Translate

Tuesday, March 6, 2012

Tunas Cipta (Februari 2012)


SAYA TERUSKAN PELARIAN

i
TUJUH BULAN PERTAMA


Kehidupan saya hari pertama di dunia hingga hari ini amat mengujakan. Menurut ibu, sewaktu mula-mula lahir, besar saya hanya sebesar tapak tangan orang dewasa dan  sebelumnya tinggal di dalam perut ibu selama 40 minggu atau 9 bulan 10 hari minggu.

            Hari pertama  celik tujuh bulan yang lalu, saya melihat seorang perempuan muda berambut paras baru tersenyum. Mengusap-ngusap pipi saya.  Saya mendengar suaranya  sejak minggu ke-15 di alam rahim lagi. Inilah ibu saya. Walaupun saat itu telah berlalu, tiap kali dia menghadap saya, pasti air matanya bergenang.  Bibirnya sedikit bergetar. Mengatakan saya satu anugerah. Anak bertuah. Mula mengesat air jernih yang bergerak menuruni pipinya yang tembam. Tiba-tiba, muncul seorang lelaki, memegang bahu ibu. Jari-jemari ibu memegang tangan lelaki berambut keriting pada bahu kanannya. Inilah ayah saya. Ayah menjeling ibu dan ibu menjeling ayah.

            “Macam siapa?” keluar suara serak ibu. “Macam kita. Bibir dan hidung mancungnya macam awak, mata dan kening lebatnya sudah tentu seperti saya”, kata ayah.       Dan tatkala ayah bersuara, saya dapat melihat giginya yang kuning berkarat. Hembusan nafasnya membuatkan saya tidak selesa.  “Bila nak berhenti?,” tanya ibu. “Saya kan kerja malam. Itulah teman saya. Ubat celik waktu kerja,” jawapan yang sama dilemparkan ayah.

Ibu menangis lagi. Merangkul saya dan mencium berkali-kali. Terasa hangat air mata ibu yang menetes di pipi saya.

ii
TUJUH TAHUN PERTAMA

Ayah ibu meninggal dunia pada hari yang sama, di hospital yang sama, dalam hari yang saya berpindah ke alam ini.  Puncanya, kanser paru-paru tahap empat menurut cerita ibu. Awalnya, datuk hanya batuk-batuk dan batuk merupakan perkara biasa bagi seorang penagih rokok. Kemudian, batuknya semakin berlarutan dan akhirnya disusuli batuk berdarah.

            “Anak ibu jangan cuba, nanti ketagih, jadi macam atuk. Ibu juga buat perkara yang sama. Itu dahulu. Sebab itu ibu lambat dapat kamu. Dua kali ibu gugur. Lima tahun  ibu menanti kamu dengan penuh ikhtiar dan sabar. Ibu nekad ikut nasihat doktor, berhenti dan sekarang ibu ada kamu. Tapi ayah kamu masih.....,” ibu terhenti setakat itu dan memalingkan mukanya ke arah ruang tamu.

            Saya berlari meninggalkan ibu setelah dijerit ayah. Bau tembakau bertebaran di segenap ruang. Ayah mengarahkan saya mengambil bekas abu rokok di bawah meja kopi. Di dalam almari kaca, tersusun bekas abu rokok pelbagai bentuk dan warna. Koleksi kesayangan ayah. Ayah bersembang dengan rakan-rakannya yang  berkunjung. Waktu bangun pagi dan selepas waktu makan sudah menjadi tabiat ayah. Jarang sekali bau segar Colgate bertahan begitu lama pada ayah. “Mencari ilham,” tutur ayah selalu.
           
Malam. Jika ibu tidak memasak, kami akan makan di kedai makan yang berbaris di pinggir jalan. Di sini, udaranya segar. Ditampar lembut sekali sekala angin laut yang bertiup. Namun, kesegaran itu tidaklah lama kerana dihalau dek bau tembakau yang menusuk hidung.  Saya mengibas-ngibas dengan tangan memaksa asap itu pergi ke tempat lain. Bukan ayah seorang, di belakang tempat duduk kami, sekumpulan remaja turut sama. Di hujung sebelah kiri kedai, beberapa orang tua berkain pelikat asyik menggulung daun rokok pucuk.
iii
7 TAHUN KEDUA

Sebelum ini, tauke kedai kuncit di hujung jalan sudah tahu tujuan saya ke kedainya. Sebelum saya masuk kedai, dia sudah meletakkan sekotak sigaret di atas kaunter. Buatan Amerika. Bukannya tidak ada peringatan daripada pemerintah.  Jelas dalam Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 yang tidak membenarkan menjual kepada remaja di bawah umur 18 tahun, tetapi sama seperti mencurah air ke daun keladi.

Sekarang, keadaan sudah berubah. Badan ayah sudah berisi. Selera ayah makin bertambah. Hanya pada mulanya, ayah asyik marah-marah.  Sekarang tidak lagi. Bau asap rokok buat ayah lemas. Sanggup dia pusing satu daerah untuk cari kedai makan yang tidak ada asap rokok. “Sekali sekala makan di luar, tempat jauh pun  tak apa,” alasan ayah tiap kali mahu mengubah haluan setelah didapati restoran atau kedai makan yang mahu disinggahnya dicemari asap tembakau. Ibu hanya tersenyum melihat telatah ayah. Semua koleksi bekas abu rokoknya sudah menghilang entah ke mana. Saya pun tidak pernah bertanya ayah.

 Pagi, saya seperti biasa ke sekolah menaiki bas. Jika bernasib baik, saya dapat duduk. Jika tidak, saya terpaksa berdiri dan berhimpit-himpit. Saya terbersin setiap kali  deria bau saya tercium bau asap tembakau yang bergerak perlahan. Mengingatkan saya kembali di dalam kelas tadi.

“Filem dan iklan adalah antara agen utama yang mempengaruhi tabiat merokok dalam kalangan remaja selain pengaruh rakan sebaya”, begitulah kata Cikgu Rahman sambil mengeluarkan sapu tangan lalu mengesat pada hidungnya. Katanya lagi, remaja disogokkan dengan keseronokan merokok dan seolah-seolah merokok membuatkan seseorang lebih bergaya atau nampak lebih matang.

“Cikgu demam?,” terpacul soalan di luar topik perbincangan daripada Rafidah. “Saya ni dah seminggu berhenti merokok. Hidung pun berair. Rasa tak selesa,” jawabnya. “Kamu semua jangan cuba nak merokok, ni dah kali kedua percubaan saya untuk berhenti,” sambungnya kembali. Kemudian, dia mencapai botol air masak yang baru  dibawanya dalam tempoh seminggu. Bas berhenti menghentikan ingatan saya.

Cuti Sabtu dan Ahad sememangnya saya nanti-nantikan. Pada waktu petang, anak-anak muda bermain di padang berhampiran. Waktu seperti inilah anak-anak muda berkumpul. Salah seorang remaja tanpa segan silu menuang gam daripada dalam tin berwarna hijau ke dalam plastik putih. Lantas dia menekup plastik itu ke arah mukanya. Menutupi bahagian hidung dan mulutnya.

            “Mak ayah dia pun tak tau nak buat, dalam akta pun tak boleh nak dakwa kesalahan hidu gam. Hisap ganja ye la. Baru semalam polis angkut tiga orang,” kata seorang pemuda sambil melantingkan puntung rokok ke bibir jalan.

            Cuti sekolah juga waktu terbaik untuk mengadakan walimatulurus. Kenduri kahwin di kampung amat menekankan budaya gotong-royong. Kerjasama menghidupkan semangat kejiranan dalam masyarakat di kampung. Apabila balik kampung, peluang ini tidak akan dilepaskan.

            Selalunya saya berada di khemah atau di kampung dipanggil balai. Tempat tetamu jemputan menjamu selera. Lauk-pauk akan dihidangkan kepada tetamu. Talam akan digunakan untuk membawa juadah.  Pada masa inilah, asap tembakau pasti bertebaran memandangkan kebanyakan tuan rumah akan membekalkan  rokok selain daripada tuala putih  ‘Good Morning’ untuk bentara-bentara atau anggota masyarakat kampung yang menolong menguruskan kenduri.

iv
TUJUH TAHUN KETIGA

Cuti semester sudah tamat. Saya sedang menunggu bas. Puntung-puntung rokok bertaburan di merata tempat. Saya umpama pelarian setiap kali di sini. Melarikan diri daripada asap tembakau. Memandangkan terdapat segelintir orang yang tidak mempedulikan orang lain. Yang kurang perasaan empati.

Tanpa rasa bersalah mengeluarkan pemetik api lalu menyalakannya pada sebatang rokok dengan anggapan orang di sekeliling boleh menerima keadaan sebegitu. Tidak cakna dengan bayi yang terbersin beberapa kali. Dikendong oleh isterinya sendiri. Mana mungkin untuk mendalami perasaan orang lain.

Di rumah sewa, saya sedang menyiapkan lukisan. Setiap pelajar perlu meniru karya penulis terkenal. Saya sedang menyiapkan lukisan sebuah lukisan karya Vincent Van Gogh. Bukan Monalisa yang sering diperdebatkan orang sehingga ke hari ini.
           
Seorang rakan sedang asyik mendengar lagu lama. Terkesan saya dengan liriknya.  Masih segar dalam ingatan sewaktu menyertai perbarisan Kempen Antidadah anjuran syarikat gergasi Pepsi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia suatu ketika dahulu.

Lihatlah sekeliling kita
Betapa saban hari masih ada lagi
Harapan serta bunga bangsa
Yang rebah anak watanmu...
           
Teringat saya sewaktu menyertai ceramah Prostar (Program Sihat Tanpa Aids untuk Remaja Malaysia). Menyanyi bersama-sama. Bersemangat.
Prostar
Bintang harapan remaja dan bangsa 
Jauhi AIDS hidup sejahtera 
Tiada AIDS hidupkan jaya…
Baru semalam saya telefon ibu. Ibu menyampaikan berita sedih. Anak jiran sebaya saya telah meninggal disebabkan virus HIV. Keluar masuk lokap sebab dadah. Saya terkejut setelah pintu depan diketuk berkali-kali.

Muncul teman sekuliah bersama-sama  beberapa orang temannya. Mereka duduk dan salah seorang mengeluarkan sekotak sigaret.  Menghulurkan kepada teman-teman yang lain. Mempelawa saya. Saya menggeleng-gelengkan kepala.

Pada satu hari, saya berasa tidak sedap badan. Rakan sebilik telah hantar saya ke klinik panel. Saya disahkan demam. Tengah malam, berasa sesak nafas. Rakan saya menyapukan minyak angin pada dada. Akhirnya terlelap.

Keesokannya, dada saya masih berombak-ombak. Diserang kesukaran untuk bernafas sekali lagi. Saya membonceng motosikal ke klinik yang sama. Perasaan saya ketika itu hanya Allah yang tahu. Setelah sampai, saya terus dikejarkan ke hospital. Lewat petang, saya masih di wad. Saya nampak ibu datang. Saya panggil ibu.

Saya terjaga. Saya tidak tahu di mana. Wayar pada pergelangan tangan. Terdapat juga satu alat disepit pada ibu jari tangan. Mahu diangkat tangan pun tidak saya terdaya. Memandang ke arah tingkap. Hanya awan gemawan putih yang kelihatan. Terasa ada sesuatu pada leher. Seluruh badan terasa lemah. Yang pasti saya memakai pakaian berwarna hijau. Saya memalingkan kepala dan ternampak satu plastik kosong di atas troli. Hospital Selayang tertulis padanya. Bukan hospital yang sama.

Mahu sahaja saya memanggil seseorang. Namun tidak ada sesiapa di situ kecuali pelbagai peralatan yang saya tidak fahami akan fungsinya. Saya memusingkan muka sekali lagi. Seorang jururawat muncul melihat saya. Berpatah kembali dan memanggil rakan-rakannya yang lain. Semuanya bersorak kegembiraan dan menyatakan kesyukuran kerana saya telah sedar. “Sedar?,” perkataan itu berlegar-legar di minda saya.

“Benarkah itu ibu? Wajahnya hampir sama tetapi sedikit cengkung. Begitu juga bentuk badannya. Begitu susut sekali,” saya bermonolog sendiri setelah perempuan yang sosoknya seperti ibu terpaku di muka pintu.

 Saya cuba memanggil ibu, namun sia-sia. Tidak ada suara yang keluar melainkan rasa perit. Rasa sakit. Pada tekak. Pada dada. Saya cuba memusingkan badan. Gagal.

“Alhamdulillah, kamu dah sedar”, ujar ibu.  Menghampiri katil dan memeluk saya. Sudah lama saya tidak merasa kehangatan air mata ibu. Air putih meleleh membasahi pipi saya. Hujan air mata. Semuanya ada.  Ayah, saudara-mara, rakan-rakan dan jiran-jiran. Saya masih keliru dengan apa yang berlaku.

Sebentar kemudian, saya dikhabarkan bahawa para doktor bersepakat untuk “merehatkan”  saya. Koma. Saya “dikomakan” hampir dua bulan. Bukan koma secara semula jadi. Saya “ditidurkan” oleh para doktor supaya keadaan saya lebih stabil. Saya hanya akan disedarkan apabila keadaan menjadi semakin baik.
Menurut doktor, berlaku jangkitan kuman pada paru-paru saya. Pneumonia. Badan saya membesar ketika dalam keadaan tidak sedar. Kebanyakan yang datang tidak percaya dengan apa yang berlaku. Asalnya, berat badan saya tidak mencecah pun 50 kilogram. Seluruh badan saya dipenuhi wayar ketika itu. Dada saya ditebuk. Terdapat tiga kesan tebukan yang telah diijahit pada rusuk kiri dan satu pada rusuk kanan.

Setelah sedar,  acap kali saya disoal tentang rokok. Adakah saya seorang perokok? Berkali-kali saya nafikan. Hanya dengan gelengan kepala. Disebabkan saya tidak sedar agak lama, tekak saya telah ditebuk. Untuk tujuan pernafasan.
Saya bertambah sugul.  Tidak mampu untuk melontarkan kata-kata. Hal ini membuatkan saya seperti mahu marah pada setiap orang kerana mereka tidak memahami percakapan saya.

Banyak perkara yang telah saya lupa. Ibu, ayah dan semua yang bergilir menjaga saya menceritakan kembali peristiwa yang telah berlaku. Sedikit demi sedikit ingatan lampau itu kembali. Yang paling perit apabila satu wayar dimasukkan ke dalam lubang tekak yang telah ditebuk untuk mengeluarkan kahak yang ada masanya bercampur dengan darah. Pada waktu yang telah ditetapkan pula, seorang jurupulih berbangsa India datang untuk mengajar saya menguatkan kembali tangan kiri yang tidak mampu diangkat. Begitu juga kaki. “Jangan malas,” itulah yang sering diulangnya tanpa jemu. Saya hanya membalas dengan senyuman.

            Di rumah saya, teman saya hanyalah sebuah buku. Buku yang ditulis dengan perkataan. Perkataan yang mengandungi vokal ‘u’. Buku, kuku, sudu dan lain-lain. Hanya itu caranya untuk mengembalikan suara seperti sedia kala setelah tebukan di leher saya bercantum kembali secara semula jadi dalam tempoh lebih kurang tiga hari sewaktu masih di wad selepas satu alat dicabut daripadanya. Menyebut perkataan itu berkali-berkali dengan sekuat yang mungkin.

            Tersengih. Saya hanya tersengih. Beberapa orang jurupulih menggelakkan saya bila mana saya menyatakan saya tidak pandai meloncat menggunakan tali ‘skipping’. Kata mereka, baik untuk jantung. Setelah kaki saya semakin kuat, saya berlatih meloncat menggunakan tali yang diselangi gelak tawa saya sendiri dan mereka.


v
TUJUH TAHUN KEEMPAT

Saya masih ingat seorang sahabat. Dia mengharamkan sesiapa pun merokok di biliknya. Bagi yang tidak merokok tidak rasa apa-apa. Di depan biliknya ditampal larangan merokok. Tidak ada kompromi dengan si perokok.

Dan saya masih ingat juga seorang rakan. Menyatakan seorang perokok hanya menyedut sedikit asap rokok berbanding orang yang tidak merokok. Menggunakan alasan itu, dia teruskan merokok.

“Awak merokok? ,” tanya seorang doktor di sebuah klinik persendirian. Masih soalan yang sama. Saya ke klinik setelah batuk saya berlarutan lagi.  Batuk yang berterusan menyerang menyebabkan saya memuntahkan segala yang telah saya telan.

“Mungkinkah saya perokok pasif?,” soal saya kembali. “Mungkin. Hampir 600,000 orang yang tidak merokok. Satu pertiga daripada mereka ialah kanak-kanak, meninggal dunia setiap tahun akibat menyedut asap rokok daripada perokok. Jurnal Perubatan Britain, The Lancet menyatakan bahawa separuh daripada perokok pasif  yang maut ialah wanita dan bakinya ialah lelaki dan kanak-kanak. Kira-kira 60 peratus kematian itu disebabkan oleh penyakit jantung,  30 peratus lagi akibat jangkitan paru-paru, dan selebihnya disebabkan asma dan kanser paru-paru,” jelasnya panjang lebar.

“Jadi?,” saya menyoalnya lagi. “Awak patut bersyukur kerana dipanjangkan umur. Kita harus memainkan peranan masing-masing dalam menyedarkan semua orang tentang bahayanya rokok. Semua orang tahu tentang bahaya rokok. Tahu sahaja tidak memadai kerana budak kecil pun tahu merokok berbahaya. Kesedaran yang akan membuatkan seseorang itu menghentikan tabiat merokok.
Merokok seperti mahu membuang tabiat buruk yang telah lama kita buat. Misalnya, seseorang yang mempunyai tabiat mencium stoking tiap kali mahu dipakai walaupun dia tahu adakalanya stoking itu terbiar selama seminggu tidak berbasuh,” doktor mengakhiri penjelasannya dengan sebuah analogi.
Saya tergelak. Dia pun sama.
“Tapi, apa-apapun atas kehendak hati, jika kita mahu buat sesuatu perubahan, kena usaha gigih, kalau ada hati, semua boleh jadi,” sambungnya lagi.
Usai diperiksa, saya menunggu giliran nama dipanggil untuk mendapatkan ubat. Keluar dari klinik, bau tembakau kembali menerjah lubang hidung saya. Saya melihat ke arah  restoran di sebelah klinik.

Ya, doktor tadi mengangkat tangan kepada saya. Menggabir-gabir. Di celah jarinya, sebatang rokok yang menyala dan asap yang merayap mencari mangsa. Saya tergelak sendirian sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tabiat yang sukar dibuang.

Betul kata doktor. Bukan senang mahu buang tabiat buruk. Yang penting usaha gigih. Saya menunjukkan jam. Alasan mahu cepat. Saya teruskan pelarian.

Saturday, February 25, 2012

Soldadu yang Dirindu (Tunas Cipta, Januari 2012)


Soldadu yang Dirindu

Bapa kebingungan
kematian isteri
di medan
peperangan kekeliruan
berperang
dengan perasaan
dan kata-kata hati.

Anak perempuan
asyik bertanya
tentang soldadu
seorang ibu
yang dirindu.

Bapa
tidak punya cara
kebuntuan
melepaskan kebenaran.

Mati mulia
mempertahankan negara
diwara-warakan
diwira-wirakan
pemimpin gila kuasa
menggelar diri polis dunia.

Semsas, Kuantan
27Mac2010

Friday, February 17, 2012

membisu

kadang2 terlalu banyak yang hendak diceritakan tetapi sampai pabila jari memetik huruf2 pada papan kekunci...... ya, kehidupan memang menyeronokkkan andai kita pilih untuk menjadikannnya seronok.... laluinya....

Monday, January 2, 2012

Belajar

Kembali bersekolah? Ya, bagi yang bersekolah. Kembali belajar? Tidak.  Sebenarnya hari2 kita belajar sesuatu yang baru.






Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...