidak pasti sama ada dia faham atau tidak istilah 'buang sekolah') dan kena pindah sekolah.
  "Adam pun tak datang sekolah," angah pula menyambung.
    "50 hari tu macam satu kek yang dibelah dua. Sebelah kek tu 50. Tapi abang tak sampai  pun sebelah kek lagi," kata abang.
    Amboi, abangnya guna analogi! Ayah pun tertanya-tanya sama ada cikgu dia bercakap begitu atau  dia yang mencipta analogi itu.
     Ayah pun mengusik, "Habis tu siapa yang selalu ikut ayah pagi-pagi pergi kerja tu? Nanti kalau sampai sebelah kek macam mana?
     "Ayah janganlah macam tu, tak sampai sebelah kek lagi,"balas along.
     Ayah hanya tergelak. Sekurang-kurangnya dia ingat pesanan cikgu.

    

Monday, July 25, 2016

Salmon

Kebiasaannya, ayah tengok ikan salmon dalam 'National Geographic'. Beruang pun kebingungan kerana ikan salmon  terlalu banyak dan sudah pasti yang tidak bernasib baik menjadi hidangannya.
   Emak suka makan salmon bakar. Emak suka masak ikan salmon bakar yang diperap terlebih dahulu. Ayah hanya makan ikan salmon yang ditaruh sos salad 'thousand island'.  Apabila salmon ditambah  dengan perahan lemon,  cukup  menaikkan selera,  yang  tinggal  hanyalah kulit dan tulang.
    Along pun suka juga salmon bakar. Setelah kekenyangan, salmonnya masih berbaki di dalam pinggan. Emak menyuruh along meletakkan pinggan di dapur. Kemudian ayah ke dapur dan mendapati pinggan along yang masih berbaki ikan salmonnya sudah berada di dalam singki. Ikannya sudah 'berenang' di dalam pinggan yang dipenuhi air.
    Anak-anak seperti along yang berumur 7 tahun sememangnya jujur kata emak sambil tersengih. Nampaknya anak-anak sebesar ini perlu diberikan arahan yang jelas dan teratur supaya makanan yang masih berbaki atau yang masih boleh dimakan diletakkan di atas meja di dapur. Jika tidak, carilah makanan itu di dalam singki atau di dalam tong sampah.

'Memancing'

Emak selalu pesan kepada ayah supaya mencari jalan agar anak-anak kurang bermain permainan video. 
     Jadi, ayah pun cakap kepada anak-anak hanya boleh main ketika  di dalam kereta sewaktu pergi  ke sekolah (biasanya mereka tidur) dan waktu balik  dari sekolah sebelum sampai di rumah.
     Kebiasaannya, along yang memonopoli permainan  video sewaktu di dalam kereta dan adik hanya memerhati. Apabila sampai di rumah, adik pula merengek kerana katanya yang bermain hanya abang dan bukannya dia. Kadang-kadang janji itu terpaksa dilanggar untuk memastikan adiknya juga dapat bermain dan ada masanya perlu cari aktiviti lain.
    Inilah aktiviti lain waktu cuti untuk melekakan mereka daripada terus mahu bermain permainan video. Ayah perlu bersama dengan mereka dan emak boleh mengemas rumah.

Aktiviti 'memancing' kucing...

Sunday, July 24, 2016

Tiru

Kata pakar seperti Dr. Azizan Osman dan Brian Tracy, untuk berjaya,  kita mesti belajar dengan pakar. Kejayaan juga boleh ditiru iaitu dengan meniru orang lain yang sudah berjaya dalam sesuatu bidang. Itulah yang dibaca ayah.
    Bagi anak -anak, yang ditiru sudah tentu emak ayah dan ahli keluarga. Perangai emak ayah  mempengaruhi hidup anak-anak.
  Anak-anak ayah sentiasa memerhati segala-galanya tentang ayah. Begitu juga anak-anak orang lain. Guru yang pertama ialah ayah dan emak.
    Sebab itu apabila ayah pergi membuang sampah, adik mengikut  ayah dari belakang. Ayah mengangkut sampah, dia membawa tong sampah.

Saturday, July 23, 2016

Cepat Melupakan

Seorang mahu tengok cerita ultraman lawan raksasa. Seorang lagi mahu tengok dinosaur. Mereka jarang ada kata sepakat setiap kali menonton cerita. Masing-masing tidak mahu mengalah.
    Akhirnya ayah memanggil adik untuk melihat kucing yang sedang galak berkejar-kejaran dan bergurau-gurauan. Perhatian dapat dialihkan daripada mereka terus tidak mahu mengalah.
   Kucing berlari setelah dikejar lalu memanjat pokok kelapa. Seekor anak kucing bermain dengan kucing yang agak besar di atas pelepah palma ekor musang yang gugur ke tanah.
   Kemudian, setelah hampir 10 minit adik masuk ke dalam rumah kembali menonton cerita dinosaur bersama dengan abang. Biskut di tangan disuap ke mulut.
    Begitulah anak-anak selalunya. Mereka cepat melupakan apa-apa yang telah  berlaku dan kembali bersama-sama. Mungkin sebentar lagi kembali berebut robot dan kemudian bermain bersama-sama.

Mereka cepat melupakan...

Tolong

Dia sedang menonton Mighty Joe Young. Adiknya menangis secara tiba-tiba dan dia berlari menghenjut buaian adiknya. Itu perkara yang cukup baik buatnya yang hampir berumur 4 tahun.
     Dia kembali menonton Mighty Joe Young. Gorila itu sedang memanjat dan cuba menolong seorang budak yang terperangkap dalam alat permainan besar seperti 'Eye of Melaka'.
    Menolong sesuatu yang penting dalam kehidupan kita. Ayah harap anak-anak dapat belajar sesuatu yang baru pada setiap hari.
     Tiba-tiba, dia datang kepada ayah yang sedang membaca surat khabar dan menyebut 'tolong'. Dia minta ayah menekan  'remote control' kerana skrin televisyen menjadi biru setelah dia tersalah tekan.

Nampaknya 'remote control' perlu disorokkan lagi.

Guru

Ayah duduk di sofa. Adik sedang bermain. Ayah tidak lagi meniarap setelah digigit adik. Anak-anak ayah ralit menonton 'The Good Dinasour'.
   Setelah dinosour itu jatuh dan dihanyutkan air, banyak cabaran dan kesusahan yang dilalui. Kesusahan itu salah seorang guru dalam kehidupan kita. Anak-anak ayah dapat lihat cabaran yang terpaksa dilalui dinosour itu bersama dengan budak kecil itu.
   Anak-anak ayah akan diuji dengan kesusahan kerana kesusahan itu akan mematangkan dan mendewasakan anak-anak ayah. Kesusahan akan membuatkan anak-anak  lebih menghargai kesenangan. Jikalau susah, anak-anak harus bersyukur kerana ada yang lebih susah daripada anak-anak.
    Ayah  tidak menolong dan hanya membiarkan anak ayah menolak sofa untuk mencari mainan di bawah sofa. "Tengok dinosour tu, ayah dia dah mati dan dia terpaksa buat sendiri".
    Cabaran yang kecil baru bermula untuk anak ayah.

Minyak

Jari  ayah kena minyak panas. Sakitnya boleh tahan. Ayah tak tahu sangat fasal perubatan. Mula-mula ayah buka paip, biar air membasahi jari-jari ayah. Setelah beberapa minit, sakitnya masih berasa.
    Kemudian , ayah tuang kicap (masa kecil biasa buat macam tu)di atas jari ayah. Panasnya tetap berterusan. Ayah membasuh tangan ayah. Ayah mencapai minyak gamat berhampiran tingkap. Ayah melumurkan tangan ayah dengan minyak gamat.
     Ayah ke depan, meniarap di atas sofa. Anak ayah mahu makan tempura. Ayah cakap tangan masih sakit. Tiba-tiba ayah menjerit. Adik yang memanjat di atas belakang ayah telah menggigit ayah yang hanya berpelikat. Hilang rasa sakit pada jari ayah. Rasa sakit sudah lari ke tempat yang digigit adik.
    Mungkin betul yang dibaca ayah. Sakit digigit adik lebih sakit daripada sakit kena minyak panas pada waktu itu. Fokus ayah sudah lari kepada sakit digigit.
    Ayah bangkit, kemudian ke dapur kembali menyalakan api. Ayah cuba untuk mengalihkan rasa sakit dengan buat kerja kembali.
   Sekarang? Kulit jari ayah sudah menggelembung. Emak cakap lain kali kalau terkena minyak panas, sapu dengan marjerin segera. Ayah tengah menaip. Buat perkara yang diminati ayah. Ayah dapat melupakan sakit yang sesekejap terasa.
   

Friday, July 22, 2016

Nasi lemak

Ayah singgah di RNR Temerloh. Ayah jumpa kopi 'gedabak'. Minta perisa hazelnut. RM 5. Atuk pergi cari nasi lemak. Singgah di sini, perkara wajib yang dibuat, 'tapau' atau makan nasi lemak. Kopi wajib ada di dalam kereta apabila berjalan jauh. Rasa segar dan ceria kembali. Kalau kantuk menyerang tanpa henti,ayah berhenti  di tepi, suruh emak bawa. Adik tidur, ayah tumpang sekaki  sampai berdengkur.

Main

Kata pakar, pada waktu malam sebelum tidur, rancang kerja dan senaraikan perkara yang perlu diselesaikan pada esok hari. Apabila kita tidur, minda separa sedar kita akan bekerja sepanjang malam sewaktu kita tidur. Insya-Allah kita akan bangun dengan idea dan wawasan yang hebat. Itu yang ayah baca dalam buku Eat That Frog, karya Brian Tracy.
    Sudah agak lama ayah tidak menyertai anak-anak ayah bermain. Jadi,  malam tadi sebelum ayah tidur; ayah bermain-main dengan anak ayah. Ayah dan anak-anak ayah ralit main lawan-lawan robot. Malam ini anak ayah gembira sebelum tidur kerana dapat bermain dan tidur pun sambil memegang robot.
   Pagi ini, anak ayah bangun dengan gembira. Ayah hulur berus gigi kepada anak ayah yang hampir empat tahun. Dia ambil lalu menggosok gigi. Sudah tiga empat hari dia tidak mahu menggosok gigi dan perlu dipaksa. Mungkin kegembiraannya malam tadi mempengaruhinya pagi  ini.
   Ayah perasan apabila waktu malam, jika dia bergaduh dengan abang atau  dia tidak gembira sebelum tidur, biasanya dia akan mengigau atau menangis waktu tidur.Waktu pagi jenuh juga ayah  kena melayan kerenahnya.
    Ayah pun kadang-kadang sebelum tidur fikir sesuatu perkara dan apabila bangun pagi, perkara itu datang semula bermain-main dalam kepala ayah.
   Jom fikir yang hebat-hebat sebelum tidur.  Moga pagi kita lebih bersemangat,Insya-Allah.

Wednesday, July 20, 2016

Baring

Memakai seluar sambil berbaring boleh meredakan perasaan yang tak keruan. Mula-mula ayah tidak percaya. Percayalah! Hari-hari ayah belajar perkara baru dengan anak ayah.
    Tambah-tambah apabila ayah menguruskan anak yang kecil yang  belum cukup umur empat tahun. Bagi dia hanya cara dia yang betul dan cara orang lain salah.
     Dia berbaring  selepas mandi dan ayah mendirikannya untuk memakaikannya seluar. Selepas seluar dipakaikan, ayah membaringkannya kembali. Suaranya semakin nyaring. "Nak baring pakai  seluar". Dua tiga kali dia ulang. Barulah ayah faham.
     Ayah menanggalkan seluarnya dan menyarungkan seluar kembali sewaktu dia berbaring di atas katil. Suaranya makin perlahan dan akhirnya diam.

     Macam-macam fiil anak ayah...
   

Kawan Baik

Apakah akan berlaku jika secara  tiba-tiba bekalan elektrik terputus pada hari ini? Sudah pasti ramai yang bersungut dan mengeluh. Mungkin juga ada yang gembira.
    Hari ini sebahagian  besar kerja melibatkan pengunaan teknologi di hujung jari. Teknologi menjadi kawan baik ramai  orang pada hari ini.
    Bagi ayah, teknologi hanya betul-betul berkesan jika kita mahir menggunakan. Ayah lebih suka menaip menggunakan telefon pintar bagi kerja-kerja penulisan ayah (yang tidak terlalu panjang). Kawan ayah  pula lebih suka menggunakan komputer ribanya untuk kerja-kerjanya.
  Apa-apa pun hidup hari ini banyak bergantung kepada teknologi dan pandai-pandailah kita menggunakannya supaya kita tidak menjadi hamba teknologi.

Kumboi

Waktu panas, minum air kelapa memang sedap. Kelapa  sejenis tumbuhan palma. Ada yang memanggil nyog. Nama saintifiknya nucifera cocos. Nama  lain ialah nyiur dan kerambil. Ayah tengok dalam Kamus Dewan Edisi Keempat tadi.
    Sampai di kampung, ayah mesti kait buah kelapa muda. Pokok lain ayah panjat. Pokok kelapa ayah tak panjat. Untuk kait buahnya, galah besi yang diikat sabit dihujungnya digunakan ayah. Kalau kelapa yang masih mumbang, jatuh ke tanah pun boleh terbelah. Sebab itu kena pilih betul-betul buah kelapa sebelum dikait.
     Waktu ayah kecil, saat yang paling dinanti apabila kelapa tua dibelah. Ayah dan adik-adik menunggu untuk makan 'kumboi' yang ada di dalam kelapa tua. Kalau yang kecil, sedap rasanya. Yang besar kurang sedap kerana banyak air. Ada orang panggil kumbuih. Ada juga yang panggil tombong.

       Nak rasa ? Cubalah!

20Julai2016

Tuesday, July 19, 2016

Gembira

Yang menggembirakan anak ayah ialah  apa-apa yang disuruh oleh guru mesti dipatuhi. Mengikuti segala arahan sesuatu yang perlu dipatuhi dan itu membuatkan anak-anak kecil merasa selamat dan gembira terpancar pada wajahnya.
    Anak-anak ayah gembira apabila kerja sekolahnya siap. Anak-anak ayah akan gembira jika peralatan untuk melukis dan mewarna lengkap. Anak-anak ayah akan gembira jika alat tulisnya lengkap. Anak-anak ayah akan gembira jika pakaiannya lengkap hatta pakaiannya untuk jamuan raya termasuklah samping.  Pabila semuanya telah dipatuhi, anak-anak berasa cukup selamat.
    Apa-apapun yang lebih penting malamnya itu, tidurnya harus cukup. Bangun paginya cukup mudah dan tanpa banyak soal. Ayah dulu pun begitu.

20Julai2016


Gesel

Jarang sekali melihat ayah menggosok-gosok kepala kucing kucing atau bermain-main dengan dagu kucing. Kucing pula yang rajin datang menggesel-gesel kepala dan badannya pada kaki ayah.
   Jika ayah balik kerja atau membuka pintu rumah, pasti kucing buat begitu kepada ayah. Kadang-kadang ayah tengok dalam mangkuk ada lagi makanan. Ayah ingat dia mahu lagi makanan. Mungkin dia pun macam sesetengah orang juga, geli mahu makan makanan sisa orang lain. Padahal yang makan makanan itu adik-beradiknya juga.  "Mungkinkah makanan itu sudah masuk angin?,"fikir ayah lagi. Apabila dituang makanan baru,barulah kucing tadi datang makan. Namun ada masanya tidak dipedulinya dan masih mahu menggesel-gesel.
    Ayah pun melayari internet. Dalam internet menyatakan bahawa kucing suka menggesel-gesel pada kaki ayah sebab kucing tu sudah anggap  ayah sebahagian daripada hidupnya. Kucing ada bau yang unik dan dia buat tanda pada ayah dengan cara yang begitu. Kira-kiranya ayah sudah menjadi miliknya. Dia meletakkan baunya juga di merata-rata tempat untuk menanda kawasan.
   Ayah  berasa lega sebab dia datang hanya menggesel-menggesel dan bukannya  menggunakan cara yang biasa iaitu angkat sebelah kaki dan memancutkan air seninya  pada kaki  ayah.

Kucing oh kucing!

Monday, July 18, 2016

Hari Lahir

Hari itu ibumu menangis. Di klinik itu, ibu mengetahui engkau telah berada di dalam rahimnya. Hari ini hari lahir anak ayah. Ayah masih ingat hari itu. Setelah ayah diarahkan keluar dari bilik, baru anak ayah keluar. Ayah tunggu lama di luar bilik bersalin.
  Hari ini anak ayah genap tujuh tahun. Anak ayah semakin membesar.Ayah pun  semakin tua. Ayah  mohon dimaafkan kerana lupa ucap selamat hari lahir waktu menghantar  anak ayah  ke sekolah pagi tadi. Waktu duduk di meja tadi setelah melihat almanak, baru ayah teringat kerana telah menulis nama anak ayah di situ tempoh hari.
  Ustaz selalu berpesan, semakin bertambah usia, semakin bertambah amalan,itulah yang sepatutnya. Dan lambat-laun anak ayah akan memahaminya, Insya-Allah.

Selamat Hari Lahir
Ahmad Izz Shahid

Macam Ayah

Pagi ini ayah sedar lewat sedikit. Pagi ini juga anak ayah 'buat perangai'. Anak ayah meragam. Ya, mungkin 'meragam' juga sesuai menggantikan 'mengamuk'.
   Anak ayah yang ketiga kena penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD). Mujur ada atuk dan opah. Ayah minta tolong opah  jaga adik  kerana pesakit HFMD ini perlu dikuarantin dan mudah berjangkit.
    Apabila si abang tengok atuk dan nenek ada di rumah menjaga adik, dia mula 'buat perangai' sebab dia tahu ada orang di rumah. Maklumlah cuti dua hari baru habis.
     Ayah juga 'buat perangai'. Ayah sudah lambat. Ayah mula naik angin dan marah emak. Emak cakap emak pun akan lambat juga ke tempat kerja apabila masing-masing 'buat perangai'.
      Akhirnya, ayah akui ayah selalu kurang sabar. Ayah meminta maaf kepada emak. Ayah juga meminta maaf kepada atuk dan opah kerana terpaksa  jaga cucu. Ayah kena sabar layan anak-anak yang kerenahnya macam ayah waktu kecil dahulu kata opah. Ayah hanya tersengih.

Terima kasih emak dan abah.
Terima kasih sayang.

Sunday, July 17, 2016

Anak Bertuah

Ayah tak patut menggunakan kata'mengamuk' untuk anak ayah. 'Mengamuk' itu terlalu besar untuk anak yang kecil. Yang mengamuk itu seperti kisahnya Hang Tuah lima bersaudara. Menumpaskan orang yang mengamuk.
  Setelah ayah meneliti kembali mengikut kaedah  perubahan kosa kata (Anthony Robbins, 'mengamuk' perlu dihapuskan dengan menggantikan perkataan yang lebih baik. Ayah mahu menggantikannya dengan perkataan 'buat perangai'.                                                   Mungkin kalau ada sesiapa yang ada perkataan yang lebih baik daripada 'buat perangai', boleh berkongsi dengan ayah. Emak ayah kita dahulu pun memanggil anak-anak dengan panggilan 'anak bertuah' walaupun anak-anak itu degil atau nakal.

13 syawal

ICT

Zaman ayah sekolah dahulu zaman sains dan teknologi. Zaman anak-anak ayah sekarang zaman teknologi maklumat dan komunikasi atau nama popularnya ICT (Information Communications and Technology).
     Anak-anak ayah tak perlu lagi bersusah payah untuk mencari maklumat tertentu dalam zaman ICT. Maklumat boleh dicapai dengan hanya beberapa saat melalui telefon pintar. Yang paling penting, anak-anak perlu memastikan maklumat yang dicari diperoleh daripada sumber yang sahih.
     ICT di  sebelah Pantai Timur lain pula maknanya. ICT di sini bermaksud Ikan Celup Tepung. Bukan setakat ikan celup tepung, udang celup tepung, sotong celup tepung dan sosej celup tepung pun ada.ICT yang ini  juga cukup menyelerakan.
    Jika datang  ke Kuantan,  bolehlah cuba keenakannya. Ayah belanja  semua orang hari ini. Ayah belanja gambar sotong celup tepung.

12syawal.

Satu, dua dan tiga

Kali ini ayah tukar tempat letak kad 'touch n go'. Ayah dah ubah tempat. Sampai di tol, ayah pula kelam- kabut cari kad, nasib baik jumpa.
   Nak sampai ke Temerloh agak lama juga. Along dah minta telefon bimbit. Dia mahu main 'games'. Jadi, ayah memulakan satu permainan yang selalu dimainkan sewaktu budak-budak ketika dahulu. Along  ambil nombor satu. Angah ambil nombor dua. Ayah nombor tiga.
     Cara permainannya ialah kenderaan yang memintas kereta ayah atau ayah yang memotong kenderaan lain akan dihitung mengikut giliran nombor. Kenderaan yang bertentangan arah tidak dikira dalam permainan.
       Kereta pertama yang memotong kereta ayah dengan laju ialah Honda City. Jadi, itu kereta nombor satu. Kereta itu kereta along. Kereta nombor  dua ialah Hyundai. Jadi, itu kereta angah. Kereta nombor tiga yang memintas kereta ayah ialah Myvi. Jadi, itu kereta ayah.
       Begitulah seterusnya. Selepas nombor tiga, diulang kembali dengan nombor satu. Ada yang dapat bas. Ada yang dapat lori. Apabila tiada kenderaan yang memotong atau kenderaan yang diingin dipotong, ayah menyatakan bahawa kereta along sakit perut kena pergi hospital dan sebab itu lambat sampai. Kemudian, kami pakat ketawa. Riuh rendah kereta sambil masing-masing tertunggu-tunggu kenderaan yang akan menjadi milik masing-masing berdasarkan kiraan nombor.
      Ayah tahu permainan ini bertahan tidak lama. Paling lama setengah jam. Kemudian, along dan angah kembali bosan dan mahu main 'games'. Ayah kembali memikirkan permainan yang lebih menarik tanpa mengganggu fokus ayah untuk memandu.
       Ayah singgah di stesen minyak untuk mencari kopi. Tidak ada lagi kopi percuma seperti raya keempat.

12Syawal

Friday, July 15, 2016

Panjat Pokok

Sewaktu di kampung dahulu, ayah suka panjat pokok. Semua pokok ayah panjat. Pokok rambutan, pokok manggis, pokok jambu batu kampung, pokok cempedak semua ada di keliling rumah dan di sekitar kampung.
   Paling ayah tak lupa, dua kali ayah jatuh pokok. Pokok duku dahannya agak rapuh. Baru sahaja ayah mencapai dahan yang kedua, dahan itu patah dan ayah jatuh terduduk di tanah. Boleh tahan juga rasa sakitnya.
   Pada kali kedua, ayah memanjat pokok jambu kampung yang agak tinggi. Dahannya mengatasi bumbung rumah dan ayah boleh berjalan di atas bumbung dengan meniti melalui dahan itu. Dahan pokok jambu batu kampung liat dan kuat. Tidak serapuh dahan duku. Cuma perlu berhati-hati apabila dahannya ditimpa hujan, dahannya menjadi licin.
   Entah  macam mana pada satu hari, ayah tergelincir sewaktu memijak dahan. Ayah jatuh  menggelongsor kerana keadaan bumbung yang agak curam.  Lumut hijau yang tumbuh juga menyebabkan bumbung menjadi licin.
Perasaan cemas dan takut tidak terungkap.Mujur  ada dahan pokok yang melintang. Ayah tersangkut di situ. Jika tidak ayah jatuh ke bawah dari atas pokok.
    Anak-anak ayah duduk di bandar. Tidak ada pokok besar untuk dipanjat. Akhirnya, ayah dapat 'lepas gian' panjat pokok. Ayah dan anak-anak jumpa tempat ini di Kampung Cempaka. Letaknya di hujung jalan berhampiran Cempaka Resort.
   Apa-apa pun anak-anak ayah kena ingat, jika sudah di tempat tinggi, kena bersedia untuk jatuh. Jika takut jatuh, kenalah berlatih dan terus berlatih serta bersedia dengan apa-apa yang perlu supaya tidak jatuh. Jika jatuh pun, anak-anak ayah mampu bangkit kembali.

Pesan Raya

Belum pun sempat ayah tukar baju balik dari kerja, sulung dah melaung panggil ayah. Ayah di dalam tandas. Katanya tiga orang perempuan datang. "Jurujual ke?,"
ayah mula meneka. Ayah selak langsir. Tak nampak siapa-siapa.
   Ayah bergerak ke ruang tamu. Dari dalam rumah, ayah nampak tiga budak perempuan di tepi pintu pagar luar rumah. Oh, datang beraya rupanya!
   Cerita ayah, sewaktu ayah kecil, raya cukup meriah. Di jalan-jalan, dipenuhi  anak-anak yang berbaju warna-warni. Sebelum pergi bertandang, opah dah pesan siap-siap. Sampai rumah orang, bagi salam tiga kali. Kalau orang tak jawab, pergi rumah orang lain. Pergi beraya tujuan utama bukan duit raya. Tujuan utama nak bermaaf-maafan dan berkenal-kenalan.  "Tak buat salah pun kena minta maaf ke opah ?"
"Kadang-kadang kita buat salah tanpa kita sedar. Kita nampak orang kita tak  kenal, kita mengata dia gemuk, hitam, selekeh dan sebagainya. Jadi, inilah waktu yang sesuai untuk meminta maaf dengan semua orang. Tak rugi pun minta maaf."
    Paling penting, lalu depan orang tua tundukkan sedikit badan tanda hormat.
Kita kena hormat orang yang lebih tua, mereka macam emak ayah kita juga. Satu hari nanti kita juga akan tua.
    Kata ayah, waktu itu, duit raya hanyalah sepuluh sen atau dua puluh sen, lima puluh sen pun sudah dikira banyak. Pesan opah lagi, kalau orang tak bagi duit raya atau dapat duit raya  sedikit, jangan mengata, janganlah marah. Tak semua orang banyak duit. Dapat makan kuih raya pun dah dikira cukup baik dan perlu bersyukur. Ingat balik tujuan utama, raya untuk bermaaf-maafan dan berkenal-kenalan.
    Awak anak siapa? Awak cucu siapa? Eh,ayah awak kawan baik pak cik. Eh, emak awak kawan baik mak cik. Itu antara soalan dan jawapan setiap kali beraya. Itu yang membuatkan raya seronok kerana kita dapat kenal kawan-kawan emak ayah dan mereka juga seronok dapat berjumpa anak-anak kawan mereka.

#seronoknyaraya#
#meriahkanraya#

11Syawal
  

Kucing

Apabila ayah memberi kucing makan, ayah akan cakap "Aku dah bagi engkau makan, engkau janganlah 'melepas' dekat sini, pergi 'melepas' jauh-jauh".
  Kucing seolah-seolah faham bahasa ayah. Ayah sememangnya tidak faham bahasa kucing. Jarang sekali rumah ayah ada bau tahi kucing. Sekali-sekala adalah bau kurang menyenangkan.          
    Kucing-kucing itu pun bukan kucing ayah. Kucing-kucing jiran dan kucing-kucing yang datang entah dari mana-mana.

15Julai2016

Aiskrim

Dua tiga hari dia mengamuk. Mengamuk tidak mahu memakai baju sekolah. Biasanya perkara itu diserahkan ayah kepada emak sahaja untuk memujuk. Bab memujuk ayah kalah. Ayah hanya tahu marah sahaja.
  Pagi ini entah macam mana, ayah cuba memujuk. Sambil memujuk dia untuk memakai baju, ayah bertanya dia. "Baju ayah warna apa? Baju dia warna apa?"Dia membalas, baju ayah berwarna oren dan baju dia berwarna hijau. Akhirnya, baju berjaya disarungkan ke badannya. Dia mula berbunyi. Ayah tanya lagi. "Balik nanti nak buat aiskrim apa?". Katanya aiskrim sirap. Seluar juga berjaya disarungkan.
   Ayah tahu. Hari ini ayah berjaya. Hari esok belum tentu berjaya. Walaupun perkara yang sama berlaku, belum tentu kaedah hari ini boleh digunakan esok. Jalan penyelesaiannya tidak sama walaupun perkara yang sama akan berulang.
   Ayah tahu untuk berjaya bukannya mudah, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kita perlu mencuba sedaya-upaya.
   Ayah teringat kata-kata ustaz dalam radio, kita kena mencuba,kita kena usaha, berjaya atau tidak itu urusan Allah. Kejayaan itu milik Allah.

Thursday, July 14, 2016

Pusar

Dulu kalau pergi jalan ke mana-mana, pasar raya atau tempat-tempat lain,  apabila tengok budak-budak kecil berlari ke hulur ke hilir tak duduk diam, mesti sambil lalu tengok kepala dia. "Patut pun tak duduk diam, pusar dua".
     Selalu juga buat fiil macam tu. Dah jadi tabiat agaknya. Akhirnya apabila berkahwin dan dapat anak, Allah bagi dua pusar di kepala anak. Ayahnya pusar satu sahaja.
      Selepas itu, tak sempat dah  tengok kepala anak orang sebab anak sendiri pun tak duduk diam apabila berjalan. Mengalahkan anak orang lain. Jenuh nak mengejar ke hulu ke hilir.
         "Tengoklah lagi kepala anak orang," kata isteri.

Wednesday, July 13, 2016

Mengopi

Secangkir kopi setiap pagi menjadi rutin. Zaman sekolah dulu, kalau teh di rumah kehabisan stok tak apa, kalau kopi yang  kehabisan stok, - "Pi beli kopi", suruh emak. Kopi Cap Kemboja keluaran Felda.
   Kalau bertandang ke pekan sehari Temerloh, bau kopi yang diproses sendiri dan dijual di situ mengapung dan aromanya cukup mengasyikkan. Dari jauh baunya sudah dapat dihidu.
   Dalam filem Parker (2013) lakonan Jason Statham, apabila ditanya  persoalan tentang nyenyakkah tidurnya di waktu malam sedangkan dia terlibat dengan kerja yang berbahaya ( membunuh dll), apakah jawapannya?
"Jangan minum kopi selepas 7.00 malam". Sudah tentu berkaitan dengan kafein.
   Saat yang menggembirakan ialah saat-saat menghirup kopi bersama dengan keluarga atau kawan-kawan. Tidak kiralah di mana-mana sahaja. Kopi menyatukan kita.

Jom mengopi!

14Julai2016

Memupur

Memupur. Kata dasarnya 'pupur'. Memupur dalam Kamus Dewan Edisi Keempat maksudnya berguling-guling dan berkepak-kepak di tanah dll (ayam,burung).
    Zaman budak-budak dulu, memang selalu sergah ayam yang tengah memupur di atas tanah. Paling seronok apabila emak nak masak ayam. Kami adik-beradik akan kejar ayam. Kemudian, kami buat jerat dengan menggunakan tali rapia dan di dalam bulatan tali ditaburkan  gandum. Apabila ayam masuk ke dalam bulatan untuk mematuk gandum, tali ditarik serta-merta.Kadang- kadang dapat, kadang-kadang ayam terlepas. Aktiviti yang cukup menyeronokkan.

13Julai2016

Tuesday, July 12, 2016

Minat

Kata Cikgu saya sewaktu di tingkatan 6, Puan Z,  jika keputusan peperiksaan tidak seperti yang kita harapkan dan tidak dapat untuk meneruskan cita-cita, ada dua jalan penyelesaian.
   Yang pertama, ambil semula peperiksaan bagi mata pelajaran yang gagal atau keputusan yang kurang memuaskan. Yang kedua, jika keputusan itu sudah membolehkan kita melangkah kaki ke universiti tetapi tidak layak untuk mengambil jurusan yang kita minati atau yang dicita-citakan, kita boleh teruskan kerana minat boleh dipupuk.
   Berdasarkan jalan yang kedua, saya memohon ke ke universiti kerana saya memegang kata-katanya- 'minat boleh dipupuk'.
    Ya, minat membuatkan kita terus hidup. Jika ada minat, semua boleh buat.

Terima kasih cikgu.

BAULU atau BAHULU?

Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Bertambah sedap kalau dimakan apabila baru keluar daripada perut oven. Bau pun dah semerbak satu rumah. Apatah lagi apabila dimakan panas-panas. Tak percaya? Cubalah!

Terima kasih emak buat baulu sedap.

Monday, July 11, 2016

Kongsi

Dulu-dulu, apabila dapat duit raya, sebahagiannya kami simpan. Selebihnya kami gunakan untuk ke bandar. Kami akan ke Temerloh naik bas. Antara tempat yang kami singgah ialah Grape Farm (kedai kek) di Lurah Semantan. Dari kawasan ini juga kami boleh nampak Sungai Pahang.

    Kami akan beli beberapa joreng kek yang pelbagai perisa untuk dibawa pulang dan makan bersama-sama. Satu coklat kegemaran ialah Tango. Coklat ini juga dibawa pulang dan dikongsi bersama-sama. Emak juga suka coklat Tango.Keseronokannya ialah makan beramai-ramai. Makanan dikongsi bersama-sama. Walaupun sedikit tetapi cukup untuk semua orang.

    Keseronokan ini juga kita dapat lihat dalam filem Charlie and The Coklat Factory (2005). Coklat Wonka dikongsi bersama-sama dengan ibu ayah dan datuk neneknya. Neneknya menghidu bau coklat dan masing-masing berkongsi kegembiraan.

   Kongsilah kegembiraan dengan berkongsi makanan.

12Julai2016

Sabar

Menunggu. Sesuatu yang menguji kesabaran  dan cuba untuk bersabar. Zaman belajar dulu, selalu menunggu bas di Puduraya. Pernah dua tiga kali menunggu bas  dan menyangka bas tidak sampai. Tiba-tiba bas yang  ditunggu-tungu melintas di hadapan dan berlarilah mengejar bas dengan menggalas beg yang besar. Rupa-rupanya, kita tunggu di bahagian hadapan, dia mengambil penumpang di platform belakang. Nasib baik ada bas yang melintas dan bas yang dikejar berhenti kerana terhalang.

Hidup kita selalu diuji. Yang diuji itu kesabaran. Moga kita sabar selalu.

11Julai2016

Sunday, July 10, 2016

Potong Duit Raya

Sampai di tol Gambang, koi dongak ke atas, tarik tempat letak kad 'touch n go'. Kad dah hilang. Tingkap dah dibuka. Jurutol dah menunggu. Kenderaan beratur panjang di belakang. Ni mesti ada yang dah ambil. 'Hero' ada 3 orang.
Mula nak marah. Akhirnya, kena bayar lebih kurang RM26. Tiba-tiba isteri cakap "Nanti Kita potong duit raya". Suasana tegang menjadi kendur dan semua ketawa termasuk jurutol.  'Hero' yang sudah mengaku tadi mula merengek. Dan sepanjang jalan dipenuhi rengekan dan usikan.
Mengikut Anthony Robbins dalam 'The Awaken Giant Within', ini dipanggil perubahan kosa kata. Keadaan yang tegang dikendurkan dengan ayat 'potong duit raya'.

Terima kasih sayang.

Kerja sama2

Semangat tidak pernah mengalah perlu kita tanam dalam diri dan kerjasama membantu kita untuk cemerlang bersama-sama. Kerjasama penting di mana-mana sahaja.

Bola sejuk

Koi (saya) jarang tengok perlawanan bola sepak. Biasanya, hanya ambil tahu keputusan. Kegigihan beberapa pasukan dalam Euro kali ini amat mengagumkan. Lihatlah pasukan yang disangka kerdil, Iceland yang penduduknya 330 ribu dan kali pertama menyertai Euro. Saiz tidak menjadi masalah bagi mereka. Satu contoh yang baik untuk kita ikuti.

Esok Isnin

Hari ni kenderaan beratur panjang. Yang balik dari kampung beraya, yang hantar anak2 ke asrama, semua ada di jalan raya. Sampai ke pagi akan sibuk bagi yang menunggu Perancis lawan Portugal. Yang anak bersekolah, mak2 budak sibuk menyeterika baju sekolah, anak-anak sibuk membelek kerja sekolah dan ayah buat apa? Apa2pun banyak perkara yang perlu dikerjakan.

10Julai2016

Aidilfitri

Salam Aidilfitri

Raya kurang seronok kalau tak makan dodol, ketupat palas/jawi, lemang dan lain-lain. Paling seronok kalau dapat kacau dodol beramai-ramai. Lenguh tangan boleh tahan. Apa2pun dah kurang budak2 yang datang beraya. Budak-budak dulu yang rajin beraya dah tak ada. Kita le tu yang dah dewasa dan beranak-pinak. Kita pun tak galakkan anak2 beraya jauh2 sangat sebab fikir keselamatan anak2. Pemikiran kita tak sama dengan mak ayah kita atau persekitaran yang dah berubah? Apa2pun raikan Aidilfitri.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...